Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Friday, January 29, 2021

Raja Ali Kelana Ibni Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi

Nama lengkapnya Raja Ali Kelana Ibni Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi (Yang Dipertuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi) Ibni Raja Ali (Yang Dipertuan Muda ke-8, 1844 Masihi - 1857 Masihi) Ibni Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda ke-6, 1808 Masihi - 1832 Masihi) Ibni Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah (Yang Dipertuan Muda ke-4, 1777 Masihi - 1784 Masihi) Ibni Upu Daeng Celak (Yang Dipertuan Muda ke-2, 1729 Masihi - 1746 Masihi). Daripada nama-nama tersebut dapat disimpulkan bahawa lima orang Yang Dipertuan Muda mulai ayah hingga ke atas adalah pertalian lurus pada Raja Ali Kelana. Raja Ali Kelana tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda kerana kerajaan Riau-Lingga dimansukhkan oleh penjajah Belanda dan sultan terakhir Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, adik beradik dengan Raja Ali Kelana hijrah ke Singapura (1911 Masihi). Perlu dicatatkan di sini bahawa mulai Yang Dipertuan Muda yang pertama (Upu Daeng Merewah) tahun 1722 Masihi sampai tahun 1825 Masihi (masa pemerintahan Raja Jaafar Yang Dipertuan Muda ke-6) bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya. Pangkat Barangkali di dalam kerajaan Melayu yang memperoleh pangkat atau gelar `Kelana' hanya disandang oleh keturunan raja Bugis di dalam kerajaan Riau-Lingga, sekurang-kurangnya yang paling terkenal dengan gelar itu ialah Raja Haji asy-Syahidu fi Sabilillah. Yang dimaksudkan dengan `Kelana' ialah sebagai petanda calon untuk menjadi Yang Dipertuan Muda atau Yamtuan Muda. Raja Ali Kelana wafat pada hari Ahad, pukul 8.00 pagi di rumahnya di Jalan Teberau, Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi PENDIDIKAN Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau. Di Riau pada zaman kanak-kanaknya sangat ramai ulama dan cendekiawan, sama ada yang berasal dari Riau seperti Raja Ali Haji yang sangat terkenal, mahu pun yang datang dari luar. Sewaktu Raja Ali Kelana akan ke Mesir, beliau singgah di Mekah dan sempat memperdalam pelbagai pengetahuan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Abdullah az-Zawawi dan lain-lain. Setelah selesai mengerjakan haji pada tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi, Raja Ali Kelana menerima baiah Thariqat Naqsya-bandiyah Mujaddidiyah Ahmadiyah Muzhhariyah daripada keluarga az-Zawawi, sebelum itu beliau telah beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah daripada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi. Dengan baiah atau tawajjuh, Raja Ali Kelana juga diberi gelar dihujung namanya dengan `al-Ahmadi' sebagaimana gelar yang pernah diberikan kepada ayahnya, Sultan Muhammad Yusuf al-Ahmadi. Yang dimaksudkan dengan `al-Ahmadi' pada gelaran tersebut ialah dibangsakan kepada mujaddid (penemu sesuatu yang baru) Thariqat Naqsyabandiyah bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Jika bergelar `al-Khalidi' adalah dibangsakan kepada mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi. AKTIVITI Organisasi yang pertama didirikan oleh orang Melayu ialah Jamiyatul Fathaniyah oleh Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah (1290 Hijrah/1873 Masihi) yang diikuti oleh murid-murid beliau dengan mendirikan pelbagai organisasi. Murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani di Riau termasuk Raja Ali Kelana mendirikan Jamiyatul Rusydiyah atau Rusydiyah Klab, 1298 Hijrah/1880 Masihi. Oleh orang-orang yang sama di Riau juga diasaskan Jamiyatul Khairiyah. Raja Ali Kelana pernah menerima perlantikan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya bergerak dalam bidang percetakan untuk kawasan Singapura dan Riau yang berpusat di tempat pemerintah Riau-Lingga dijalankan, sedang Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk kawasan Kelantan dan Patani yang berpusat di Kota Bharu Kelantan. Dalam catatan didapati bahawa Raja Ali Kelana beberapa kali mengikut Syeikh Ahmad al-Fathani ke Istanbul, Turki-Usmaniyah kerana urusan diplomatik politik dalam rangka membebaskan dunia Melayu daripada segala macam bentuk penjajahan. Kepergiannya ke Turki yang dapat dicatat, antaranya pada tahun 1301 Hijrah/1883 Masihi, 1312 Hijrah/1895 Masihi dan setelah selesai mengerjakan haji pada akhir tahun 1322 Hijrah/Februari atau Mac 1905 Masihi atau Muharam 1323 Hijrah/ Februari atau Mac 1905 Masihi. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Raja Ali Kelana pergi ke Turki lagi pada tahun 1913 Masihi. Keberangkatan ke Turki itu dengan persetujuan antara Raja Ali Kelana dan Raja Khalid Hitam (cucu Raja Ali Haji), seorang ke Turki dan seorang lagi ke Jepun. Raja Khalid Hitam dalam tahun itu juga (1913 Masihi) berangkat ke Jepun untuk yang kedua kalinya. Pertama kali ke Jepun pada tahun 1911 Masihi. Sama ada ke Turki atau ke Jepun, tujuannya adalah mencari sokongan untuk mengembalikan kesultanan Riau-Lingga yang telah dimansukhkan oleh penjajah Belanda. Pada tahun 1324 Hijrah/1906 Masihi, Syarikat Al-Ahmadi didirikan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar dan kerabat kerajaan Riau di Pulau Midai, Pulau Tujuh, yang direstui oleh Sultan Abdur Rahman Muazzam Syah, Sultan Riau-Lingga. Tidak berapa lama setelah syarikat itu diasaskan atas titah Sultan