Saturday, April 29, 2017
Sunday, September 11, 2016
RAJA AHMAD BIN RAJA HASSAN, TABIB KERAJAAN RIAU LINGGA
RAJA AHMAD TABIB
ULAMA dan tabib atau doktor perubatan yang diriwayatkan dalam artikel ini adalah cucu daripada tokoh besar dalam sejarah Melayu. Dari sebelah ayah beliau adalah cucu Raja Ali Haji, ahli bahasa dan sejarah yang cukup terkenal. Dari sebelah ibunya pula ialah keturunan daripada Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid, Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke IX. Ulama dan tabib yang dimaksudkan ialah Raja Ahmad Thabib bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji Riau. Ibunya Raja Maimunah adalah puteri Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid. Berdasarkan tulisan Raja Muhammad Yunus Ahmad, dalam Peringatan dinyatakan bahawa Raja Ahmad Thabib lahir tahun 1282 H/1865 M. Dari sumber yang lain diriwayatkan beliau lahir di Pulau Penyengat Indera Sakti. Berdasarkan sebuah buku catatan tulisan Raja Muhammad Sa'id bin Raja Jaafar dengan lengkap bahawa adik beradik Raja Ahmad Thabib ada 12 orang. Mereka ialah: 1. Raja Abdullah Hakim (seorang ulama besar, Hakim Kerajaan Riau-Lingga), 2. Raja Khalid Haitami (ulama dan tokoh politik, meninggal dunia di Jepun sewaktu menjalankan urusan rahsia/sulit demi memerdekakan seluruh dunia Melayu yang sedang dijajah), 3. Raja Ahmad Thabib (yang sedang diriwayatkan dalam artikel ini), 4. Raja Manshur, 5. Raja Mariyah, 6. Raja Qamariah, 7. Raja Umar (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah yang pertama), 8. Raja Ali Andi, 9. Raja 'Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, dan 12. Raja 'Amimah Sumber terawal tentang Raja Ahmad Thabib ditulis agak ringkas oleh Raja Muhammad Yunus bin Raja Ahmad dalam Peringatan, No.1, th.1, Mei 1939, dicetak oleh Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura. Dalam tulisan tersebut terdapat gambar Raja Ahmad Thabib ketika berusia 77 tahun. Di sini saya salin selengkapnya tanpa perubahan bahasa, kecuali ejaan lama diganti dengan ejaan sekarang, adalah sebagai berikut, "Yang Mulia Raja Haji Ahmad bin Raja Hasan, bekas Thabib Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdur Rahman al-Muazzam Syah, bekas Sultan Riau. Yang Mulia ini diputerakan tahun 1282 H (1865 M, pen:). Dalam tahun 1299 H (1881 M, pen:) berangkat ke Mekah. Setelah mengerjakan haji dan melawat seluruh Tanah Arab baharu kembali ke Penyengat, iaitu dalam tahun 1300 H (1882 M, pen:).
''Dalam tahun 1301 H (1883 M, pen:) setelah Yang Mulia ini dapat akuan daripada tabib yang masyhur di Penyengat mulai menjadi Thabib patikuler (maksudnya: swasta, pen:). Dan dalam tahun 1319 H (1901 M, pen:) diangkat menjadi tabib kerajaan dan bagi Duli Yang Mulia Sultan dengan besluit (maksudnya: pengesahan menjadi pegawai kerajaan) bertarikh 25 Rabiulawal 1319 H, No. 6/8. Kemudian setelah terpecat Sultan Riau dari tahta kerajaannya maka Yang Mulia dikurnia oleh Governement Holanda pensiun (pencen, pen:) dimulai dari tahun 1911 M hingga sampai sekarang (maksudnya hingga tahun 1939, sewaktu Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad, riwayat dalam Peringatan, pen:).
