Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Thursday, February 18, 2010

Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak - Yang DiPertuan Muda Riau Ke-4

Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak, Yang Dipertuan Muda Riau Ke-4 merupakan peneroka pertama orang Melayu yang menggunakan peralatan moden dalam ilmu pelayaran dan geografi.

Raja Haji merupakan pahlawan Melayu yang hebat di abad ke 18 disamping merupakan seorang pelayar, pengembara dan pakar ilmu maritim yang terhandal. Malah penjajah Belanda ketika itu sangat mengagumi beliau seperti yang dinyatakan oleh sarjana sejarah Leonard Y. Andaya dalam bukunya “The Kingdom of Johor 1641-1788: Economic and Political Development”,1975.

Sesetengah tokoh ilmuan berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Jika dipandang dari sudut sebelah ayahnya, beliau berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk, manakala sebelah ibunya pula, berketurunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1725 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/18 Jun 1784 M dan disemadikan di Masjid Tengkera Melaka sebelum jasadnya dikebumikan semula di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.

Dalam keadaan orang Melayu yang masih daif ilmu, Raja Haji telah berjaya mempelajari dan manfaatkan ilmu pengembaraan dan penggunaan peralatan astronomi dan pengembaraan dalam pelayaran ke seluruh pelusuk Nusantara dengan maklumat bertulis Abu Said Al Sijzi yang beliau perolehi dari pedagang Arab. Penjajah Belanda amat mengagumi beliau kerana telah mengunakan teknologi hebat ketika itu yang amat jarang digunakan oleh pelayar Melayu.

Dengan ilmu yang tinggi dan tidak jemu untuk belajar dan membaca, Raja Haji juga antara pengguna terawal dan mengaplikasikan sepenuhnya peralatan Balistilha dan Staf Ya’qub di alam Nusantara, iaitu alat yang digunakan oleh pelayar-pelayar Arab untuk menentukan altitud kutub. Ia digunakan bagi menggantikan astrolab yang tidak dapat menentukan pengiraan minit semasa berada di dalam kapal disebabkan gangguan terhadapnya dalam perjalanan di lautan.

Walaupun bukan berlatar belakangkan sebagai seorang ulama yang giat berdakwah secara ilmuwan tetapi beliau diakui kewibawaannya sebagai ulama dan strategis Islam yang agak handal pada abad tersebut. Beliau adalah seorang yang gemar bergaul dengan para ulama dengan tujuan untuk mendalami ilmu. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Syed Husein al-Qadri di Mempawah.

Di samping itu, beliau juga amat terkenal sebagai pahlawan ulung menurut sumber sejarah R.O Winsted, sarjana Inggeris kerana banyak bergiat dalam mempertahankan institusi ilmuwan tradisi Islam beserta ulamanya dari menjadi ancaman kepada kolonialisme yang silih berganti dari Portugis, Belanda dan juga Inggeris pada ketika itu, maka beliau diakui kewibawaannya sebagai pemimpin dan tokoh yang disegani.

Syed Husein al-Qadri ialah guru kepada ayah saudaranya yang bernama Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril adalah sangat intim dengan Raja Haji dan mereka kerap meluangkan masa bersama-sama. Gusti Jamiril adalah seorang yang menitik beratkan soal keagamaan, jadi tidak hairanlah sekiranya ilmu yang beliau telah dipelajari dipraktikkan bersama-sama dengan Raja Haji. Dengan tatacara pergaulan Islam yang sedemikian, sekali gus telah berjaya mempengaruhi pemikiran Raja Haji.

Raja Haji dan Gusti Jamiril juga sempat berguru dengan Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Syeikh Ali bin Faqih ialah mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri.

Ramai ulama yang berasal daripada keturunan Raja Haji, antaranya ialah Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal dengan karya Tuhfat Al-Nafis dan Gurindam Dua Belas. Antara keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji.

Malah Kesultanan Sultan Selangor sehingga hari ini ada hubungkait dengan Raja Haji kerana Sultan Selangor yang pertama, Raja Lumu adalah saudara kandung se bapa dengan Raja Haji. Malah sewaktu pertempuran hebat dengan Belanda pada 1784, beliau berpadu tenaga dengan anak saudaranya (anakanda Raja Lumu), Sultan Ibrahim menyerang Belanda di Melaka.