Riau-Lingga supaya Raja Ali Kelana (saudara Sultan) mengeluarkan modal bersama membeli sebuah kapal yang dinamakan `Kapal Karang'. Kapal tersebut beroperasi mengangkut kelapa kering, hasil bumi lainnya dan hasil laut dari Pulau Tujuh ke Singapura dan sebaliknya dari Singapura ke Pulau Tujuh membawa semua barangan keperluan harian, terutama makanan dan pakaian. Tentang ini disebut oleh Raja Haji Ahmad di Singapura dalam surat kepada saudara sepupunya, Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman (ayah penulis), Kuasa Ahmadi & Co. Midai diPulau Midai. Cawangan Selain bergerak dalam perkapalan dan pengangkutan, Raja Ali Kelana adalah pemilik Syarikat Batam Bricks Works Limited yang bergerak dalam pemprosesan batu-bata di Pulau Batam, Riau. Syarikat itu mempunyai cawangan dan berpejabat di Singapura. Gerakan niaga Raja Ali Kelana mengalami kerugian besar dan berakhir pada tahun 1329 Hijrah/1911 Masihi. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor. PENULISAN 1. Pohon Perhimpunan Pada Menyatakan Peri Perjalanan, diselesaikan pada hari Sabtu, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Kandungannya merupakan laporan perjalanan Raja Ali Kelana bersama conteleur Belanda ke Pulau Tujuh. Dimulai catatan ketika berangkat dari pelabuhan Tanjungpinang, hari Rabu 6 Ramadan 1313 Hijrah/19 Februari 1896 Masihi dan diakhiri dengan tiba kembali di pelabuhan yang sama pada hari Sabtu pukul 5.00 petang, 23 Ramadan 1313 Hijrah/6 Mac 1896 Masihi. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1315 Hijrah/1897 Masihi. 2. Perhimpunan Pelakat, diselesaikan pada tahun 1316 Hijrah/1899 Masihi. Kandungannya mengenai peraturan yang telah dimasyarakatkan antara Kerajaan Riau-Lingga dengan Gubernemen Hindia-Nederland dari tahun 1286 Hijrah hingga tahun 1307 Hijrah. Dicetak oleh Mathba'ah ar-Riyauwiyah, Pulau Penyengat, 1317 Hijrah. Karya pertama dan kedua ini telah ditransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi oleh Hasan Junus dimuat dalam karyanya berjudul Pendokumentasian Naskah Kuno Melayu dan Kajian Khusus, diterbitkan oleh Pemerintah Daerah Tingkat I Propinsi Riau, Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Daerah Riau Pekan Baru, 1993. 3. Bughyatul Ani fi Hurufil Maani, diselesaikan tidak diketahui tarikh. Kandungannya membicarakan tatabahasa. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1341 Hijrah/1922 Masihi 4. Rencana Mudah Pada Mengenal Diri Yang Indah, diselesaikan di Johor Bahru, pada 3 Rejab 1344 Hijrah/17 Januari 1926 Masihi. Kandungannya adalah pelajaran tasawuf yang ditulis dalam bentuk soal jawab. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1344 Hijrah yang dibenarkan mencetak kepada Sahal bin Ahmad. 5. Kesempurnaan Yang Lima Bagi Islam Menerima, diselesaikan di Bukit Kenangan, Negeri Johor Bahru pada 3 Jamadilakhir 1345 Hijrah/8 Disember 1926 Masihi. Kandungannya, pelajaran fardu ain. Dicetak oleh Maktabah wa Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 27 Ramadan 1345 Hijrah. 6. Kumpulan Ringkas atau judul yang lebih lengkap diungkapkan dalam bentuk bersajak Kumpulan Ringkas * Berbetulan Lekas Pada Orang Yang Pantas * Dengan Fikiran Yang Lintas, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya, terkumpul di dalamnya 31 keringkasan yang terdiri daripada 160 perbicaraan. Sub judul yang penting yang jarang dibicarakan tetapi termaktub dalam karya ini antaranya ialah Pada Menyatakan Kelebihan Akal, Jadi Bekal, Pada Menyatakan Berhimpun Bersatu Dengan Pengetahuan, Berpegang Kukuh Oleh Bangsawan, Pada Menyatakan Tawarikh Segala Raja-Raja Dahulu Kala, Pada Menyatakan Sultan Yang Ada Sekarang, Daripada Ayah-Bundanya Terang, Pada Menyatakan Asal Melayu Diambil Dalil, Daripada Al-Marhum Abdul Jalil, Pada Menyatakan Sebab Gelar Upu Kelana Dengan Shahihah, Yang Dipertuan Muda Sultan Alauddin Syah, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keempat Ditanya Orang, Akan Aristotales Dijawab Terang, Pada Menyatakan Hikayat Yang Keenam, Cetera Iskandar Muda Elok Ditanam, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesembilan, Yang Dikehendaki Bagi Sultan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesepuluh Pada Perjalanan, Menteri Yang Elok Diperkenan, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kesebelas Menteri Terpuji, Sunyi Mendapat Nama Yang Keji, Pada Menyatakan Hikayat Yang Kedua belasnya, Peri Berubah Niat Rajanya, Pada Menyatakan Hikayat Yang Ketiga belas, Menter Khianat Lagi Pemulas. Ringkasan Yang Ke-30 dan Ringkasan Yang Ke-31 diungkapkan dalam bentuk puisi/syair. Intelektual Cetakan pertama Mathba'ah Al-Imam, No. 26 Robinson Road, Singapura, 1328 Hijrah. Cetakan yang kedua diusahakan oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur 1420 Hijrah/1999 Masihi. Artikel ini penulis tutup dengan pandangan bahawa walaupun Raja Ali Kelana seorang tokoh intelektual Islam pada zamannya, namun beliau tetap berada di dalam lingkungan `Kaum Tua', berbeza dengan Sayid Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, kedua-duanya terkenal sebagai pelopor `Kaum Muda'. Sama ada Sayid Syeikh al-Hadi mahu pun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah tokoh yang sangat erat hubungannya dengan Raja Ali Kelana, berbeza dalam pemikiran keIslaman tetapi bersatu untuk kepentingan umum dan kemaslahatan. Tulisan: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH - Ulama-Nusantara Blogspot