''Di Penyengat rupanya dahulu telah menjadi satu negeri yang mempunyai beberapa orang tabib yang masyhur di antaranya banyak orang masih ingat akan kebijakan Thabib Engku Haji Daud P", demikianlah tulisan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam Peringatan. Daripada beberapa maklumat yang telah dikumpulkan, Raja Ahmad Thabib menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah: 1. Syair Nasihat Pengajaran Untuk Memelihara Diri, 2. Syair Tuntutan Kelakuan, 3. Risalah Rumah Ubat Raja Haji Ahmad Pulau Penyengat Riau. Praktik penelitian langsung di lokasi yang saya lakukan di rumah Raja Abdullah Hakim (adik beradik Raja Ahmad Thabib), di Pulau Penyengat, Riau, pada 2 Syaaban 1418 H/2 Disember 1997 M ternyata lebih banyak bahan untuk dibicarakan. Penelitian saya lakukan bersama salah seorang waris tersebut bernama Tengku Fuad bin Tengku Muhammad Yusuf dapat mengesan beberapa buah risalah ilmu perubatan yang ditinggalkan oleh Raja Ahmad Thabib masih dalam bentuk manuskrip dan catatan tersimpan dalam rumah saudaranya itu. Sebenarnya jauh sebelum tarikh tersebut di atas, dalam tahun 1962 rumah tersebut memang tempat saya berulang alik. Beberapa buah kitab dalam koleksi Raja Abdullah Hakim tamat saya baca, namun ketika itu saya belum tahu membuat penilaian. Beberapa perkara mengenai perubatan Raja Ahmad Thabib saya perkenalkan sebagai berikut: Khasiat Dan Kaifiat Guna Ubat Tuan Brokdes Dan Tuan Setman Napal Negeri Holanda. Walaupun karya ini disusun oleh Raja Sa'id bin al-Marhum Raja Ahmad, namun ia merupakan dokumen yang terdapat dalam Rumah Ubat Raja Ahmad Thabib Riau. Hanya ditemui berupa lembaran-lembaran, tetapi tarikh penulisan dapat dikesan ialah pada, 1 Muharam 1323 H bersamaan 7 Mac 1905 M sampai 29 Jamadilakhir 1336 H bersamaan 11 April 1918 M. Penulisan dilakukan di Penyengat Riau. Kandungan nama-nama ubat dalam bahasa asing dan kegunaannya. Beberapa lembar membicarakan perubatan selain yang tersebut di atas, dapat dipastikan karangan Raja Ahmad Thabib, judul sebenar belum diketahui. Kandungannya membicarakan tentang nadi. Manuskrip yang tidak lengkap tersebut dijumpai dalam kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan karya Syeikh Ahmad al-Fathani. Dari sini dapat dipastikan bahawa Raja Ahmad Thabib sempat belajar kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana mulai kulit depan kitab tersebut hingga akhir terdapat catatan-catatan tulisan tangan Raja Ahmad Thabib. Sebagaimana manuskrip Raja Ahmad Thabib membicarakan nadi dan pemeriksaan penyakit melalui air kencing, dalam karya Syeikh Ahmad al-Fathani juga terdapat bahasan mengenainya. Untuk mengetahui sedikit pengetahuan perubatan tradisional, untuk kita bandingkan dengan perubatan moden dan jalan bahasa klasik menurut gaya bahasa Melayu Riau, kiranya baik juga saya transliterasikan di antara kandungannya, ialah: "Sebermula jika orang laki-laki nadinya itu besar sebelah kanan, alamat sakit. Dan jika besar sebelah kiri, alamat sihat. Dan jika perempuan besar nadinya itu pada tangan kiri, alamat sakit. Dan jika besar tangan kanan, alamat sihat. Tulisan Raja Ahmad Thabib selanjutnya, "Fasal Yang Pertama Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Zahabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka keras pukulnya di atas, alamat banyak angin panas dalam anggotanya. Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya jatuh, barangkali terasa sedikit-sedikit, alamatnya paru-parunya kembang, banyak sejuk. Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tidak ia memukul di atas, maka ada ia memukul di dalam sedikit-sedikit, alamat banyak balghamnya (balgham = lendir atau dahak, pen:) bercampur angin dan ketul balghamnya itu. Dan Fasal Yang Kedua Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Turabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya perlahan-lahan di atas, alamat ada angin sejuk, maka menjadi lesu tubuhnya. Dan jika ditekan keras, maka pukulnya pun keras, alamat ada angin panas pada tubuh. Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka pukulnya itu keras, alamat dalam perutnya terlalu sangat panas. Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tiada sekali-kali ia memukul...'' (naskhah rosak, tidak dapat dibaca, pen:). Ada pun pemeriksaan melalui air kencing Raja Ahmad Thabib menulis sebagai berikut, "Fasal Yang Ketiga Pada Menyatakan Melihat Kepada Air Kencing: Bermula jika warna air kencingnya itu kuning pertengahan alamat tabiatnya itu sederhana. Dan jika sangat kuningnya, hampir kepada merah, alamat panas tubuhnya. Dan jika warna itu sangat merahnya, alamat sakitnya itu di dalam dada, tetapi sejuk. Dan jika warnanya merah bercampur kuning, alamat panas sekalian badan, dan angin, dan demam, dan terkadang yang demikian itu lendir dan darah, maka bisa, serba salah. Tidur pun tidak boleh. Jika tidak boleh, panas, kencing sakit, huap semuanya sampai ke hati. Dan jika warnanya merah semua, lagi cair, alamat hangus segala badan, darah dan tulang di dalam badan semuanya buruk. Dan tempat kencing sudah luka, ke sungai kecil sakit dan terkadang keluar nanah, atau darah, atau keluar kura kuning-kuning. Dan tiada boleh tidur dan bisa ari-ari. Dan jika warnanya merah atau pekat, alamat luka tempat kencing dan demam siang malam, dan kurus badannya. Tiada boleh tidur, dan hatinya rosak. Lagi tabiatnya ketakutan sentiasa seperti gila. Dan batuk selama-lamanya kemudian keluar darah ... " Di antara jenis ubat yang dicipta oleh Raja Ahmad Thabib yang paling mujarab dan pada satu ketika dulu pernah terkenal di Riau, Singapura dan Johor terutama dalam lingkungan masyarakat Melayu ialah dinamakan Syarbat Zanjabil. Syarbat Zanjabil ialah sejenis ubat berupa cairan yang dibuat daripada bahan rempah-rempah, berbau agak harum dan dijual dalam botol. Ubat tersebut telah banyak bukti boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dalaman seumpama sakit jantung, sakit tulang, sakit kuning dan lain-lain. Selain Syarbat Zanjabil dalam koleksi Raja Ahmad Thabib juga dikenali dua jenis minyak yang dipusakai turun temurun oleh keluarga tersebut, kedua-dua minyak itu ialah Minyak Mengkasar dan Minyak Bau. Kedua-dua jenis minyak tersebut berfungsi untuk jenis sakit luar, seumpama kembung perut, disengat binatang berbisa, bahkan kedua-duanya juga berfungsi untuk ubat kerasukan, kekejangan dan lain-lain. Ada lagi satu kepakaran Raja Ahmad Thabib yang mungkin tidak dialami oleh pakar perubatan moden sekarang ini, kerana pada satu peristiwa Raja Ahmad Thabib pernah membedah pesakit hanya dengan sembilu (buluh yang ditajamkan seperti pisau). Peristiwa tersebut ketika itu di Pulau Penyengat dan Tanjungpinang belum terdapat peralatan perubatan moden. Diriwayatkan bahawa sebelum melakukan pembedahan yang mendesak dan mendadak Raja Ahmad Thabib menggambarkan pembedahan itu hanyalah untuk pertolongan sementara saja, kerana ketahanan pesakit hanya sekitar antara tujuh sampai sepuluh jam saja. Untuk menyelamatkannya mesti dibawa ke Singapura supaya diberi ubat-ubat yang lebih sesuai. Pelayaran dari Tanjungpinang ke Singapura ketika itu memakan masa tujuh jam, bererti mesti memburu baki waktu tiga jam yang dikatakan beliau itu. Ternyata pesakit selamat ketika dibedah dan selanjutnya selamat pula dalam perawatan moden di Singapura. Cerita ini saya catat daripada ramai Kerabat Diraja Riau sejak tahun 1962, dan hingga sekarang yang menceritakan masih ada yang hidup, yang telah berumur melebihi 90 tahun.
Ditulis oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH – ULAMA NUSANTARA BLOGSPOT.
Thursday, April 28, 2016
Daik (Bekas Pusat Kerajaan Riau Lingga)
Daik, dahulunya hampir selama seratus tahun menjadi pusat kerajaan Riau-Lingga, sekarang menjadi ibu kota Kecamatan Lingga, Kabupaten Kepulauan Riau.
Kota Daik yang terletak di sungai Daik, hanya dapat dilalui perahu atau kapal motor di waktu air pasang. Kalau air surut, sungai Daik mengering dan tak dapat dilalui. Perhubungan lainnya adalah melalui jalan darat ke desa Resun di sungai Resun. Dari sana melalui sungai itu terus ke muara (Pancur) yang terletak di pantai utara pulau Lingga, berseberangan dengan Senayang.
