Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, November 1, 2015

2. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian kedua...

Pemuras senjata Melayu dahulukala yang canggih


Sejak awal kurun ke 18, ada lima orang Raja Raja Bugis bersaudara, putera kepada Opu Daeng Rilaga yang berasal dari Kerajaan Luwu di Sulawesi, telah mengembara dengan perahu perahu besar angkatan perang mereka belayar ke merata rata tempat di bahagian barat Nusantara ini, terutama di laut laut di sekeliling Semenanjung Tanah Melayu dan di Kepulauan Riau. Raja Raja Bugis lima bersaudara itu bernama; Opu Daeng Parani, Opu Daeng Menambon, Opu Daeng Merewah, Opu Daeng Cellak dan Opu Daeng Kemasi. Pada masa itu Raja Raja Bugis tersebut telah pun menetap dan tinggal di Pulau Siantan dan saudara yang sulong iaitu Opu Daeng Parani telah berkahwin dengan anak perempuan kepada Penghulu Pulau Siantan yang bernama Nakhoda Alang. Kemudiannya, isteri Opu Daeng Parani di Pulau Siantan itu telah melahirkan seorang anak lelaki bernama Daeng Komboja, kerana mengambil sempena pengembaraan ayahnya ke negeri Kemboja. Kemudian dapat pula seorang anak perempuan bernama Daeng Khadijah.

Pada masa Sultan Abdul Jalil Ri'ayat Syah berKerajaan di negeri Johor itu juga, ada seorang Raja dari Hulu Pelembang yang bergelar Sultan Lembayang, telah berkelahi dengan saudaranya Sultan di negeri Pelembang, lalu Sultan Lembayang itu datang melawat ke negeri Johor. Bersama sama dalam rombongan itu Sultan itu, dibawanya juga seorang anak raja yang datang dari Minangkabau bernama Raja Beraleh atau disebut juga namanya Tuan Bujang yang telah menghambakan diri kepada Sultan Lembayang dijadikan tukang pembawa tempat sireh Sultan itu.

Kedatangan Sultan Lembayang itu telah diraikan dengan baik oleh Sultan Abdul Jalil. Sultan Lembayang telah meminang puteri Sultan Abdul Jalil hendak dijadikan isterinya, tetapi pinangan itu tiada diterima oleh Sultan Johor. Tidak lama setelah itu, Sultan Lembayang dengan rombongannya serta Raja Beraleh itu telah pergi ke Pulau Siantan dan telah beristeri disana. Setelah itu ia pun pergi ke Pulau Bangka, dan dengan pertolongan orang orang Belanda, Sultan Lembayang telah menyerang dan mengalahkan Pelembang serta menghalau saudaranya yang memerintah disitu.

Dengan kemenangan Sultan Pelembang yang baru itu, maka Raja Beraleh pun meminta izin untuk pergi ke Tanah Rawas di Hulu Pelembang, lalu beristeri dengan anak perempuan seorang orang besar disitu iaitu Dipati Batu Kucing. Daripada perkahwinan itulah Raja Beraleh dapat seorang anak lelaki bernama Raja Alam. Kemudian selepas membantu Raja Jambi dalam satu peperangan, Raja Beraleh pun kembali semula ke Pagar Ruyong di Minangkabau. Keluarga DiRaja Pagar Ruyong iaitu Yang DiPertuan Sakti dan Puteri Janilan kemudiannya kemudian memberikannya nama yang baru iaitu Yang DiPertuan Raja Kecik serta diberi alat Kerajaan serta cap kuasa yang membolehkan nya memerintah orang orang Minangkabau di persisiran Timur Sumatera.

Lela rentaka senjata Melayu dahulukala yang canggih
Sesudah mendapat kuasa dan kebesaran itu, Raja Kecik pun pergi lah ke Siak ke Bukit Batu, belum lagi dikeluarkannya kuasa dan nama serta cap daripada Yang DiPertuan Sakti. Raja Kecik pun mulalah berniaga jual beli telur ikan terubuk. Setelah itu menyambut pula modal orang dan melayarkan perahu orang bergelar Nakhoda Penangko, belayar pulang pergi berniaga ke Melaka. Setelah selesai daripada belayar itu barulah ia pergi ke Bengkalis. Disana baru lah Raja Kecik mengistiharkan namanya serta mengeluarkan kuasa dan capnya, lalu mengikutlah segala orang orang Minangkabau yang ada di Bengkalis. Setelah itu Raja Kecik pun pergi ke Batu Bara dan di perintah nya negeri Batu Bara. Maka mashurlah namanya sudah menjadi Raja serta dibuatnya kota dan parit serta melantik beberapa orang orang besarnya serta menteri dan hulubalang nya. Lalu Yang DiPertuan Raja Kecik pun pun mempersiapkan alat kelengkapan perangnya dengan beberapa perahu perangnya.

Pada sekitar tahun 1706, Sultan Abdul Jalil yang bersemayam di Pancor - Johor, telah melantik adinda baginda yang bernama Tun Mas Anum menjadi Bendahara Johor bergelar Bendahara Seri Maharaja. Dua tahun selepas itu, Sultan Abdul Jalil telah berpindah pula dari Pancor - Johor untuk bersemayam di Riau atas pujukan adinda baginda Yang DiPertuan Muda Tun Mahmud. Semasa menjalankan pemerintahan negeri Johor ini, Yang DiPertuan Muda Tun Mahmud ini dikatakan telah bertindak keras dan zalim kepada rakyatnya dengan tidak setahu kekandanya Sultan Sultan Abdul Jalil.

Setelah bersemayam sekitar lapan tahun lamanya, pada tahun 1716, Sultan Abdul Jalil telah berpindah semula untuk bersemayam di Pancor- Johor, kerana di Riau pada waktu itu selalu dikacau oleh orang orang Minangkabau, Bugis dan orang orang Patani. Pada tahun yang sama juga, adinda baginda Bendahara Tun Mas Anum telah mangkat, maka adinda baginda yang bernama Tun Abdullah pula dilantik menjadi Bendahara Johor bergelar Bendahara Paduka Raja. Manakala dua orang lagi adinda baginda dijadikan Temenggung dan Raja Indera Bongsu. Anak anak baginda yang perempuan ialah Tengku Tengah, Tengku Mandak dan Tengku Kamariah.