Sunday, January 24, 2021

Kunjungan Muhibbah Ke Batam Menemui Walikota Batam, Datuk Dr. Ahmad Dahlan - Penulis Buku Sejarah Melayu yang baru diterbitkan.

Raja M Raja M Khalid salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura bersama sama dengan YM Tengku Sri Tengku Sri Indra Bin Tengku Ismail zuriat keturunan Sultan Hussien Shah Singapura telah membuat kunjungan muhibbah ke Batam - Kepulauan Riau pada hari Selasa 19 Januari 2016 untuk bersilaturahim dengan Walikota Batam, Datuk Dr. Ahmad Dahlan yang juga merupakan Penulis Buku Sejarah Melayu yang baru diterbitkan.

Pertemuan dimulai pada jam 12 tengahari dengan acara makan siang di VIP room di Golden Prawn Restaurant. Selanjutnya di ikuti dengan perbincangan serta beramah tamah, bertukar tukar cenderamata diantara Tengku Sri Indra dengan Datuk Dr. Ahmad Dahlan. Tengku Sri Indra yang dahulunya menetap di Istana Kampong Gelam di no 85 Sultan Gate, Singapura turut menunjukkan Salasilah keluarganya
yang merupakan Ketua Keluarga DiRaja Singapura atau Head Of The Royal House Of Singapore, yang namanya ada tertulis di dalam Buku The Royal Families Of South East-Asia yang di terbitkan pada December 1994 serta menunjukkan Cop Mohor Sultan Hussien Shah yang merupakan salah satu warisan Keluarga DiRaja Singapura yang sangat berharga yang didalam simpanannya.


Datuk Dr. Ahmad Dahlan turut mengadakan satu sidang akhbar pada pertemuan tersebut yang antara lain turut menyentuh hubungan kekeluargaan zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Singapura dan Malaysia serta zuriat keturunan Sultan Hussien Shah dengan zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Kepulauan Riau - Indonesia.

Add caption
Datuk Dr. Ahmad Dahlan, Walikota Batam mengadakan satu sidang akhbar bersama sama dengan YM Tengku Sri Tengku Sri Indra zuriat keturunan Sultan Hussien Shah Singapura (berbaju batik berwarna coklat) dan Raja M Khalid salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura (berbaju batik berwarna coklat) . Turut hadir sama ialah Budayawan Samsom Rambah Pasir yang juga merupakan penyunting Buku Sejarah Melayu tulisan Datuk Dr. Ahmad Dahlan. Didalam sidang akhbar tersebut Datuk Dr. Ahmad Dahlan telah turut menerangkan hubungan kekeluargaan diantara zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Singapura dan Malaysia serta zuriat keturunan Sultan Hussien Shah Singapura dengan zuriat keturunan DiRaja Riau Lingga yang berada di Kepulauan Riau - Indonesia.


Sunday, January 17, 2021

Bersilaturahim Ke Kediaman YM Tengku Sri Indra Bin Tengku Ismail Di Singapura

Tengku Sri Indra Bin Tengku Ismail (berbaju putih)

Raja M Khalid salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura telah berkesempatan untuk bersilaturahim ke kediaman YM Tengku Sri Indra Bin Tengku Ismail di Joo Chiat Avenue, Singapura pada petang 3 January 2016. Tengku Sri Indera adalah merupakan zuriat keturunan ke-6 daripada Sultan Hussien Shah Singapura yang dahulunya menetap di Istana Kampong Gelam di no 85 Sultan Gate, Singapura. Ayahanda Tengku Sri Indra iaitu Almarhum Tengku Ismail Bin Tengku Hussien adalah merupakan Ketua Keluarga DiRaja Singapura atau Head Of The Royal House Of Singapore, yang namanya ada tertulis di dalam Buku The Royal Families Of South East-Asia yang di terbitkan pada December 1994. Sebagai zuriat keturunan Sultan Hussien Shah, Tengku Sri Indra merasa beruntung kerana telah diberi kepercayaan untuk menyimpan Cop Mohor Sultan Hussien Shah yang merupakan salah satu warisan Keluarga DiRaja Singapura yang sangat berharga.

Gambar Cop Mohor Sultan Hussien Shah
Salasilah keturunan Tengku Sri Indra Bin Tengku Ismail Bin
Didalam kesibukannya selaku CEO di Syarikat SDG International Pte Ltd, Tengku Sri Indra tetap juga mengikuti perkembangan yang mempunyai kaitan dengan keluarganya, bangsa Melayu dan Singapura, walaupun seringkali berada di luar negara kerana tugasnya yang memerlukan beliau pergi ke negara negara Asia lainnya seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Oleh sebab itu apabila beliau mendapat tahu bahawa sudah ada sebuah Buku Sejarah Melayu yang baru diterbitkan yang ditulis oleh Datuk Dr. Ahmad Dahlan, Walikota Batam, beliau berminat untuk membaca dan memilikinya kerana perkara perkara yang ditulis didalam Buku itu dekat dengan hati nya. Dan juga sebagai seorang yang pakar di bidang "Mentoring and Coaching", Tengku Sri Indra juga berpendapat bahawa Buku Sejarah Melayu ini juga boleh dijadikan sebagai motivasi untuk meningkatkan prestasi diri orang orang Melayu sendiri apabila orang orang Melayu dapat kenal akan sejarah bangsanya sendiri. 

Buku The Royal Families Of South East-Asia yang di terbitkan pada December 1994

Gambar pemandangan di Istana Kampong Gelam yang diambil sekitar tahun 1930an yang berlatar belakangkan Mesjid Sultan Singapura.   

Monday, December 21, 2020

Majlis pelancaran Buku Sejarah Melayu di Taman Warisan Melayu - Istana Kampong Gelam Singapura pada Sabtu 19 Disember 2015

Majlis pelancaran Buku Sejarah Melayu tulisan Datuk Dr Ahmad Dahlan - Walikota Batam, di Taman Warisan Melayu - Istana Kampong Gelam Singapura pada Hari ini, Sabtu 19 Disember 2015 dari jam 1.30pm hingga 5.00 petang.
Ucapan oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan, Walikota Batam
Aturcara majlis:-

1. Ucapan oleh Dato Nazri Kamal Albentan, Presiden & Pengasas Persatuan Bentan Malaysia selaku penganjur majlis.

2. Ucapan oleh Datuk Ismail Mohamed Yaacob yang merupakan zuriat keturunan Hang Tuah, dan juga Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura.

3. Ucapan oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan, Walikota Batam dan penulis Buku Sejarah Melayu.

4. Ucapan oleh Bapak Aswandi Syahri - Sejahrawan Kepulauan Riau.

5. Pemberian cenderahati Buku Sejarah Melayu oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan kepada tetamu istimewa: Dato Nazri, Datuk Ismail Yaacob, Pendekar Zam dan Raja Muhammad Khalid.