Selama seratus tahun Daik menjadi pusat kerajaan, tentulah terdapat berbagai peninggalan sejarah dan sebagainya. Raja-raja kerajaan Riau-Lingga yang memerintah kerajaan selama periode pusat kerajaan di Daik Lingga yaitu : Sultan Abdurakhman Syah (1812-1832), Sultan Muhammad Syah (1832-1841), Sultan Mahmud Muzafar Syah (1841-1857), Sultan Sulalman Badrul Alam Syah II (1857-1883) dan Sultan Abdurrakhman Muazzam Syah (1883-1911).
Mesjid Jamik Daik
Mesjid Jamik terletak di kampung Darat, Daik Lingga, dibangun pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Riayat Syah (1761-1812) pada masa awal beliau memindahkan pusat kerajaan dari Bintan ke Lingga. Sumber tempatan menyebutkan bahwa bangunan mesjid ini dimulai sekitar tahun 1803, dimana bangunan aslinya seluruhnya terbuat dari kayu. Kemudian setelah Mesjid Penyengat selesai dibangun, maka bangunan Mesjid Jamik ini dirombak dan dibangun lagi dari beton.
Mesjid ini di dalam ruang utamanya tidaklah mempergunakan tiang penyangga kubah atau lotengnya. Pada mimbarnya terdapat tulisan yang terpahat dalam aksara Arab-Melayu (Jawi), berisi : “Muhammad SAW. Pada 1212 H hari bulan Rabiul Awal kepada hari Isnen membuat mimbar di dalam negeri Semarang Tammatulkalam.” Tulisan ini memberi petunjuk, bahwa mimbar yang indah ini dibuat di Semarang, Jawa Tengah dengan memasukan motif-motif ukiran tradisional Melayu.
Bekas Istana Damnah
Yang tersisa dari bangunan yang dahulunya sangat megah ini hanyalah tangga muka, tiang-tiang dari sebahagian tembok pagarnya yang seluruhnya terbuat dari beton. Sekarang puing istana ini terletak dalam hutan belantara yang disebut kampung Damnah.
Istana Damnah didirikan oleh Raja Muhammad Yusuf AI-Ahmadi, Yang Dipertuan Muda Riau X (1857-1899). Dalam tahun 1860 olehnya didirikan istana Damnah untuk kediaman Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah II, dimana sebelumnya Sultan ini di Istana Kota Baru tak berjauhan dari pabrik sagu yang didirikannya.
Gedung Bilik 44
Yang disebut gedung bilik 44 adalah pondasi gedung yang akan dibangun oleh Sultan Mahmud Muzafar Syah. Gedung ini baru dikerjakan pondasinya saja karena Sultan keburu dipecat Belanda tahun 1812. Lokasinya terletak di lereng gunung Daik.
Walaupun gedung ini belum sempat berdiri, tetapi dari pondasinya yang berjumlah 44 itu sudah dapat kita bayangkan betapa besarnya minat Sultan Mahmud untuk membangun negerinya. Di gedung ini, menurut rencana Sultan akan ditempatkan para pengrajin yang ada di kerajaan Riau-Lingga, supaya mereka dapat bekerja lebih tenang serta mengembangkan keahliannya. Namun cita-cita Sultan Mahmud terkandas oleh penjajah asing.
Kubu Pertahanan
Daik sebagai pusat kerajaan Riau-Lingga tentulah memerlukan pengawalan ketat. Perairan selat Malaka yang masa silam selalu ramai dengan desingan peluru dan asap mesiu. Untuk menjaga berbagai kemungkinan dalam pertempuran, di Daik Lingga dan sekitarnya didirikan kubu-kubu yang kokoh dengan persenjataan lengkap menurut keadaan zamannya, yang terdapat di pulau Mepar, Kubu Bukit Ceneng dan Kubu Kuala Daik.
Makam Bukit Cengkeh
Di Bukit Cengkeh, Daik, terdapat kompleks makam raja-raja Riau-Lingga. Bangunan ini dulunya amat indah, bentuknya segi delapan dengan kubah bergaya arsitektur Turki. Kini makam ini sudah runtuh, yang tersisa hanya sebagian dindingnya dan pagar beton kelilingnya. Di kompleks makam ini terdapat pusara : Sultan Abdurrakhman Syah (1812-1832), beberapa anggota keluarga kerajaan Riau-Lingga. Makam ini tidaklah sulit dicapai karena terletak di pinggir jalan raya, di atas Bukit Cengkeh yang indah pemandangannya.