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran. Antaranya ialah Engku Kelana (1747M -1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang dan Marhum Asy-Syahid Fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi dari kerajaan Indonesia, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional lndonesia, dan dikurniakan Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M -1758M, Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Peperangan ini telah melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji memainkan peranan sebagai panglima perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Setelah peperangan tamat, Raja Haji melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seperti Pangeran Diponegoro dan Imam Bonjol, mereka hanya beroperasi di daratan sahaja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin Brunei, beliau ialah seorang pahlawan maritim, tetapi masih belum banyak menguasai pengalaman dalam peperangan di daratan.

Perbandingan bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah diri kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan tidak kurang juga tunduk kerana godaan wang ringgit dan habuan tanah.

Semua ini berbeza dengan keperibadian Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M, Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter Van Braam di Melaka. Bilangan pasukan Melayu yang syahid dibawah pimpinan Raja Haji termasuk beliau sendiri dianggarkan sekitar 500 orang.

Malah Van Braam sendiri dalam laporan admiral kepada Governor General Batavia bertarikh 15 September 1784 (J.P Van Braam Collection), menegaskan jika angkatan perang beliau lewat tiba ke Melaka, nescaya Melaka kembali kepada pemerintahan kerajaan Melayu. Kehebatan Raja Haji dengan taktik peperangan dan penggunaan peralatan moden (ketika itu), dengan tambahan ilmu astronomi, geografi, ilmu pelayaran dan maritim yang hebat, berjaya mengalahkan Belanda pada peringkat awal peperangan.

Sebagaimana pada mukadimah Tuhfat al-Nafis yang telah dinyatakan, "... Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah…". Walaubagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji, kisah beliau telah tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta disamping penggunaan ilmu yang sangat ketara yang tidak dapat ditolak atau dipersoalkan.

Tuhfat al-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, "Sah dan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu.

Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya "

Riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya iaitu bangsa Melayu yang dicintainya serta patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Raja Haji Ibni Opu Daeng Cellak adalah contoh teladan semangat seorang pahlawan yang harus kita contohi dalam melihat kembali warisan kepahlawanan Islam disamping seorang yang sangat tinggi ilmu wahyu dan ilmu akalnya. Adalah wajar Raja Haji turut dikenang sebagai insan yang turut mencapai kegemilangan didalam tamadun Melayu/Islam sebagai bukti bahawa tamadun Melayu diNusantara ini tidak kurang kehebatannya selari dengan kehebatan tamadun Islam itu sendiri.


Dipetik dari tulisan Shaiful Bahri Saidin di shaifulbahri.blogspot.com


Thursday, January 21, 2010

Sambutan Hari Jadi Tanjung Pinang Ke-226 Tahun Pada 6 Januari 2010

Acara Sambutan Hari Jadi Tanjung Pinang Ke-226 tahun telah diadakan pada hari Rabu 6hb Januari 2010 dihalaman Kantor Wali Kota Tanjung Pinang yang terletak di Senggarang dan disaksikan oleh sekitar lima ribu orang hadirin yang terdiri daripada tetamu undangan seperti Wakil Gubernur Kepulauan Riau, H Muhammad Sani berserta isteri. Anggota Muspida Provinsi Kepulauan Riau hli ahli dan Muspida Kota Tanjung Pinang. Juga hadir Ketua DPRD Kota Tanjung Pinang berserta anggota dewan serta kepala SKPD Pemko Tanjung Pinang, Ketua Lembaga Adat Melayu Provinsi Kepri serta Kota Tanjung Pinang, dan tokoh tokoh masyarakat kota Tanjung Pinang serta masyarakat umumnya.

Acara yang bermula sekitar jam 9.30 pagi itu diawali oleh Pembacaan Gurindam 12 oleh Raja Hafizah yang merupakan Lurah Pulau Penyengat dan Samsu SK, telah membuat seluruh undangan merenung sejenak ajaran ajaran yang terkandung didalam Gurindam yang digubah oleh Raja Ali Haji Ibni Raja Haji Ahmad pada tahun 1847.