6. Bertukar tukar cenderahati oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan dengan Dato Nazri.

7. Penyerahan cenderahati oleh Dato Nazri kepada Pendekar Pendekar dari perbagai Perguruan Silat dari Singapura dan Malaysia.

8. Persembahan Kumpulan musik Melayu Fasola dari Batam yang mendendangkan lagu Megat Seri Rama dan Jayalah Batam Ku.

9. Persembahan nyanyian oleh Ibu Mariana isteri Datuk Dr Ahmad Dahlan.

10. Penyanyi Apoi dari Malaysia menyanyi kan lagu Keris Sempena Riau dan Dalam diam aku menyintai mu.

11. Majlis di tutup dengan bergambar Bersama dan penjualan Buku Sejarah Melayu dengan harga S$40 atau RM100. Kemudian di ikuti dengan Jamuan makan buffet nasi Padang yang sediakan oleh Restaurant Parianan.

Ucapan oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan, Walikota Batam dan penulis Buku Sejarah Melayu.

Pemberian cenderahati Buku Sejarah Melayu oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan kepada tetamu istimewa: Datuk Ismail Yaacob.

Pemberian cenderahati Buku Sejarah Melayu oleh Datuk Dr Ahmad Dahlan kepada tetamu istimewa: Raja Muhammad Khalid, salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura,

Buku Sejarah Melayu ini adalah merupakan perhimpunan sejarah2 Melayu daripada kitab2 sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) yang ditulis oleh Tun Seri Lanang dan kitab Tuhfat Al Nafis yang di tulis oleh Raja Ali Haji dan kemudian nya di lanjutkan penulisan sejarah Melayu ini hingga ke zaman ini oleh penulisnya, Datuk Dr Ahmad Dahlan - Walikota Batam, yang mengambil masa 5 tahun untuk menyiapkan penulisan Buku yang dapat disiapkan pada tahun 2014.

Sunday, December 20, 2020

Bersilaturahim dengan YM Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) di Kuala Lumpur

Raja M Khalid, salah seorang zuriat keturunan dari Kerajaan Riau Lingga yang menetap di Singapura, bergambar semasa bersilaturahim dengan YM Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) dan anakanda YM Tengku Afzan yang kebetulan berada di Kuala Lumpur Pada pagi 25 Disember 2015. YM Tengku Puan Pahang telah berkenan untuk menerima cenderahati berupa Buku Sejarah Melayu daripada penulisnya Datuk Dr. Ahmad Dahlan, Walikota Batam.

Setelah itu mengiringi Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) beserta anakanda YM Tengku Afzan bersilaturahim ke rumah ayahanda saudara & ibu saudara saya, Ungku Tahir & Tengku Saadiah (Mak Engku Intan) di Puchong, Selangor. Tengku Saadiah adalah merupakan Pegawai Perubatan Peribadi kepada Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar.





Tuesday, December 15, 2020

Raja Haji Ali Bin Raja Haji Muhammad (Tengku Nong)