Semasa Yang DiPertuan Raja Kecik sedang mempersiapkan angkatan perangnya pada tahun 1717, ia telah berjumpa dengan Opu Daeng Parani dan saudara saudaranya nya di Bengkalis, lalu Raja Kecik pun mengajak Raja Raja Bugis Lima bersaudara itu membantunya menyerang dan mengambil negeri Johor dan berkata bahawa apabila Johor dapat di tangan nya nanti, Opu Daeng Parani akan di lantiknya menjadi Yang DiPertuan Muda. Raja Raja Bugis itu tiada bersetuju membantu Raja Kecik didalam menjalankan kemahuannya itu, tetapi mereka berdalih dengan memberitahu Raja Kecik; biarlah mereka pergi dahulu ke Langat (didalam negeri Selangor sekarang) untuk mengumpulkan orang orang Bugis dan menyediakan kelengkapan perangnya disana.

Meriam adalah senjata Melayu dahulukala yang canggih
Pada akhir tahun 1717 itu juga, Raja Kecik pun membawa perahu angkatan perangnya melalui Selat Singapura hendak mudik ke Sungai Johor untuk menyerang negeri Johor. Sebelum melancarkan serangannya, Raja Kecik lebih dahulu telah menghantarkan orang orang besarnya pergi memujuk Raja Negara iaitu Ketua Batin (Orang orang Laut) di Singapura, dan memujuk Orang orang Laut di Kuala Johor, supaya menyebelahi Raja Kecik, dengan mengatakankan kepada Orang orang Laut serta kepada orang orang Melayu rakyat Johor yang lainnya bahawa Raja Kecik itu adalah putera Marhum Mangkat DiJulang (Sultan Mahmud Syah II) daripada isterinya bernama Che' Pong, anak Dato' Laksamana Johor. Apabila Sultan Mahmud mangkat dibunuh dan kerana takutkan akan dibunuh juga, maka Che' Pong yang sedang mengandungkan Raja Kecik, telah dilarikan ke Minangkabau, dan di Minangkabaulah Che' Pong telah melahirkan Raja Kecik, lalu Raja Kecik itu dijadikan anak angkat oleh keluarga DiRaja Pagar Ruyong di Minangkabau. Dan sekarang ini Raja Kecik datang hendak mengambil negeri Johor, pesaka almarhum ayahnya itu. Maka barang siapa rakyat yang tiada mau mengikut, nanti ditimpa daulat Marhum Mangkat DiJulang, tiada selamat sampai ke anak cucunya. Dan barang siapa yang menyertai nya, akan mendapat kurnia daripada Raja Kecik daripada beberapa kayu kain yang baik buat persalinan.

Maka orang orang Laut di Kuala Johor dan diSingapura serta beberapa ramai rakyat Johor lainnya telah bersetuju dengan pujukan orang orang besar Raja Kecik itu, dan mereka telah mengajak Raja Kecik datang ke negeri Johor. Selain daripada pujukan tersebut, rakyat Johor juga telah merasa benci kepada pemerintahan Yang DiPertuan Muda Tun Mahmud yang zalim itu. Raja Kecik juga telah berkirim surat kepada Dato' Laksamana Johor, yang merupakan ayah kepada Che' Pong, memberitahu bahawa ia hendak menyerang negeri Johor, dan Dato' Laksamana pun bersetuju untuk belot serta menyertai Raja Kecik. Kesah serangan dan penaklokan negeri Johor di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-
"Syahadan apabila selesailah jalan tipu hikmat itu, maka Raja Kecik datanglah dengan kelengkapan perang melangar Johor itu. Maka tiadalah rakyat rakyat laut itu memberitahu kedalam negeri lagi. Maka masuklah segala kelengkapan perang itu kedalam Johor dengan terserkap. Maka terkejutlah orang Johor mengatakan, 'Musuh datang melanggar'. Maka dipermaklumkan kepada Yang DiPertuan Muda. Maka tiada dihiraukannya sebab ia tengah bermain catur. Maka Raja Kecik pun serta Minangkabau tibalah ke Pengkalan Rama lalulah naik ke jembatan dengan segala pendekarnya dan membunyaikan senapangnya. Maka melawanlah orang orang Johor itu, berperang mana mana sempat berbunuh bunuhan sehari itu. Maka banyaklah orang Johor belot sebelah Minangkabau, kerana Laksamana kepala perangnya telah belot.
"Maka Yang DiPertuan Muda pun membunuh isterinya lalulah ia keluar mengamuk pula, kerana fikirannya daripada isterinya diambil Minangkabau diperbuatnya gundik, terlebih baik biar hilang sekali. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun mengamuklah menyerbukan dirinya kepada pehak sebelah Raja Kecik itu. Lalu berkejar kejaran hambat berhambat hingga sampai ke Kayu Anak nama tempat itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun mangkatlah disitu, sebab sabur menyabur orang beramuk itu.

"Syahadan tatkala sudah mangkat Yang DiPertuan Muda itu maka Johor pun alahlah. Maka keluar Sultan Abdul Jalil dari dalam kotanya pergi ke kampong orang lain pula. Maka bermesyuwarahlah Sultan Abdul Jalil itu, 'Baik menggamukkah, atau baik menyerahkan diri?. Maka muafakatlah segala menterinya, 'Baik menyerahkan diri'. Maka lalulah Sultan Abdul Jalil itu pergi kepada Raja Kecik dengan tiada bersenjata, menyerahkan diri. Maka tiadalah diapa apakan oleh Raja Kecik itu, hanya diperbaik baikinya sambil berkata, 'Ayah, saya hendak jadikan Bendahara semula'.

"Syahadan tiada berapa lamanya maka Raja Kecik pun bertunanglah dengan puteri Sultan Abdul Jalil itu, yang bernama Tengku Tengah. Didalam pada Hari Raya, maka datang lah Sultan Abdul Jalil putera berputeri mengunjungi Raja Kecik. Maka puteri yang bernama Tengku Kamariah pun bersama sama jua. Maka terpandanglah Raja Kecik akan paras Tengku Kamariah itu, berahilah ia pula. Maka dipintanya pula Tengku Kamariah itu, tiadalah jadi dengan Tengku Tengah itu. Maka tiadalah terkata kata Sultan Abdul Jalil itu, kerana lebih lebih maklum orang yang sudah alah. Syahadan maka nikahlah Tengku Kamariah itu dengan Raja Kecik, betapa adat Raja yang besar besar bernikah kahwin, demikianlah halnya. Maka tetaplah Raja Kecik itu didalam negeri Johor. Maka seolah olah negeri Johor itu beRaja dualah pada masa itu ada nya".