Setelah selesai Pembacaan Gurindam 12 itu, acara dilanjutkan dengan laporan oleh Ketua Pelaksana, Pokyong Kadir, mengenai hal hal yang berkaitan dengan rangkaian kegiatan sambutan Hari Jadi Tanjung Pinang Ke 226 tahun.

Didalam ucapan sambutannya, Wali Kota Tanjung Pinang, Suryatati A Manan menyampaikan nya dalam bentuk susunan kata kata indah seperti syair akan makna sambutan Hari Jadi ini serta menjelaskan tentang perkembangan Kota Tanjung Pinang dari masa ke semasa. Beliau berkata, "Latar belakang penetapan hari jadi Tanjung Pinang sebagai sebuah pemukiman yang tanggalnya berbeda dengan hari jadi Kota Otonom, meskipun waktu setiap tahunnya relatif berdekatan". Beliau berharap kebersamaan dan kemajuan yang telah dicapai Tanjung Pinang tersebut, dapat mendorong Tanjung Pinang menjadi kota yang membanggakan, serta berkata,"Keberhasilan kota ini maju, juga hasil kerja bersama", serta berharap akan menjadi lebih baik lagi pada masa depan.

Sesudah itu, diikuti pula ucapan daripada Wakil Gubernur Kepri, H Muhammad Sani. Didalam ucapannya, beliau mengungkapkan rasa kagumnya diatas keberhasilan Wali Kota Suryatati A Manan selama memimpin Kota Tanjung Pinang, yang telah tumbuh dengan pesat sebagai sebuah kota yang membanggakan. Beliau juga berharap, Tanjung Pinang yang telah ditetapkan sebagai Ibu Kota Provinsi Kepulauan Riau, akan dapat terus berkembang sebagai Kota yang berpengaruh dan membanggakan. Setelah ucapannya itu, Wakil Gubernur menerima bingkisan oleh oleh khas Tanjung Pinang, yang disebut oleh Wali Kota sebagai makanan khas Tanjung Pinang, iaitu Batang Buruk dan Bilis Gulung, yang merupakan produksi Dapoer Melayu pimpinan Teja Alhabd.



Acara yang berlangsung didalah cuaca cerah tersebut, diikuti pula dengan persembahan tarian berjudul "Raja Haji" direka dalam koreografi yang menarik oleh Sanggar Kledang, yang memaparkan gerakan semasa peperangan yang dilakukan oleh Raja Haji Fisabillah.



Acara diakhiri dengan para undangan dijamu makan tengah dengan masakan Melayu Tanjung Pinang hari didewan tingkat 2.




Acara sambutan Hari Jadi Tanjung Pinang ke 226 tahun pada 6hb Januari 2010, selesai sekitar jam 1 tengah hari.

Upacara Menziarahi Makam Sultan Dan Yang Dipertuan Muda Riau
Upacara menziarahi makam Sultan dan Yang DiPertuan Muda Riau selalunya diadakan sehari sebelum sambutan Hari Jadi Tanjung Pinang diadakan. Pada 5 Januari lalu, Pemerintah Kota Tanjung Pinang telah melaksanakan menziarahi ke makam para leluhur dan makam para pahlawan yang gugur mempertahankan kedaulatan RI di Tanjungpinang, di Pusara Bhakti Batu 5 Bawah. Ziarah dipimpin Walikota Tanjung Pinang Suryatati A Manan, dimulai dengan ziarah ke makam Sultan Sulaiman Badrul Alamsyah yang terletak di Kampung Melayu, Pelabuhan Batu 6. Ziarah itu juga diikuti Ketua DPRD Kota Tanjungpinang Suparno, Wakil Walikota Tanjungpinang Edward Mushalli serta unsur Muspida Kota Tanjungpinang dan kepala SKPD di jajaran Pemko Tanjungpinang.

Pada saat ziarah dibacakan riwayat singkat Sultan Sulaiman yang merupakan Sultan Yang Dipertuan Riau-Lingga-Johor-Pahang, dilanjutkan dengan penggantian kain kuning pada nisan makam yang dilakukan Walikota Tanjungpinang, serta dilanjutkan dengan penaburan bunga pada makam tersebut.