Raja Haji Ali Bin Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) adalah cucu kepada Raja Abdullah, Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga ke-9. Ayahnya Raja Haji Muhammad atau Tengku Nong hanya sempat menyandang gelar `Kelana'. Oleh sebab beberapa faktor tertentu, tidak sempat menjadi Yang Dipertuan Muda Kerajaan Riau-Lingga. Ayah saudaranya pula Raja Haji Muhammad Tahir adalah Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Semua nama yang tersebut itu dan beliau sendiri, iaitu Tengku Ali atau digelar juga dengan Tengku Selat adalah tokoh-tokoh Melayu yang bertaraf ulama, bersepadu dengan kearifan perkara-perkara yang bercorak duniawi. Mereka beramal dan mendalami pengetahuan Islam, sekali gus bijak mengatur kemaslahatan kepentingan kehidupan peribadi, keluarga besar, umat Islam di persekitaran dan zamannya melalui perniagaan, pentadbiran jabatan dan pemerintahan yang mereka tangani. Memperjuangkan Hanya dua orang tokoh besar yang pernah berperanan dalam kerajaan Riau-Lingga, sewaktu penulis masih kanak-kanak dan pemuda, yang sempat penulis temui pada akhir hidupnya, ialah Tengku Ali dan Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar Endut. Tengku Ali adalah seorang tokoh besar kerajaan Riau-Lingga kerana pernah menjadi Ketua Setiausaha Riau-Lingga. Rakyat Riau-Lingga juga pernah memperjuangkan beliau untuk menjadi Sultan Riau-Lingga, namun beliau menolaknya. Tidak sedikit orang yang pernah memegang sesuatu jabatan tinggi atau berkuasa, mereka berpengaruh dan bijak, tetapi setelah tiada kuasa, mereka menjadi orang yang bodoh kerana hilang pegangan dan pedoman. Berlainan dengan Tengku Ali, sewaktu kerajaan Riau-Lingga dihapuskan oleh penjajah Belanda (1911), beliau sangat tekun beribadah, bertawakal kepada Allah. Sebahagian besar Kerabat Diraja Riau-Lingga berhijrah ke Singapura, namun Tengku Ali mempunyai pandangan tersendiri. Kerajaan Riau-Lingga yang demikian besar pengaruhnya ketika itu telah hapus, perniagaan Raja Ali Kelana dan Raja Haji Ahmad mengalami krisis kehancuran tiada terkawalkan lagi, ketika itulah Tengku Ali muncul dengan kebijaksanaannya. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu. Dalam artikel ini penulis cuba mengungkapkan kisah ulama Riau-Lingga ini membina perniagaan yang benar-benar berdasarkan syariah Islam dan menggunakan sistem persahaman yang banyak persamaan dengan yang digunapakai dunia moden sekarang ini. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam. Tengku Ali lahir tercatat pada 1286 H/1869 M, tetapi dalam Surat Keterangan Yang Berlaku Laksana Paspot No. 21441 yang dikeluarkan di Singapura pada 10/8/1950 oleh Republik Indonesia Serikat dinyatakan bahawa Tengku Ali lahir di Pulau Penyengat (Riau) tahun 1874 M. Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau, 9 Rejab 1374 H/ 3 Mac 1955 M. PENUNJANG EKONOMI Untuk pengukuhan ekonomi, Tengku Ali memasuki pelbagai sektor penunjang sebagai benteng pertahanan supaya ekonomi tetap stabil. Sektor-sektor itu ialah, memiliki tanah perkebunan, memiliki tempat-tempat perniagaan sendiri, bukan menyewa kepada pihak lain, memiliki alat pengangkutan sama ada di darat mahu pun di laut, menjalankan permodalan bersama sama ada sesama keluarga atau kerabat mahu pun seluruh kaum Muslimin. Dalam hal ini perlu penentuan saham atau sher. Untuk kemaslahatan umat Islam, rangka pendek, perlu menyediakan tempat-tempat pendidikan. Untuk rangka panjang, umat Islam perlu mempunyai hak milik sendiri. Dalam hal ini perlu menyediakan perkebunan wakaf dan tanah wakaf. Menurut Tengku Ali modal yang paling utama seseorang insan Muslim ialah `tawakkal `alallah', mendahulukan pembayaran yang wajib, iaitu zakat daripada sedekah yang sunat. Mengenai ini termasuk juga mendahului pembayaran upah pekerja daripada lain-lainnya. Semua yang tersebut ini termasuk dalam kerangka pembinaan ekonomi sistem Islam Tengku Ali, yang menghendaki huraian yang sangat panjang, sekelumit di antaranya saja yang dapat diperkenalkan dalam artikel ini. Sebagai bukti aktiviti Tengku Ali dalam sektor perkebunan di antaranya ditemui tulisan tangan beliau sendiri, bahawa beliau membuka perkebunan di Pulau Kemili, Riabu, Kepulauan Siantan. Surat yang dikeluarkan oleh Mahkamah Siantan, hari Isnin, 2 Rejab 1319 H bersamaan dengan tahun 1901 M yang ditandatangani oleh Orang Kaya Dewa Perkasa Muhammad Usman dan Amir Serta Bakal Pangeran Siantan yang diberikan izin kepada Raja Ali bin Raja Haji Muhammad Kelana/Tengku Nong membuat kebun getah dan lainnya di tanah Pulau Siantan Darat, Teluk Tarempa. Pemilikan tanah dan perkebunan Raja Ali di sekitar Kepulauan Siantan bukan untuk keperluan peribadinya saja, tetapi untuk umat Islam. Luas Tanah yang disebut dalam surat di atas, adalah sangat luas, separuh gunung Tarempa, Siantan, beliau wakafkan untuk Masjid Jamik Tarempa. Selain yang tersebut Tengku Ali juga mewakafkan beberapa tanah dan perkebunan kelapa di tempat-tempat lainnya, di antaranya tanah dan kebun kelapa untuk Masjid Baitur Rahman di Pulau Midai. Masjid tersebut beliau sebagai ketua, yang peralatannya dikerjakan dan didatangkan dari Terengganu. Selain itu ada lagi tanah wakaf dan kebun wakafnya untuk masjid di Jemaja. Tengku Ali juga adalah perintis pengurusan kebun-kebun wakaf untuk guru-guru yang mengajar di Mekah dan Madinah, kerana ulama yang mengajar di kedua-dua tanah haram pada zaman itu tiada bergaji atau mempunyai