(bersambung ke bahagian ketiga...)

1. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian pertama...



Peta di kawasan Kerajaan Johor Lama
Pada kurun ke 17, empayer Kerajaan Johor yang merupakan warisan daripada empayer Kerajaan Melaka, masih lagi merupakan sebuah empayer Kerajaan Melayu Islam terbesar di Nusantara ini yang jajahan takluknya meliputi negeri negeri Johor, Pahang, Terengganu, Singapura, Riau, Lingga hinggalah ke beberapa negeri dipersisiran Sumatera seperti Siak dan Bengkalis. Pada masa itu, hanya terdapat dua kuasa besar Barat iaitu Belanda dan Inggris yang lengkap dengan angkatan perangnya sudah pun bertapak di Nusantara ini dan menjalinkan hubungan perniagaan dengan Negeri Negeri Melayu yang ada disini termasuk dengan Kerajaan Johor. Pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah (II), Sultan Johor ke 10, Kerajaan Johor ada membuat perjanjian dengan pehak Belanda bagi membenarkan orang orang Belanda bebas berniaga di negeri2 dibawah takluk Kerajaan Johor.

Pada bulan Ogos tahun 1699, Sultan Mahmud Syah (II) yang masih muda ketika itu, berusia sekitar dua puluh empat tahun telah mangkat di Kota Tinggi, dibunuh oleh orang besar baginda bernama Megat Seri Rama kerana kezaliman dan kebengisan baginda. Kesah kemangkatan baginda di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis tulisan Raja Ali Haji adalah seperti berikut:-

"Adalah seorang Raja Johor bernama Sultan Mahmud. Adalah baginda itu berbinikan peri konon, iaitu suatu nauk daripada jin; jadi baginda itu tiadalah suka bersekedudukan dengan isterinya yang berbangsa manusia ini.

"Pada suatu hari baginda itu tengah beradu, maka datanglah seorang mempersembahkan nangka masak, ditaruh oleh Penghulu Istana itu, kerana menantikan baginda itu jaga; tiba tiba datang bini Megat Seri Rama yang bunting, mengidam hendak makan nangka, lalu dipintanya seulas kepada Penghulu Istana itu. Maka Penghulu pun mengambil seulas diberikan kepada bini Megat Seri Rama itu, maka ia pun baliklah.
"Maka apabila Raja itu terjaga, hendak makan nangka, lalu dipersembahkan oleh Penghulu Istana kepada baginda: "Ada yang tiada baik tadi, patik berikan kepada bini Megat Seri Rama daripada terbuang sahaja". Apabila ia mendengar maka baginda pun murkalah lalu disuruhnya panggil bini Megat Seri Rama itu, dibelahnya perutnya, dikeluarkannya anaknya dari dalam perutnya itu, maka matilah bini Megat Seri Rama itu.

"Maka apabila sampai khabar itu kepada suaminya Megat Seri Rama, maka ia pun menangislah, serta hilang akalnya, meradang sebab marah nya. Maka lalu ia mendapatkan Dato' Bendahara, maka dimaklumkannya yang ia hendak membalas dendam kematian isterinya itu, seraya berkata: "Jikalau Dato' hendak menjadi Raja, inilah ketikanya, yang diperhamba hendak menderhaka tiada boleh tidak". Syahadan adalah Megat Seri Rama itu seorang hulubalang yang kebal, banyak anak buahnya, serta kuat kuasanya. Maka bermesyuaratlah Dato' Bendahara itu dengan saudaranya Temenggung dan Indera Bongsu akan hajat Megat Seri Rama itu, bersatulah sekelian mereka itu serta membenarkan Megat Seri Rama itu, kerana segala orang orang besar di dalam negeri itu, ramai yang sukakan Bendahara itu menjadi Raja, kerana kata mereka itu: "Ini baru Megat Seri Rama dibuatnya, akhirnya kita semua pun nanti dibuatnya begitu juga". Maka tetaplah muafakat itu...

"Syahadan adalah yang tiada pernah berpisah dengan baginda adalah seorang hulubalangnya yang berani didalam negeri itu, lagi gagah perkasa, bernama Seri Bija Wangsa. Maka hulubalang itu ditipu oleh Dato' Bendahara lalu disuruhnya bunuh maka matilah ia, kerana jikalau ada Seri Bija Wangsa itu, susahlah Megat Seri Rama itu melakukan kehendaknya. Syahadan maka adalah pada ketika itu baginda itu diatas julang hendak pergi bersembahyang Jumaat, lalu diparangnya hulu baginda itu lalu mangkat, dan Megat itu pun mati juga, kerana dilontar oleh baginda dengan kerisnya".

Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang di Kota Tinggi
Begitulah kesahnya seperti yang tersebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis. Itulah sebab nya almarhum Sultan Mahmud Syah (II) itu dikenali dengan gelaran Marhum Mangkat diJulang, dan disebut juga Marhum Kota Tinggi. Ada pun jenazah Megat Seri Rama itu, dengan senyap senyap telah dikebumikan dalam kawasan perkuburan Laksamana, iaitu Laksamana yang berkeluarga dengan pehak ibu Marhum Mangkat diJulang dari keturunan Paduka Raja Tun Abdul Jamil.

Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang di Kota Tinggi
Setelah mangkat Sultan Mahmud Syah (II), Marhum Mangkat diJulang, yang tiada meninggalkan putera yang akan mewarisi tahta Kerajaan, maka pada awal bulan September tahun 1699 itu juga, orang orang besar Kerajaan Johor telah menabalkan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil putera almarhum Bendahara Tun Habib Abdul Majid menjadi Sultan Johor Ke 11, bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (IV). Adinda baginda Tun Mahmud dilantik baginda menjadi Yang DiPertuan Muda. Sejak itu anak anak baginda dipanggil Tengku. Tiada beberapa lama setelah baginda berKerajaan, isteri baginda yang bernama Che' Nusamah berputerakan seorang anak lelaki, dinamakan Raja Sulaiman.