Setelah itu, unsur Muspida Kota Tanjungpinang juga turut menaburkan bunga, dan ditutup dengan pembacaan doa yang dipimpin oleh Raja Al hafiz mewakili Lembaga Adat Melayu (LAM) Kota Tanjungpinang. Sedangkan prosesi ziarah sendiri dipimpin oleh Wan Rumadi selaku Ketua LAM Kota Tanjungpinang.

Dari Batu 6, rombongan beranjak ke Makam Daeng Marewa Yang Dipertuan Muda Riau I, serta makam Daeng Celak Yang Dipertuan Muda Riau II, di Sungai Timun Kelurahan Kampung Bugis.

Terakhir, Walikota beserta rombongan menuju Pulau Penyengat untuk menziarahi Makam Raja Haji Fisabilillah Yang Dipertuan Muda IV serta makam Engku Putri dan Makam Raja Ali Haji. Raja Haji Fisabilillah, sebagaimana yang diketahui merupakan tokoh besar di balik ditetapkannya tanggal 6 Januari sebagai hari jadi Tanjungpinang, dimana mengambil momentum keberhasilan Raja Haji dan pasukannya menenggelamkan kapal komando Belanda 'Malakas Welfaren' dan menewaskan 500 prajurit Belanda pada puncak pertempuran tanggal 6 Januari 1784.

"Tanjungpinang ini ada karena mereka-mereka semua pernah ada di sini, yakni pada 226 tahun silam. Oleh karena itu, kita patut berziarah ke makam-makam leluhur kita ini untuk menghormati segala jasa mereka. Apalagi saat ini bersempena dengan peringatan hari jadi Tanjungpinang. Karena Bangsa yang Besar itu, bangsa yang menghormati jasa para pahlawannya," kata Suryatati.

Sunday, January 3, 2010

Saturday, January 2, 2010

Sambutan Hari Jadi Batam Ke-180 Tahun Pada 18 Disember 2009

Sambutan Hari Jadi Batam ke 180 tahun buat julung julung kalinya diadakan pada hari Jumat 18hb Disember 2009. Majlis sambutan bermula pada jam 9 pagi di Masjid At Taqwa Nongsa pantai dengan pembacaan surat Yasin dan doa bersama. Semua yang hadir mengenakan pakaian Melayu lengkap dengan kain samping dan songkok. Warna bagi pakaian Melayu masing masing juga ditentukan mengikut kategori, Muspita (Anggota Parliament Batam) memakai warna putih; Keluarga Zuriat Nong Isa memakai warna kuning; Pengurus Lembaga Adat Melayu (LAM) memakai warna hitam; dan para undangan lainnya memakai pakaian Melayu berwarna selain daripada yang tersebut diatas.

Selepas pembacaan surat Yasin dan doa bersama, majlis dilanjutkan dengan upacara ziarah bersama ke komplek Makam Zuriat Nong Isa yang terletak lebih kurang 150 metre daripada Masjid At Taqwa, komplek makam tersebut terletak diatas bukit yang mempunyai 58 anak tangga. Di makam Zuriat Nong Isa tersebut, Wali Kota Batam, Ahmad Dahlan memasangkan kain pengikat batu nisan serta menabur bunga dan ayer mawar, kemudiannya diikuti pula oleh zuriat Nong Isa, Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPRD) Kota Batam, Surya Sardi dan sejumlah tokoh masyarakat di Kota Batam.



Dalam ucapan sambutannya, Wali Kota Batam, Ahmad Dahlan mengatakan bahawa keputusan bagi menetapkan Hari Jadi Batam memerlukan masa yang panjang dan tenaga yang banyak serta perlu meneliti sejumlah data dan dokumen dokumen sejarah yang banyak diserata tempat seperti diArsip Nasional dan Perpustakaan Nasional diJakarta dan sebagainya. Setelah dibincangkan dan ditelitikan semuanya barulah dapat disepakati bahawa Hari Jadi Batam jatuh pada tanggal 18 Desember 1829. Bahkan kini zuriat Nong Isa sudah tersebar di berbagai daerah. Sejarah menurutnya sangat penting sebagai pedoman untuk menentukan Hari Jadi kota Batam.