Makam Merah
Disebut makam merah karena warna cat bangunannya merah, tiangnya terbuat dari besi, pagarnya dari besi dan atapnya seng tebal. Makam ini tidak berdinding dan atapnya berbentuk segi empat melingkari makam. Makam ini letaknya tidaklah berapa jauh dari bekas istana Damnah.
Makam ini terkenal bukanlah karena bangunan makamnya, tetapi karena yang dimakamkan disini adalah Raja Muhammad Yusuf Yang Dipertuan Muda Riau X.
Rumah Datuk Laksemana Daik
Bangunan tua ini terletak di kampung Bugis, berbentuk limas penuh. Rumah ini selain pernah ditempati oleh Datuk Laksemana Daik,pernah pula ditempati oleh Datuk Kaya pulau Mepar, karena beliau ini menantu Datuk Laksemana. Rumah ini masih agak baik dan ditempati oleh keluarga Datuk Laksemana dan Datuk Kaya Daik.
Di rumah ini masih tersimpan sisa-sisa benda milik Datuk Laksemana dan Datuk Kaya, seperti : beberapa jenis pakatan kebesaran Datuk Kaya dan Datuk Laksemana, benda-benda upacara adat, motifmotif tenunan, batik, ukiran-ukiran dan sebagainya.
Saturday, March 19, 2016
27. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh tujuh...
Sunday, March 13, 2016
26. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Bahagian ke dua puluh enam...
Raja Haji Menjadi Yang DiPertuan Muda Riau
Pada tahun 1777 Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja telah mangkat di Riau sewaktu Raja Haji Engku Kelana berada di Pontianak di Kalimantan seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
“Alkisah maka tersebutlah perkataan baginda Sultan Mahmud di dalam negeri Riau. Maka apabila telah mangkat paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja, iaitu Marhum Janggut maka duduklah baginda itu dengan kemasygulan. Adapun putera-putera Marhum Janggut ada juga semuanya, maka baginda pun duduklah ternanti-nanti akan suruhan yang pergi ke Pontianak itu, belum juga lagi datang. Maka baginda pun selalu jugalah menyuruh rakyat rakyat melihat ke belakang Riau barangkali ada tampak akan angkatan Raja Haji.
Syahadan di dalam hal yang demikian itu, maka suruhan dari Pahang pun datanglah membawa surat dari Datuk Bendahara mengatakan hal Raja Haji ada di dalam Pahang sudah dilantik di Pahang oleh Datuk Bendahara (Tun Abdul Majid Ibni Bendahara Tun Abbas). Setelah baginda mendengarkan paduka ayahanda Raja Haji telah berada di Pahang itu maka lalu baginda itu berangkat ke Pahang. Maka tiada berapa lamanya maka sampailah ke Kuala Pahang. Maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji serta Datuk Bendahara pun menyambutlah akan baginda itu. Maka duduklah baginda itu serta paduka ayahanda Raja Haji serta Datuk Bendahara Pahang betapa adat Raja besar-besar berhimpun.
Syahadan tiada berapa lamanya baginda Sultan Mahmud serta paduka ayahanda Yang DiPertuan Muda Raja Haji berangkatlah balik ke Riau. Syahadan apabila tiba ke Riau maka Yang DiPertuan Muda Raja Haji pun membuat istana di Pulau Malim Dewa serta dengan kotanya yang indah-indah yang bertatah dengan pinggan dan piring sangatlah indah perbuatannya, dan satu pula balai dindingnya cermin. Adalah tiang balai itu bersalut dengan kaki pahar tembaga dan kota itu sebelah atasnya berkisi-kisikan bocong. Adapun kota itu apabila kena matahari menancar-mancar cahayanya. Kemudian memperbuat pula satu istana lagi di Sungai Galang Besar sangat juga indah-indah perbuatannya, iaitu istana paduka anakanda baginda itu Sultan Mahmud. Dan perhiasan istana Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda itu daripada emas dan perak jua, dan seperti talam dan ceper kebanyakan diperbuat di negeri China, dan seperti tepak dan balang air mawar daripada emas dan perak diperbuat di negeri Benila (Manila) yang berkarang dan bertahtakan intan dan yang berserodi. Dan adapun pinggan mangkuk dan cawan kahwa dan teh kebanyakan diperbuat di negeri China serta tersurat dengan air emas pada pantat cawan itu tersebut Pulau Malim Dewa. Adalah cawan itu hingga sampai kepada anak cucunya, iaitu sah dengan nyatanya.