penghasilan tetap seperti sekarang ini. Pengiriman wang hasil wakaf ke Mekah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Wakil Tengku Ali dalam urusan tersebut di Mekah ialah Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (Pulau Pinang). PERNIAGAAN DAN PERCETAKAN Perniagaan Kerabat Diraja Riau-Lingga dicetuskan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Umar, dimulai di Pulau Midai tahun 1324 H/ 1906 M. Tahun 1330 H/19l2 M Raja Ali/Tengku Selat menerima penyerahan pimpinan Syarikat Ahmadi & Co. Midai daripada Raja Haji Ahmad, kerana Raja Haji Ahmad akan berangkat pindah ke Mekah. Tanggal 28 Rejab 1332 H/1913 M surat nombor 91 dan nombor 92 Raja Ali mengirim surat kepada Raja Haji Ahmad di Mekah, bahwa beliau akan mengembangkan perniagaan Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura. Dengan Akta, Midai 1 Syaaban 1333 H/14 Jun 1915 M ditetapkanlah untuk membuka cawangan Ahmadiah Pulau Tu-juh di Singapura yang berpejabat di Palembang Road 18 B. Aktiviti perniagaannya merupakan agensi pengumpulan hasil bumi dan laut, selanjutnya aktif dalam eksport dan import pelbagai jenis barangan. Kemudian pindah ke Minto Road 50. Pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1339 H/3 Disember 1920 M mufakat pula mendirikan percetakan. Perusahaan di Minto Road 50 itu berkembang terus dan pada tahun 1926 M Ahmadiah membeli sebuah rumah nombor 82 Jalan Sultan Singapura, kemudian nombornya diganti menjadi nombor 101 Jalan Sultan. Grant List Governement nombor 2650 lamanya dianggarkan 99 tahun. Telah dibeli oleh orang lain sebelumnya pada 12 Julai 1873 M. Jadi Syarikat Ahmadi & Co. Midai di Singapura hanya memilikinya sampai 12 Julai 1972 Masihi saja. Dokumen Selain sebagai Ketua Al-Ahmadiah, Raja Ali/Tengku Selat adalah sebagai sponsor dan sesepuh daripada berbagai-bagai perusahaan niaga di Pulau Tujuh, Sumatera, Singapura dan Malaya. Di antara yang sempat penulis jumpai dokumennya ialah: 1. Natuna Syarkah Sedanau, sekurang-kurangnya telah wujud tahun 1318 H/1900 M, enam tahun mendahului Ahmadi & Co. Midai. Pendirinya Raja Haji Idris bin Raja Haji Umar/Tengku Endut. 2. Syarikat Air Putih (Midai). 3. Syarikat Kampar-Kuantan di Midai dan Sumatera. 4. Syarikat Semuafakat/ Moefakat (seluruh Pulau Tujuh). 5. Syarikat Subi-Pulau Panjang 6. Syarikat Letung-Jemaja. 7. Syarikat Terempa. 8. Syarikat Usaha Tenun Terengganu di Singapura. Semua syarikat tersebut ada ketua, tetapi hanya sebagai simbolik. Kuasa tertinggi sebagai penentu adalah Raja Ali/Tengku Selat. Lambang pada surat peribadi Raja Ali/Tengku Selat berbentuk tangan bersalaman dengan cogan kata (motto) di atasnya `Tawakkalna `ala Allah.' Di kanan `Bersetia Jaya', dan di kiri `Bercerai Merbahaya'. Untuk menjadi anggota salah satu syarikat itu adalah dengan cara membeli lembaran sher atau saham. Ternyata yang paling banyak diminati oleh masyarakat Melayu ialah saham Ahmadi & Co. Midai mahu pun saham Mathba'ah Al-Ahmadiah Cawangan Singapura. Dalam penyelidikan yang penulis jalankan, penulis belum menemui sesebuah syarikat milik Melayu pada zaman itu yang mempunyai anggota yang bercorak sejagat. Orang-orang Melayu yang membeli saham syarikat itu selain Kerabat Diraja Riau-Lingga, termasuk beberapa orang ulama Melayu di Mekah yang berasal dari Patani, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya. Saham juga dibeli oleh golongan terpelajar, di antara mereka ada yang berasal dari Padang dan Betawi (Jakarta). Saham anugerah pula di antaranya pernah diberikan kepada ulama Arab bernama Syeikh Abdul Hamid al-Firdausi, bekas Mufti Riau-Lingga. Surat Raja Ali di Singapura, tarikh 8 Safar 1347 H, memperlihatkan niat baik atau tujuan Al-Ahmadiah ditulisnya, ``... segala perjalanan kita dari dahulu hingga ini semata-mata atas jalan pemeliharaan dan bantu membantu atas tiap-tiap kesusahan, keberatan kerabat yang jauh apa lagi yang hampir ... ``. Dalam surat ini juga dinyatakan bahawa ``yang empunya harta benda yang dipegang oleh Ahmadi itu, laki-laki yang cerdik pandai berhitung dan lainnya''. Hubungan perniagaannya juga sangat luas, surat Tengku Ali di Singapura tarikh 26.9.1925 M membuktikan bahawa Al-Ahmadiah 50 Minto Road, Singapura ada hubungan langsung kepada Company Robin di Amsterdam (Negeri Belanda). Surat Tengku Ali di Singapura kepada Raja Kaluk dan Raja Hasnan di Ahmadi Midai, tarikh 2 Jamadilawal 1344 H/18 November 1925 M membuktikan Al-Ahmadiah Singapura memesan langsung alat-alat percetakan dari Mesir, Beirut dan Amerika. Selain itu surat yang sama juga membuktikan kemajuan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura. WASIAT Ketika Tengku Ali mencecah usia lebih kurang 93 tahun, pada tarikh Midai 35 Julai 1954, ketika itulah beliau membuat Surat Wasiat untuk orang-orang yang meneruskan usahanya. Ada 13 perkara yang termaktub dalam surat wasiat itu. Surat wasiat ditandatangani oleh yang berwasiat, juga ditanda tangani oleh tiga orang yang menerima wasiat, ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman, Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud dan Raja Muhammad Nazir bin Raja Haji Mahmud. Pada tarikh, Midai, 7 Ogos 1954 dibuat penambahan, yang beliau tanda tangani, juga ditanda tangani oleh dua orang saksi ialah Haji Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman dan Raja Ali bin Raja Mohd. Sa'id. Ditulis oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah - Di Artikle Ulama Nusantara