Melalui ziarah yang dilakukan ini maka bersama-sama dapat mendoakan almarhum almarhumah zuriat Nong Isa yang telah mendahului. Sehingga amal ibadahnya dapat diterima disisi Allah SWT. Ketua Lembaga Adat Melayu, Imran AZ, mengucapkan syukur atas sejarah yang berhasil dibangun oleh orang pada masa lampau. Dengan digelarnya acara ini, maka hari jadi ini akan menjadi sejarah untuk dikenang dikemudian hari.

Setelah selesai melakukan ziarah, rombongan kembali menuju masjid At-Taqwa untuk menunaikan Shalat Jumat dan diikuti dengan jamuan tengah hari. Peringatan Hari jadi Batam kemudian dilanjutkan dengan sidang paripurna istimewa di DPRD Kota Batam.

Anugerah Batam Madani



Pada malam harinya, Majlis makan malam dan Anugerah Batam Madani diadakan di Hotel Goodway pada jam 7 malam. Pemerintah Kota (Pemko) Batam memberikan piagam Anugerah Batam Madani kepada 22 orang yang merupakan mantan pejabat, pimpinan perusahaan, serta badan usaha. "Mereka tokoh yang berjasa membangun Batam hingga tetap eksis sampai sekarang ini,” ujar Wali Kota Batam, Ahmad Dahlan.

Anugerah itu merupakan dedikasi pemerintah kepada para perintis, kata Wali Kota Ahmad Dahlan. Dari 22 penerima Anugerah Batam Madani tersebut, 2 diantaranya tokoh adat Melayu yakni HR Zainuddin dan Machmur Ismail.

15 kategori pemerintahan Pemko Batam, yakni mantan Wako Batam dari periode 1983 sampai 2004. Mereka adalah Raja Usman Draman, Raja Abdul Aziz, Nyat Kadir, Nazief Soesila Darma, Manan Sasmita, dan Asman Abnur. Kategori pemerintahan OB yakni (Alm) Ibnu Sutowo, BJ Habibie, Abihasan Said, (Alm) Soedarsono Darmoseowito, Seopandi, Soeryohadi serta Gubernur Kepri sekarang, Ismeth Abdullah. Kategori pemerintahan DPRD Batam, yakni Taba Iskandar dan Soerya Respationo.

Sementara kategori badan usaha, yakni PT Mc Dermott Indonesia, PT MI Indonesia, PT Agramas Inti Nusantara, PT Esqarada dan Batam View Resort. Anugerah ini langsung disematkan Wali Kota Batam, Ahmad Dahlan dan Ketua DPRD Batam, Surya Sardi. Turut diberikan kepada masing-masing penerima penghargaan yakni selempang dan pin emas.

Khusus penerima penghargaan bagi (Alm) Ibnu Sutowo diterima langsung oleh istrinya Ny Ibnu Sutowo, dan (Alm) Soedarsono Darmosoewito diterima langsung istrinya Ny Sri Sudarsono. Acara ini sendiri dihadiri Gubernur Kepri, Ismeth Abdullah, Ketua DPRD Kepri, Nur Syafriadi, Kepala Dinas Pariwisata Kota Batam, Guntur Sakti serta berbagai unsur Muspida lainnya.

Majlis Anugerah Batam Madani selesai sekitar jam 11 malam.

Didalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pemerintah dan Warga Batam kerana telah mengundang kami dari Singapura, khususnya kepada Wali Kota Batam, Bapak Ahmad Dahlan; Anggota DPRD Batam, Bapak Irwansyah; Zuriat Raja Isa iaitu Raja Erwan dan Raja Rudy; Lembaga Adat Melayu Batam iaitu Bapak Maas Ismail dan Bapak Iskandar; Panitia Hari Jadi Ke-180 Kota Batam, Bapak Erdison Bujang; Ahli Sejarah Batam, Bapak Aswandi Syahri, dan lain lain yang tidak sempat saya sebutkan namanya disini.

Semoga Batam terus maju dari masa kesemasa dibawah kepimpinan Bapak Wali Kota Batam, Ahmad Dahlan.

Tuesday, December 22, 2009