Syahadan kata sahibul hikayat adalah pada masa Yang DiPertuan Muda Raja Haji ini mangkin ramai Riau, serta dengan makmurnya serta banyaklah orang-orang negeri Riau kaya-kaya. Syahadan baginda Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda pun banyaklah mendapat hasil-hasil dan cukai-cukai. Syahadan segala penjajab perang pun beraturlah di pelabuhan serta cukup ubat pelurunya serta panglima-panglimanya, tiga puluh turun, tiga puluh naik ke darat. Syahadan demikianlah di dalam beberapa tahun bersuka-sukaan kerana negeri aman lagi makmur, dan segala makan-makanan pun murah dan segala orang-orang dagang pun banyaklah dapat untung kerana terlalu ramai orang-orangnya.
Syahadan di dalam hal itu maka kebanyakan suku-suku Melayu tiada menerima syukur hingga menaruh dendam juga didalam hatinya akan Raja-Raja Bugis, dengan beberapa jenis perbuatan dan kelakuan hendak mencarik kan juga nama Yang DiPertuan Muda serta Bugis-Bugis biar mendapat nama busuk sehingga keluarlah Raja Indera Bungsu itu anak beranak adik beradik ke Trengganu, sebab kecil hati akan Raja-Raja Bugis konon. Katanya, “Kaya seorang, mewah seorang”.
Di dalam hal itu berjalan pula fitnah daripada Yang DiPertuan Trengganu dengan Raja Indera Bungsu dan Bendahara Pahang. Tiap-tiap tahun berkirim surat kepada Holanda ke Melaka dan ke Betawi dan kepada Inggeris ke Benggal dan ke Madras dan ke Silung. Adalah kehendaknya minta tolong pukulkan Riau juga minta ambilkan baginda Sultan Mahmud di bawah tapak kaki Bugis, itulah jadi perbahasan suku-suku sebelah Melayu. Syahadan adalah yang aku dapat ini, iaitu tersebut di dalam sejarah karangan Engku Busu Dungun – Trengganu. Ialah Raja Melayu yang dapat rahsia antara kedua pihak, demikianlah adanya.
Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Raja Ismail di Tanah Putih. Maka baginda pun membuatlah akan perahu kakap di dalam hutan itu dikerahnya segala orang-orang Tanah Putih itu padahal seorang pun tiada tahu. Kemudian lama-lama tahulah orang-orang Siak, maka datanglah kepada baginda. Maka ditahan oleh baginda, maka tiadalah berani orang-orang Siak itu datang dan tiada berani berkhabar-khabar.
Syahadan kemudian baginda pun menerima satu Tuan Syed bangsa Sakkaf diperbuatnya menantu, dinikahkannya dengan puterinya bernama Tengku Kamariah. Maka Tuan Syed itupun digelar Tuan Besar, maka musyawarahlah baginda itu dengan Tuan Besar itu, maka ia pun bersiaplah perahu kakap ada dua belas buah dan penjajab yang besarnya ada empat buah. Maka apabila telah siap maka baginda pun masuk ke Siak. Maka terkejutlah Yang DiPertuan Muhammad Ali, maka menyuruhlah ia Panglima Hasan mengatur akan kelengkapannya. Maka Panglima Hasan pun mengerjakanlah akan titah itu. Kemudian Panglima Hasan pun menyuruh mengisi meriam.
Maka berperanglah keduanya itu dengan azamatlah bunyi nya. Maka seketika berperang itu banyaklah rosak kepengkapan Panglima Hasan. Maka Panglima Hasan pun merapat dan Raja Ismail merapatkan juga akan kenaikannya. Maka lalulah berbedil-bedilan pemburasnya. Maka Raja Ismail pun menyuruh kerumunkan perahu Panglima Hasan. Maka dinaikkan oleh panglima-panglima Raja Ismail akan perahu Panglima Hasan itu. Maka lalulah beramuk-amuk di dalam perahu Panglima Hasan itu. Maka Panglima Hasan pun mengamuklah maka matilah ia dikerumuni oleh panglima-panglima Tanah Putih itu.