Thursday, December 10, 2020

Raja Haji Muhammad Tahir Ibni Almarhum Raja Abdullah, Yang DiPertuan Muda Riau Ke-9

Raja Haji Muhammad Tahir - Hakim Riau-Lingga dan ulama falakiah ILMU Hisab dan Falakiah berkembang dalam kerajaan Riau-Lingga dimulai oleh Raja Ali Haji yang belajar daripada Saiyid Abdul Rahman bin Ahmad al-Mashri di Betawi. Apabila pujangga Riau itu ke Mekah mengikut orang tuanya, Raja Haji Ahmad pada tahun 1243 H/1817 M, Raja Ali Haji dan ayahnya mentahqiqkan pelbagai ilmu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, termasuk Ilmu Hisab dan Falakiyah. Raja Ali Haji selain seorang pengarang, juga mengajar ilmu-ilmu keIslaman kepada kerabat-kerabatnya, di antara mereka yang menjadi ulama besar dan Hakim ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin Raja Haji Abdullah (al-Marhum Mursyid). Raja Haji Muhammad Tahir merupakan orang pertama di Riau yang menulis dalam bidang Ilmu Hisab dan Falakiyah sebagai dokumentasi. Kemunculannya boleh disenaraikan dalam golongan di antara orang-orang pertama melakukan penulisan ilmu itu di dunia Melayu. Hal tersebut diakui, kerana pada peringkat awal memang tidak ramai ulama dunia Melayu melakukan penulisan ilmu tersebut, bahkan termasuk sampai ke zaman kita sekarang ini (1425 H/2004 M) sangat sedikit sekali yang menulis perkara itu. Walau bagaimanapun Syeikh Abbas Kuta Karang Aceh dan lain- lain telah mendahului Raja Haji Muhammad Tahir Riau. Naskhah hisab dan falak karya beliau hanyalah dapat diketahui dan dipelajari melalui salinan yang dibuat oleh putera beliau sendiri, iaitu Raja Haji Muhammad Sa'id, seorang ulama Riau-Lingga yang banyak menghasilkan karya. Oleh sebab asas Ilmu Hisab dan Falak telah dirintis oleh kedua-dua orang kerabat Diraja Riau-Lingga itu, ia memberi laluan mudah kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari memperkembangkan ilmu itu. Kerabat Diraja Riau-Lingga merupakan orang pertama memperkenalkan dan memperkembangkan karya-karya hisab dan falak Syeikh Tahir Jalaluddin itu melalui natijah-natijah yang mereka terbitkan di Singapura. Yang memperkenalkan karya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari itu masih keluarga dekat dengan ulama ini, di antara mereka ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dan Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud. Ketokohan Raja Haji Muhammad Tahir telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya. PENDIDIKAN Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat, 26 Zulhijjah 1276 H/1859 M, Raja Muhammad Tahir belum akil baligh lagi, sedangkan anaknya yang tua, Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong berada di Mekah. Saudara tuanya, ialah Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong yang telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk mendidik Raja Muhammad Tahir. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong sendiri sebelum ke Mekah telah mendapat pendidikan daripada ayahnya. Juga sewaktu di Riau-Lingga beliau diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Raja Muhammad Tahir mendapat pelbagai ilmu daripada abangnya termasuklah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Beliau juga sempat belajar kepada Raja Ali Haji. Di antara pengetahuan yang dipelajarinya daripada Raja Ali Haji ialah Ilmu Bahasa Melayu, termasuk karang mengarang, Ilmu Sosiologi, Sejarah, Ilmu Hisab/Falak dan lain-lain lagi. Selepas itu Raja Haji Muhammad Tahir melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Selama berada di Mekah beliau dalam pemeliharaan Syeikh Ismail Minangkabau dan keluarganya. Di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi. Kejayaan Raja Haji Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar kerajaan Riau-Lingga dalam masa transisi kejayaan kerajaan itu kepada masa kerajaan itu dimusnahkan oleh pihak penjajah Belanda. Walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar, namun beliau masih sempat mendidik kaum kerabatnya mengenai ilmu-ilmu keIslaman. Dua orang anak beliau yang berilmu pengetahuan, Raja Haji Muhammad Sa'id dan Tengku Badariyah. Beliau jugalah sebagai pendidik anak saudaranya iaitu Raja Ali/Tengku Selat bin Raja Haji Muhammad/Tengku Nong. Raja Ali/Tengku Selat digelar masyarakat dengan ``Bapak Gembala Perniagaan Melayu''. Raja Haji Muhammad Tahir juga dikenali sebagai tokoh ``murabbir ruh'' (pendidik kerohanian). Beliau adalah Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah seperti orang tuanya, Raja Haji Abdullah/Marhum Mursyid. Ramai kerabat Diraja Riau-Lingga ditawajuh atau dibaiah oleh beliau sendiri, di antaranya termasuk putera beliau, Raja Haji Muhammad Sa'id, anak saudara beliau, Raja Ali/Tengku Selat, dan ramai lagi. Perkara ini jelas dalam sepucuk surat wasiat Raja Haji Muhammad Tahir kepada Raja Ali/ Tengku Selat itu. Kata beliau, ``Sesungguhnya Raja Ali yang tersebut itu sebagai munassibku sebagaimana yang telah diijazahkan oleh saudaraku Raja Haji Muhammad yang tersebut itu atasku .'' PENULISAN DAN PEMIKIRAN Raja Haji Muhammad Tahir tidak menghasilkan karangan, jika dibandingkan penulisan Raja Haji Muhammad Sa'id, putera beliau, ternyata puteranya itu lebih produktif. Yang dapat dikesan setakat ini ialah: 1. Naskhah Hisab. 2. Syair Pintu Hantu. Pada Naskhah Hisab beliau menggunakan nama lengkap Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid al-Khalidi. Pada penulis ada sebuah manuskrip yang merupakan salinan puteranya Raja Haji Muhammad Sa'id, tarikh 1 September 1910 M. Naskhah Hisab juga pernah dimuat dalam Natijah Al-Usrah, terbitan Mathba'ah Al-Usrah, 5-2 Palembang Road, Singapura, tahun 1336H/ 1917 M-1918 M. Dimuat lagi salinan Raja Haji Muhammad Sa'id yang tersebut. Menyalin Untuk menyemak pemikiran dan gaya bahasa Raja Haji Muhammad Tahir itu, dirasakan perlu menyalin mukadimah Naskhah Hisab itu, ialah, katanya, ``Kemudian daripada itu maka inilah natijah bagi tahun hijrah nabawiyah 1336 yang masuk ke dalamnya tahun milad 1917 dan 1918 melengkapi akan segala waktu sembahyang, dan menyatakan segala musim-musim, dan hari-hari besar dan lainnya sebagaimana yang dilihat di dalamnya. Ada pun takwim sehari bulan yang di dalam natijah ini ialah atas hisab qamari yang hakiki, iaitu dihubungkan sehari bulannya apabila pada ketika masuk matahari maka bulan masih tertinggal di atas ufuk, padahal telah berhimpun bulan itu dengan matahari pada ketika siangnya. Syahdan segala auqat (waktu-waktu, pen:) ini atas hisab zaman wusta urufi, iaitu jam yang dipakai oleh orang putih. Permulaannya dari pukul 12 tengah malam. Adalah segala auqat ini bagi negeri-negeri yang hampir khatulistiwa dan bagi negeri-negeri yang aradnya 1 dan 2 darjat ke Utara, iaitu seperti: Riau, Singapura, Johor, Batu Pahat, Muar, Melaka, Kampar, Siak, Pontianak, Sambas, Mempawah, Sarawak, Siugu, Padang Sidempuan, Rawa, Ternate, Sintang, dan negeri-negeri yang bersamaan dan berhampiran aradnya dengan dia. Maka bolehlah beramal dengan dia pada negeri-negeri arad satu darjat dan dua darjat ke Selatan. Dan negeri-negeri yang aradnya tiga, empat dan lima darjat ke Utara dan ke Selatan dengan syarat berihtiyathlah masing-masing ahli negeri itu sekadar lima minit hingga lapan minit. Ada pun negeri-negeri yang memakai jam negeri asing itu, maka sayugianya memakai tafawut di antara dua taul. Pada tiap-tiap satu darjat tafawutnya empat minit. Jika negeri yang diikut jamnya itu sebelah Barat, yang negerinya sebelah Timur, maka ditambah. Dan jika negeri yang diikut jamnya itu di sebelah Timur dan negerinya di sebelah Barat maka dikurangkan. Seperti: Melaka mengikut jam Singapura (sebelah Timur Melaka). Singapura taulnya 108.51 darjat, Melaka taulnya 102.15 darjat tafawut taulnya 1.36. 1.36 darjat kali empat minit sama dengan 6.24 minit (iaitu pukul 12 Singapura sama dengan 12.06 Melaka). Tersalin daripada: Naskhah Hisab Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid. Oleh Muhammad Sa'id bin Muhammad Tahir Riau Singapura, 14 Mei 1917 M.'' Demikianlah transliterasi mukadimah Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir pada Natijah Mathba'ah Al-Usrah, 1336 H/1917-1918 M. Kandungannya pula banyak perkara-perkara yang menarik sebagai contoh pada halaman 32 pengarangnya mencatatkan bahawa sampai Muharam 1336 H bersamaan Oktober 1917 M, ``... telah lalu dari masa turun Nabi adam a.s. daripadanya syurga 8195 tahun.'' Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir yang disalin oleh Mudir Mathba'ah Ahmadi, 50 Minto Road, Singapura, 15 Ogos 1920, lain pula kandungannya dengan salinan di atas sesudah mukadimah lalu membicarakan judul Gerhana Bulan Gelap selanjutnya tertulis, ``Berlaku hikmah al-Ilahiyah, dan harakat falakiyah, dan qawaid hisabiyah dengan bahawasanya menengahi bumi antara jirim bulan dan matahari pada 15 Safar, malam Khamis, sanah 1338 berbetulan 27 Oktober tahun 1920, gerhana bulan gelap. Permulaan gerhana pukul 7.46. Permulaan gelap pukul 9.02. Pertengahan gelap pukul 9.37. Permulaan terang pukul 10.12. Kesudahan gerhana pukul 11.27.'' Memperkenalkan Transliterasi yang bersumber daripada kedua-dua salinan karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau di atas adalah bertujuan memperkenalkan jalan ilmiah dan gaya bahasa ulama silam kita mengenai ilmu yang kurang diminati orang. Jika membicarakan kandungan kedua-dua sumber tersebut, maka ruangan yang diperuntukkan tidak cukup memadai. Oleh itu memperkenalkan ini lebih lengkap perlu difikirkan. Selain karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau yang disebutkan di atas barangkali masih ada karya beliau belum diketahui. Saya mempunyai sebuah surat wasiat beliau kepada saudaranya Raja Ali/Tengku Selat juga boleh dianggap sebagai satu karya tulisannya. KETURUNAN Putera Raja Haji Muhammad Tahir yang menjadi ulama besar ialah Raja Haji Muhammad Sa'id (wafat di Singapura, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M) dan Tengku Badariyah (wafat di Singapura, 10 Rabiulawal 1347 H/26 Ogos 1928 M). Raja Haji Muhammad Sa'id adalah seorang ulama besar Riau-Lingga mendapat pendidikan di Mekah dan Tengku Badariyah adalah seorang tokoh perempuan Riau-Lingga yang mahir berbahasa Arab, baik percakapan mahupun penterjemahan. Kedua-dua mereka akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri. Ditulis oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah - Di Artikle Ulama Nusantara