Negeri Johor pada masa itu adalah sangat maju dan makmur, ramai orang orang yang datang berniaga disana, termasuklah orang orang Inggris, Belanda, Cina, India, Arab dan lain nya. Di bandar tempat Sultan Johor bersemayam iaitu diPancor, ada sebuah kota kecil terletak diatas suatu tanah tinggi. Bentuk kota itu empat persegi panjang, diperbuat daripada kayu balak yang tebal dan besar berlapis lapis hingga dua belas kaki tingginya dari tanah, dan lantai disebelah dalam kota itu ditinggikan lima kaki. Kota itu terletak dekat kuala sebuah sungai kecil di tepi Sungai Johor. Kota itu mempunyai dua belas pucuk meriam tembaga yang besar dan sangat cantik buatannya. Lima pucuk daripada meriam itu diletakkan menghala ke Sungai Johor, dan tujuh pucuk lagi dihalakan ke Sungai Tukul.

Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (IV) adalah seorang Sultan yang sangat sederhana dan adil. Orang orang besar Kerajaan serta rakyat Johor kasih kepada baginda dan perniagaan dalam negeri pun mewah. Pemerintahan negeri yang baginda sendiri tadbirkan telah berjalan dengan baik selama lapan atau sembilan tahun. Setelah itu baginda menyerahkan urusan pemerintahan negeri Johor kepada adinda baginda, Yang DiPertuan Muda (Tun Mahmud), apabila baginda semakin kuat beribadah serta sering duduk bersama para alim ulama dan jarang keluar di istana baginda...

(bersambung ke bahagian kedua...)

Tuesday, October 5, 2010

Sunday, October 3, 2010

Sunday, April 11, 2010

Thursday, March 25, 2010

Raja Isa dan Jejak Awal Sejarah Pemerintahan di Pulau Batam (1829 – 1913)

Sejarah Pemerintahan di Pulau Batam (1829 – 1913)

n1273675676_30058099_364Nama pulau Batam, yang kini telah lekat dan terkenal sebagai nama sebuah kota maju yang perkembangannya paling pesat dan dinamis di Provinsi Kepulauan Riau telah lama dikenal. Sebuah peta perlayaran VOC tahun 1675 yang kini tersimpan di perpustakaan Universitas Leiden, umpamanya, telah mencatumkan pulau Batam dengan nama pulau Batang (Batam) yang disandingkan dengan pulau Bintang (Bintan). Dengan kata lain dapatlah dikatakan bahwa Pulau Batam telah melewati perjalanan waktu (sejarah) yang panjang sehingga menjadi sebuah kota yang maju.


Dari hasil penelusuran bahan-bahan arsip dan sumber-sumber sejarah Batam di Arsip Nasional dan Perpustakaan Nasional di Jakarta, didapati sebuah moment sejarah yang dapatlah disebut sebagai titik awal bermulanya pemerintahan anak watan Riau-Lingga di Pulau Batam yang berawal dari Pemerintahan Raja Isa dengan tidak mengecilkan arti penting beberapa momentum sejarah dan sejumlah tokoh dalam sejarah Batam yang telah dikenal sebelumnya.

SUSUR GALUR : SIAPA RAJA ISA ?

Nama batang tubuhnya Raja Isa. Dari beberapa silsilah, dapatlah diketahui bahwa ayahandanya adalah Raja Ali @ Marhum Pulau Bayan @ Yang Dipertuan Muda Riau V ibni Daeng Kamboja Yang Dipertuan Muda Riau III. Dengan demikian jelaslah bahwa Raja Isa adalah keturunan Yang Dipertuan Muda Riau. Sedangkan bundanya bernama Raja Buruk binti Raja Abdulsamad ibni Daeng Kamboja @ Engku Wok. Selain itu, ia juga mempunyai istri kedua yang tidak diketahui namanya

Dalam dokumen-dokumen Belanda sezaman, Raja Isa tampaknya dipandang sebagai tokoh penting dalam keluarga diraja Riau, dan namanya turut dicatat dan disandingkan dengan tokoh lain seperti, Raja Jakfar Yang Dipertuan Muda Riau VI, Raja Ahmad ayah Raja Ali Haji, Datuk Penggawa Ahmad, Arong Bilawa, dalan lain-lain.

Dari kedua istrinya, Raja Isa memperoleh beberapa orang anak laki-laki, yang antara lain: Raja Yakup , Raja Idris, Raja Daud , dan Raja Husin . Pada masa lalu, Raja Isa dan keluarga menetap diNongsa, Batam. Hanya Raja Husin yang sebelumnya menetap di Nongsa, dilaporkan berpindah dan menetap di Pulau Penyengat ketika telah berusia 87 tahun.

Tentang Raja Isa ibni Raja Ali Yang Dipertuan Muda Riau V dan keturunannya di Nongsa, Pulau Batam, dalam Tuhfat al-Nafis, Raja Ali Haji mejelaskannya sebagai berikut:

“…Sebermula Adapun Yang Dipertuan Muda Raja Ali ini, ialah Raja Muda yang kelima daripada bangsa Bugis anak cucu Opu Dahing Perani. Adalah ia mengadakan beberapa anak laki-laki dan perempuan. Adapun yang laki-laki bernama Raja Isa, ialah beranakkan Raja Yakup serta saudaranya. Adalah ibunya Raja Wok dan lagi anaknya bernama Raja Idris mengadakan anak laki-laki dan perempuan. Ada yang hidup, ada yang mati masa membuat silsilah ini. Adalah kebanyakan anak cucunya di Sungai Nungsa.”

Membuka Nongsa dan Memegang Perintah Atas Nongsa

DSC00978

Sumber lisan dan sebuah silsilah di Pulau Penyengat menyebutkan Raja Isa sebagai seorang tokoh yang membuka sebuah “kampung baru” di pulau Batam yang kini dikenal dengan nama Nongsa. Sebuah kampung yang dicantumkan oleh J.G. Schot dalam peta Kepulauan Batam (De Battam Archipel) yang dipublikasikannya pada tahun 1882 . Bahkan, sumber-sumber lisan dan cerita pusaka yang berkembang di pulau Penyengat menyebutkan bahwa toponim nama Nongsa berasal dari nama timang-timangan Raja Isa sebagai putera tertua Raja Ali Yang Dipertuan Muda Riau @ Marhum pulau Bayan: Nong Isa.