Syahadan setelah kelengkapan Siak itu melihat Panglima Hasan itu sudah mati, maka pecahlah perangnya, undurlah ia berterjunan naik ke darat tinggalkan perahunya. Maka Raja Ismail pun menyuruh naik orang-orangnya mengamuk dan membakar. Syahadan adapun Yang DiPertuan Muhammad Ali dilarikan orang-orang tuanya masuk Sungai Mampura. Syahadan segala Raja-Raja perempuan pun berjerit-jeritlah. Maka isteri Yang DiPertuan Muhammad Ali bernama Tengku Ambung saudara Raja Ismail pun turunlah ke jembatan itu serta Raja-Raja perempuan mendapatkan Raja Ismail. Setelah Raja Ismail melihat kekanda adinda sekelian turun itu, maka ia pun segera mendapatkan sambil bertangis-tangisan. Maka negeri Siak pun dapatlah semula dengan Raja Ismail.
Syahadan Yang DiPertuan Raja Ismail pun bertitahlah kepada kekanda adinda sekelian, “Mengapa abang Muhammad Ali lari? Bukannya saya hendak membunuh dia”. Kemudian Yang DiPertuan Raja Ismail pun menyuruh mengambil Yang DiPertuan Muhammad Ali ke Patapahan. Maka apabila sampai suruhan itu maka ia pun berdatang sembah kepada Yang DiPertuan Muhammad Ali sembahnya, “ Paduka adinda Yang DiPertuan Besar Raja Ismail menyilakan tuanku ilir ke Siak juga”. Maka titah Yang DiPertuan Muhammad Ali, “Jika datang Raja Ngah atau Ambung mengambil aku kemari, beranilah aku ilir”. Maka suruhan itupun kembali mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Raja Ismail akan perkataan Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka baginda pun menyuruhkan akan kekanda baginda Tengku Ambung itu pergi mengambil suaminya Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka datnglah Yang DiPertuan Muhammad Ali itu.
Maka apabila berjumpa Yang DiPertuan Muhammad Ali itu dengan Yang DiPertuan Raja Ismail maka sembah Tengku Ambung. “Inilah kekanda itu, apa-apa titahlah”. Maka titah Yang DiPertuan Raja Ismail, “Jika abang Ambung hendak balik dengan abang Muhammad Ali saya balikkanlah”. Maka jawab Tengku Ambung, “Jikalau abang Muhammad Ali itu menjadi Yang DiPertuan Muda lagi, maulah abang Ambung balik dengan dia”. Maka Yang DiPertuan Raja Ismail pun menyuruh bersumpah tiada hendak berniat khianat lagi. Maka bersumpahlah Yang DiPertuan Muhammad Ali itu. Maka lalu dibalikkannya laki isteri itu.
Syahadan kata sahibul hikayat maka tiada beberapa lamanya maka sampailah peredaran dunia, maka geringlah Raja Ismail Yang DiPertuan Besar itu dengan gering sangat. Maka berhimpunlah segala orang besar-besarnya kedalam. Maka baginda pun tahulah akan bilangan ajalnya maka lalu ia mengumpulkan saudara-saudaranya serta Yang DiPertuan Muda Muhammad Ali dan orang besar-besar sekelian. Maka berpesanlah ia akan gantinya, iaitu anaknya yang bernama Raja Yahya. Maka apabila habis ia berpesan itu, maka baginda pun mangkatlah. Maka dikerjakanlah oleh Yang DiPertuan Muda Muhammad Ali serta segala saudaranya betapa adat istiadat Raja-Raja mangkat. Maka dimakamkan di Mampura, maka dipanggil oranglah ia itu Marhum Mangkat di Balai.
Syahadan adalah yang menggantikan Kerajaannya puteranya yang bernama Raja Yahya, maka bergelar Sultan Yahya Syah Kerajaan di dalam negeri Siak. Adapun Tengku Abdullah menjadi Raja di Kampar bergelar Tengku Besar Kampar. Syahadan adalah anak Raja Alam al-Marhum dengan Daeng Khadijah, bernama Tengku Badariah, bersuamikan Syed Othman, mendapat anak beberapa orang. Pertama Syed Ali, kedua Syed Abdul Rahman. Syahadan akhirnya kelak ialah mengambil Kerajaan Sultan Yahya itu, lagi akan datang kisahnya di belakang ini”.
(bersambung ke bahagian ke dua puluh tujuh...)