Barangkali, oleh karena diucapkan oleh lidah yang tidak tunggal-asal dan didukung pula oleh salah pengucapan @ lapsus calamy, maka perlahan-lahan nama kampung baru tempat tinggal Raja Isa di pulau Batam ini berubah namanya menjadi Nongsa; ketika seseorang menjelaskan bahwa ia akan pergi ke kampung tempat tinggal Raja Isa di pulau Batam. Walaupun demikian, terdapat pula cerita lain tentang asal usul nama Nongsa.

Apakah benar Raja Isa tinggal di Nongsa?

Dua buah bahan sumber Belanda dari tahun 1833 [Beknoopte Aantekening over het Eiland Bintang 1833] dan 1837 [Beknopte Aantekening van Het Eiland Bintang Nederlansch Etablissant en Eenige daar toe Behoorende Eilande 1837] yang saya temukan di Arsip Nasional (ANRI) dan Perpustakaan Nasional (PNRI), Jakarta, jelas menyebutkan bahwa Radja Issah @ Raja Isa tinggal di Nongsa.

Bahkan, bahan sumber yang ditulis pada 1833, lebih jauh menjelaskan bahwa Raja Isa berusia sekitar 50 tahun ketika itu, dan kampung kecil tempat ia bersemayam terletak di hulu Sungai Nongsa:

“…Een kort eind het riviertje van Nongsa opgevaren zijnde, komt men aan eene kleine kampong, alwaar zich eenige weinige maleijers afstammelingen van Boeginezen ophouden, en radja Ishak zijn verblijf houdt….”

[ Jika berlayar menghulu di sungai Nongsa itu, kita sampai pada kampung kecil, tempat tinggal beberapa orang Melayu dan peranakan Bugis, serta Raja Isa bersemayam.]

Selain dikenal sebagai tokoh yang membuka Nongsa sebagai sebuah kampung atau negeri yang baru, selembar dokumen (tepatnya salinan selembar dokumen) yang ditemukan dalam koleksi Arsip Riouw di Arsip Nasional Jakarta, menyebutkan bahwa Raja Isa juga pernah diberi “kuasa” memegang perintah atas Nongsa dan rantau sekitarnya dibawah perintah Sultan dan Yang Dipertuan Muda Riau. Peristiwa ini terjadi 5 tahun setelah Traktat London tahun 1824, dan ditandai dengan surat Comisaries Jendral sekaligus Resident Riouw, Letnan Kolonel Cornelis P.J. Elout pada tanggal 22 Jumadil Akhir 1245 Hijriah yang bersamaan dengan tanggal 18 atau 19 Desember 1829 Miladiah.


Salinan Pengukuhan Raja ‘Isa memerintah Nongsa dan rantaunya sekalian
Diberi Riau dan ditaruh cap kita dan tapak tangan kita pada hari
22 Jumadilakhir sanah 1245 berasamaan dengan hari Jum’at atau
Sabtu tanggal 18 dan 19 Desember 1829
Alih aksara : Aswandi Syahri

————————————————————————————————-
Salinan

Kerajaan Nederland

Demi Yang Dipertuan Besar di negeri atas angin – demi Paduka Gurnadur Jenderal atas rantau di bawah angin

Bahwa berhajat supaya barang siapa yang memegang pekerjaan dibawah perintah sri paduka tuan Sultan yang bertahta Lingga dengan segala daerah takluknya boleh menunjukkan surat kuasa daripada pihak residen Nederland yang duduk di Riau adanya

Maka adalah kita Elout yang memegang pangkat ketika antara aridder Orde Melitaris xxx Ridder Orde Singa Nederland – letnan koalnel dan Residen Riau memberi surat ini kepada Engku Raja ‘Isa akan menjadi zahir Engku Raja ‘Isa itu demi Sultan dan demi Yang Dipertuan Riau adalah memegang perintah atas Nongsa dan rantaunya sekalian.

Syahdan apabila Engku Raja ‘Isa berjumpa dengan orang dari negeri atas angin hendaklah dia menunjuki surat ini supaya dia orang boleh kenal dengan dia demikianlah adanya

Dengan setahu
(Tanda Tangan Tengku Uthman, Wakil Sultan Abdulrahman Muazzamsyah)

Salinan ini serupa benar bunyinya dengan salinan yang asalnya dikeluarkan daripada perhimpunan surat2 yang seumpamanya oleh penjaga yang demikian itu.

Tanda tangan

Diberi Riau dan ditaruh cap kita dan tapak tangan kita pada hari 22 Jumadilakhir sanah 1245


Embrio Sejarah Pemerintahan di Pulau Batam

Secara historis, surat “pengukuhan” Raja Isa memegang perintah atas Nongsa dan rantau sekitarnya atas nama Sultan Abdulrahman Syah Lingga-Riau (1812-1832) dan Yang Dipertuan Muda Riau Raja Jakfar (1808-1832) amat penting bagi sejarah Batam. Karena ianya menandai sebuah “babak baru” dalam perjalanan sejarah pemerintahan lokal di Batam, setelah tidak lagi menjadi pusat perentah Temenggung Johor yang ditinggalkan oleh Temenggung Abdurahman @ Daeng Ronggek karena hijrah dari Pulau Bulang ke Singapura dengan membawa 150 orang pengikutnya pada tahun 1811, dengan membawa serta seluruh Orang Sabimba @ Orang Senimba, penduduk asli Batam yang mendiami kawasan sekitar Teluk Senimba @ Sebimba.

Dan dalam kenyataanya, momentum embrional dan penanda paling paling awal ini terus berlanjut dan berkembang menjadi pola dan sistem pemerintahan pribumi di Pulau Batam yang berada dibawah kendali kerajaan Riau-Lingga, serta diwariskan kepada penerus-penerus hingga tahun 1913.

Setelah Raja Isa wafat pada tahun 1831, “wilayah adminitrasi pemerintahan” atas Nongsa dan rantaunya mulai berkembang lebih maju dengan batasan-batsan yang lebih jelas dan mencakup seluruh kawasan Kepulauan Batam (Battam Archipel). Paling tidak dari laporan J.G. Schot, dapatlah diketahui bahwa hingga tahun 1882, kawasan Kepulauan Batam telah dipecah menjadi tiga bagian. Masing-masingnya mempunyai pemerintahan terpisah membentuk sebuah wilayah administrasi pemerintahan yang disebut Wakilschap, namun tetap dibawah kendali Yang Dipertuan Muda Riau (Raja Muhammad Yusuf) di Pulau Penyengat.

Wilayah pertama yang terletak di bagian Utara pulau Batam, adalah Wakilschap Nongsa yang membentang dari muara Sungai Ladi di Pantai Utara Batam hingga muara sungai Doeriankang, Kangboi , dan Asiamkang. Sebuah wilayah paling kecil yang dipimpin oleh Raja Yakup bin Raja Isa dengan pangkat atau gelaran wakil. Dan ketika usia Raja Yakup telah lanjut, maka jabatan wakil itupun diserahkan pula kepada puteranya yang bernama Raja Mohammad Caleh (Saleh) bin Raja Yakup.

Wilayah kedua adalah wakilshcap yang mencakupi kawasan pulau Buluh dan pulau sekitarnya seperti Belakang Padang, Sambu, Bulang, Setoko, Rempang, dan Galang serta sebagian pulau Batam. Wilayah ini bukan wilayah apanase seperti halnya Nongsa, sehingga langsung Berada dibawah kedali Yang Dipertuan Muda Riau melalui seorang wakilnya yang bernama Raja Usman.

Wilayah Ketiga adalah wakilschap Sulit. Sebuah kawasan cukup luas yang mencakupi pulau Cembul, Kepala Jeri, Kasu, Telaga Tujuh, Sugi, Moro, Sangla (Shalar), Sandam, dan Durai serta Kateman.

Memasuki tahun 1895, perkembangan system pemerintahan lokal di Batam memasuki sebuah babak baru lagi, ketika Yang Dipertuan Muda Riau X Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi melakukan “resuffel” besar-besaran terhadap jabatan wakil-wakilnya yang berada di sejumlah daerah dalam wilayah kerajaan Riau-Lingga. Reorganisasi ini dilakukan menyusul dikeluarkannya Undang-Undang Qanun yang terpakai oleh Kepala-Kepala yang Besar Pangkat Kecil dan Besar yang Menjaga Negeri dalam Kerajaan Lingga-Riau dan takluknya pada taun 1313 hijriyah yang bersamaan dengan 1895 miladiyah.

Sebagai daerah tempat kedudukan wakil kerajaan Riau-Lingga, maka Batam yang sebelumnya dibagi kedalam 3 daerah Wakilschap ditata menjadi dua wilayah pemerintahan yang dipimpin oleh seorang yang berpangkat atau bergelar Amir dan seorang berpangkat Kepala dalam sistem pemerintahan kerajaan Riau-Lingga.

Sebagai Amir pertama untuk pulau Batam diangkatlah Tengku Umar bin Tengku Mahmud berkedudukan di Batam (Pulau Buluh) berdasarkan besluit (surat keputusan) kerajaan Riau-Lingga No. 12, hari Selasa tanggal 12 Rabi’ul-akhir 1313 Hijriyah yang bersamaan dengan hari Selasa tanggal 1 Oktober 1895. Sedangkan untuk daerah Nongsa diangkat pula Raja Mahmud bin Raja Yakup sebagai wakil kerajaan berpangkat Kepala berdasarkan besluit kerajaan Riau-Lingga No. 9 tanggal 11 Rabi’ul-akhir 1313 Hijriyah yang bersamaan dengan hari Senin tanggal 30 September 1895 Miladiyah. Jabatan dan kedudukan Amir Batam di Pulau Buluh yang berada dalam lingkup Kerajaan Riau-Lingga dan daerah Takluknya terus belanjut dan dipegang oleh Raja Jaafar hingga menjelang penghapusan kerajaan Riau-Lingga oleh pemerintah Hindia Belanda pada tahun 1913.

Jika dilihat dari proses perjalanan sejarahnya, perkembangan sistem pemerintahan lokal @ Inlandsche Bestuur kerajaan Riau-Lingga di wilayah Batam dan sekitar lebih dahulu terbentuk dan jauh sebelum pemerintah Hindia Belanda menempatkan wakil Resident Riouw @ Europesche Bestuur di wilayah Batam. Karena, secara resmi pemerintah Hindia Belanda baru menempatkan pegawai pemerintahan bangsa Eropa ( plaatsing van Europeesche bestuur amtenaren ) di Batam, Karimun, Daik, dan Bintan Utara pada tahun 1868, berdasarkan Stadblad (Lembaran Negara) No. 70. Sejak saat itu, sebagai bagian dari wilayah administrasi pemerintahan Hindia Belanda dalam Residetie Riouw, Batam menjadi sebuah Onderaffdeeling @ Plaatselijk Bestuur yang dikepalai aleh seorang Controleur berkedudukan di Pulau Bojan, dan diletakkan dibawah Afdeeling yang bepusat di Tanjungpinang (Afdeeling Tandjongpinang).

***

Sampai batas tertentu, perkembangan tata pemerintah di Batam diikuti pula dengan perkembangan dan pembangunan infrastruktur. Sebagai ilustrasi, dalam tahun 1882, J.G. Schot melaporkan telah ada jaringan jalan yang dibangun membentang dari Sungai Lekop ke Batoe Hadji, Tiban, Kranji, dan Senimba. Begitu juga jaringan jalan dari Tiban ke Sungai Panas, dan Kampung Blian. Demikian pula jaringan jalan dari Senggoenoeng menuju arah Tring serta Asiamkang. Bahkan bentangan jaringan jalan dari Sungai Panas ke arah Kangboi melewati bagian Selatan Bukit Ladi arah Batu Haji, yang diikuti dengan jaringan jalan dari Duriangkang ke arah Tiban.

Sejalan dengan perkembangan tata pemerintahan dan insfrastruktur, Yang Dipertuan Muda Riau di Pulau Penyengat juga mulai melirik Batam sebagai kawasan “masa depan”. Kecendrungan ini telah mulai terlihat sejak pertengahan abad ke – 19. Sebagai ilustrasi, dalam kasus ladang gambir umpamanya, sekitar awal tahun 1880-an, Yang Dipertuan Muda Riau mengeluar sejumlah surat kurnia kepada seorang Cina bernama Lau A Kong, dan mengizinkannya untuk membuka ladang ladang gambir di Batam.

Perkembangan ini antara lain juga dipicu oleh semakin menipisnya cadangan bahan bakar kayu pada kawasan-kawasan ladang gambir yang ketika itu masih terkonsentrasi di pulau Bintan. Akibatnya, pulau Batam yang pada masa itu masih relatif kosong dan belum digarap menjadi kawasan “yang diperebutkan” secara ekonomis. Persaingan ni ada kalanya memicu pertelagahan bersenjata dan pembakaran bangsal gambir. Sebagai ilustrasi, pada tanggal 1 April 1856, sempat terjadi pertelagahan bersenjata antara dua kempok orang Cina Muka Merah dan Muka Hitam dari singapura dan Batam ketika memperebutkan kawasan ladang gambir di sekitar Teluk Tering, Nongsa, dan Batu Besar.

Mengimbangi perkembangan Singapura yang yang pesat sejak dibuka Inggris pada tahun 1819, pihak kerajaan Riau-Lingga juga mulai membukan pulau Batam dan pulau-pulau sekitarnya untuk berbagai kontrak dan konsesi. Perkembangan ini berhasil memancing sejumlah “penanaman modal asing” dan pengusaha-pengusaha kaya dari Singapura untuk membuka dan melebarkan usahanya ke Pulau Batam da pulau-pulau sekitarnya.

Disamping membuat kontrak dan membuka konsesi untuk pengusaha dan pemodal asing, Yang Dipertuan Muda Riau Raja Muhammad Yusuf juga memberikan kurnia bagian tertentu tanah Batam kepada “pengusaha” tempatan yang berasal dari kaum kerabatnya. Sebuah contoh yang amat terkenal adalah kurnia bagian tertentu dari pulau Batam yang diberikan oleh Yang Dipertuan Muda Riau Raja Muhammad Yusuf kepada Raja Abdullah (Tengku Besar), Raja Muhamad Tahir, dan putranya yang bernama Raja Ali Kelana berdasarkan surat kurnia dari Yang Dipertuan Muda Riau Raja Muhammad Yusuf tanggal 29 Rabul Akhir 1308 Hijriah yang bersamaan dengan tanggan tanggal 11 atau 12 Desember 1890 Miladiah.

Dalam sebuah surat tanggal 8 Rabiul Awal 1316 Hijriah, bersamaan dengan 26 Juli 1898 Miladiah, “ditegaskan” kembali oleh Raja Muhammad Yusuf bahwasanya diatas tanah tersebut Raja Ali Kelana dan Raja Muhammad Tahir telah membuka usaha dengan menggunakan modal dan usahanya sendiri.

Usaha apa yang dibuat oleh Raja Ali kelana dan Raja Muhammad Tahir di atas tanah kurnia tersebut? Apakah pada tanah yang dijelaskan pada dua surat tersebut sebuah pabrik batu bata yang kemudian menjadi milik Raja Ali Kelana didirikan? Belum ada bahan sumber yang dapat menjelaskan hal ini. Satu hal yang pasti, Song Ong Siang dalam sebuah bukunya menyebut seorang pengusaha Cina dari Singapura bernama Sam Ong Leong sebagai pemilik sebuah pabrik batu bata di pulau Batam. Apakah pabrik ini didirikan diatas atas tanah yang disewa Sam Ong Leong dari Raja Ali Kelana dan Raja Muhammad Tahir? Satu hal yang pasti, terdapat sebuah pabrik batu bata dengan nama Batam Brick Works di Batu Haji pulau Batam, terkenal dengan merek BATAM dan mempunyai kantor pusat di Singapura.

Bahan sumber informasi terbaru tentang pabrik yang berlokasi di Batu Haji ini menyebutkan bahwa, “…pabrik batu bata Batam Brick Works telah lama berdiri, namun pendirinya tak mampu membuat sebarang keberhasilan. Setelah mengalami beberapa kali perubahan, akhirnya kepemilikan atas pabrik itu dibeli ole Raja Ali Kelana pada tahun 1896 [ “...The Batam Brick Works have been established for many years, but the founder was unable to make the business a sucess, and, after passing through many vicissitudes, the undertaking was purchased by Raja Alie the present owner, in 1896...”]

Dari siapa Raja Ali Kelana beli pabrik ini? Sulit untuk menjawab hal ini karena ketiadaan sumber yang dapat menerangkannya. Namun yang jelas, di tangan Raja Ali Kelana, pabrik penghasil batu bata dengan merek “BATAM” yang hampir bangkrut ini, berhasil bangkit sehingga mampu menghasilkan 30.000 batu bata dalam sehari dan bahkan mampu mengangkat nama Batam sebagai penghasil batu bata yang bermutu di kawasan Selat Melaka.

Perkembangan pabrik batu bata Batam Brick Works semakin pesat setelah nama perusahaan yang berkantor pusat di Singapura ini muncul dalam Singapore Straits and Directory pada tahun 1901. Sejak saat itu nama Batam Brick Works semakin terkenal sebagai perusahaan penghasil batu bata bermutu yang terbesar di gugusan Kepulauan Riau-Lingga dan negeri-negeri Selat.

Mutu batu bata produksi Batam Brick Works selalu memenangkan sejumlah pertandingan kualitas dan mutu batu bata di Singapura, Semanjung Melayu, dan kawasan Timur Jauh. Bahkan karena mutu batu batanya, perusahaan ini pernah mendapatkan award (penghargaan) dalam sebuah pameran di Hanoi dan Pulau Pinang pada tahun 1907.

Aktivitas Batam Brick Works dibawah Raja Ali Kelana berakhir ketika ia memutuskan untuk menjual persahaan itu kepada seorang pengusaha Cina di Singapura pemilik Sam Bee Brick Works, satu tahun menjelang pemakzulan Sultan Abdulraman dan Tengku besar kerajaan Riau-Lingga pada tanggal 10 Februari 1911.

Sumber: Website Pemerintah Kota Batam
Tulisan : Aswandi Syahri

Thursday, February 18, 2010

Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak - Yang DiPertuan Muda Riau Ke-4

Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak, Yang Dipertuan Muda Riau Ke-4 merupakan peneroka pertama orang Melayu yang menggunakan peralatan moden dalam ilmu pelayaran dan geografi.

Raja Haji merupakan pahlawan Melayu yang hebat di abad ke 18 disamping merupakan seorang pelayar, pengembara dan pakar ilmu maritim yang terhandal. Malah penjajah Belanda ketika itu sangat mengagumi beliau seperti yang dinyatakan oleh sarjana sejarah Leonard Y. Andaya dalam bukunya “The Kingdom of Johor 1641-1788: Economic and Political Development”,1975.

Sesetengah tokoh ilmuan berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Jika dipandang dari sudut sebelah ayahnya, beliau berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk, manakala sebelah ibunya pula, berketurunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1725 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/18 Jun 1784 M dan disemadikan di Masjid Tengkera Melaka sebelum jasadnya dikebumikan semula di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.

Dalam keadaan orang Melayu yang masih daif ilmu, Raja Haji telah berjaya mempelajari dan manfaatkan ilmu pengembaraan dan penggunaan peralatan astronomi dan pengembaraan dalam pelayaran ke seluruh pelusuk Nusantara dengan maklumat bertulis Abu Said Al Sijzi yang beliau perolehi dari pedagang Arab. Penjajah Belanda amat mengagumi beliau kerana telah mengunakan teknologi hebat ketika itu yang amat jarang digunakan oleh pelayar Melayu.

Dengan ilmu yang tinggi dan tidak jemu untuk belajar dan membaca, Raja Haji juga antara pengguna terawal dan mengaplikasikan sepenuhnya peralatan Balistilha dan Staf Ya’qub di alam Nusantara, iaitu alat yang digunakan oleh pelayar-pelayar Arab untuk menentukan altitud kutub. Ia digunakan bagi menggantikan astrolab yang tidak dapat menentukan pengiraan minit semasa berada di dalam kapal disebabkan gangguan terhadapnya dalam perjalanan di lautan.

Walaupun bukan berlatar belakangkan sebagai seorang ulama yang giat berdakwah secara ilmuwan tetapi beliau diakui kewibawaannya sebagai ulama dan strategis Islam yang agak handal pada abad tersebut. Beliau adalah seorang yang gemar bergaul dengan para ulama dengan tujuan untuk mendalami ilmu. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Syed Husein al-Qadri di Mempawah.

Di samping itu, beliau juga amat terkenal sebagai pahlawan ulung menurut sumber sejarah R.O Winsted, sarjana Inggeris kerana banyak bergiat dalam mempertahankan institusi ilmuwan tradisi Islam beserta ulamanya dari menjadi ancaman kepada kolonialisme yang silih berganti dari Portugis, Belanda dan juga Inggeris pada ketika itu, maka beliau diakui kewibawaannya sebagai pemimpin dan tokoh yang disegani.

Syed Husein al-Qadri ialah guru kepada ayah saudaranya yang bernama Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril adalah sangat intim dengan Raja Haji dan mereka kerap meluangkan masa bersama-sama. Gusti Jamiril adalah seorang yang menitik beratkan soal keagamaan, jadi tidak hairanlah sekiranya ilmu yang beliau telah dipelajari dipraktikkan bersama-sama dengan Raja Haji. Dengan tatacara pergaulan Islam yang sedemikian, sekali gus telah berjaya mempengaruhi pemikiran Raja Haji.

Raja Haji dan Gusti Jamiril juga sempat berguru dengan Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Syeikh Ali bin Faqih ialah mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri.

Ramai ulama yang berasal daripada keturunan Raja Haji, antaranya ialah Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal dengan karya Tuhfat Al-Nafis dan Gurindam Dua Belas. Antara keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji.

Malah Kesultanan Sultan Selangor sehingga hari ini ada hubungkait dengan Raja Haji kerana Sultan Selangor yang pertama, Raja Lumu adalah saudara kandung se bapa dengan Raja Haji. Malah sewaktu pertempuran hebat dengan Belanda pada 1784, beliau berpadu tenaga dengan anak saudaranya (anakanda Raja Lumu), Sultan Ibrahim menyerang Belanda di Melaka.

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran. Antaranya ialah Engku Kelana (1747M -1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang dan Marhum Asy-Syahid Fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi dari kerajaan Indonesia, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional lndonesia, dan dikurniakan Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M -1758M, Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Peperangan ini telah melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji memainkan peranan sebagai panglima perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Setelah peperangan tamat, Raja Haji melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seperti Pangeran Diponegoro dan Imam Bonjol, mereka hanya beroperasi di daratan sahaja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin Brunei, beliau ialah seorang pahlawan maritim, tetapi masih belum banyak menguasai pengalaman dalam peperangan di daratan.

Perbandingan bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah diri kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan tidak kurang juga tunduk kerana godaan wang ringgit dan habuan tanah.

Semua ini berbeza dengan keperibadian Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M, Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter Van Braam di Melaka. Bilangan pasukan Melayu yang syahid dibawah pimpinan Raja Haji termasuk beliau sendiri dianggarkan sekitar 500 orang.

Malah Van Braam sendiri dalam laporan admiral kepada Governor General Batavia bertarikh 15 September 1784 (J.P Van Braam Collection), menegaskan jika angkatan perang beliau lewat tiba ke Melaka, nescaya Melaka kembali kepada pemerintahan kerajaan Melayu. Kehebatan Raja Haji dengan taktik peperangan dan penggunaan peralatan moden (ketika itu), dengan tambahan ilmu astronomi, geografi, ilmu pelayaran dan maritim yang hebat, berjaya mengalahkan Belanda pada peringkat awal peperangan.

Sebagaimana pada mukadimah Tuhfat al-Nafis yang telah dinyatakan, "... Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah…". Walaubagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji, kisah beliau telah tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta disamping penggunaan ilmu yang sangat ketara yang tidak dapat ditolak atau dipersoalkan.

Tuhfat al-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, "Sah dan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu.

Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya "

Riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya iaitu bangsa Melayu yang dicintainya serta patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak adalah contoh teladan semangat seorang pahlawan yang harus kita contohi dalam melihat kembali warisan kepahlawanan Islam disamping seorang yang sangat tinggi ilmu wahyu dan ilmu akalnya. Adalah wajar Raja Haji turut dikenang sebagai insan yang turut mencapai kegemilangan didalam tamadun Melayu/Islam sebagai bukti bahawa tamadun Melayu diNusantara ini tidak kurang kehebatannya selari dengan kehebatan tamadun Islam itu sendiri.


Dipetik dari tulisan Shaiful Bahri Saidin di shaifulbahri.blogspot.com