Saturday, December 5, 2020

Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) Ibni Almarhum Raja Abdullah, Yang DiPertuan Muda Riau Ke-9

Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) merupakan putera sulong Raja Abdullah, Yang DiPertuan Muda Riau Ke-9. Ibunya ialah Tengku Aisyah (Tengku Tengah) puteri Sultan Abdul Rahman Syah, Yang DiPertuan Muda Besar Riau/Lingg Ke-6.

Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) telah mendapat pendidikan daripada ayahnya dan juga diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) juga telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya. Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat pada 26hb Zulhijjah 1276 Hijrah (16hb Julai 1860), Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) sedang belajar di Mekah dan tidak sempat bertemu dengan ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau ke-9 yang mangkat tidak berepa lama kemudian setelah membuat surat wasiat tersebut. Sekembalinya dari Mekah, ayah saudaranya Raja Ali Haji menyerahkan wasiat ayahnya Almarhun Raja Haji Abdullah dan harta yang difaraidkan kepadanya seperti perahu perahu, dan lain lainnya.

Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) berkhidmat sebagai Penasihat dan Ahli Musyawarah didalam Kerajaan Riau Lingga. Pada awal tahun 1868 Temenggung Abu Bakar Johor telah menghantar utusan ke Riau untuk mendapatkan nasihat mengenai selok belok salasilah dan juga hal ehwal pemerintahan negeri. Pemimpin pemimpin rombongan Johor tersebut telah bertemu dengan Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) dan juga ayah saudaranya Raja Ali Haji diRiau. Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) telah memimjamkan beberapa kitab dan dokumen sejarah dan undang undang yang diwarisi daripada almarhum ayahnya, Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau ke-9, kepada pemimpin pemimpin rombongan Johor tersebut untuk dipimjamkan dan dibaca oleh Temenggung Abu Bakar Johor.

Raja Haji Muhammad (Tengku Nong) telah membuat surat wasiat untuk anak anaknya dengan tulisan tangan huruf Melayu/Jawi sebagai yang berikut:-

“Bismillah HirRahman NirRahim, Alhamdulillah Hirabbil Alamin, Wassalamu Ala Sayyidina Muhammadin Waala Alihi Wasahbihi Ajmain. Pada Hijrah 1299 pada 14 haribulan Muharam malam Isnin, diwasa itulah fakir alhaqir bilzanbi waltaqsiral Raja Haji Muhammad Ibni Almarhum Raja Abdullah Al Khalidi, telah membuat surat ini dihadapan Abdullah dan Abdul Rahman, yaitu wasiat sepeninggalan mati aku atau pergi pergian. Maka hendaklah engkau ikut usi nafsi bitakwallah. Maka inilah aku suratkan iktisab supaya jangan jadi pergaduhan dibelakang hari dengan sebab dunia yang tiada ampunyai kadar yang sedikit. Maka masa hidup aku ini aku tentu akan dia tersebut dibawah.

Fasal Pertama: Adalah Sungai Gaung yang telah aku hidupkan akan dia dengan diri aku sendiri serta dengan belanja aku dan pertolongan Duli Baginda Yang Maha Mulia dan Yang Dipertuan Riau. Maka sekarang sungai itu telah aku jadikan wakaf serta sudah diperbuatkan satu surat peraturan dan tertibnya. Yaitu pada masa ini ada diRiau, maka jangan sesiapa mengubah sebagaimana yang berbunyi didalam surat itu, yaitu daripada anak cucu Marhum Murshid. Maka barang siapa yang mengubah akan dia dikutuki Allah dan Rasulnya dan kutuki Malaikat.

Fasal Kedua: Dari pada rumah tangga yang didalam Lingga serta sampah sarap serba sedikit ini aku berikan kepada Mansur dan Si-Putik yaitu Hasmah dan ibunya.

Fasal Ketiga: Ada pun kebun gambir aku berikan kepada Abdullah Bin Raja Haji Muhammad.

Fasal Keempat: Ada pun kebun sagu yang didalam Lingga ini serta kebun buah buahan yang sedikit aku berikan kepada Abdul Rahman Bin Raja Mansur dan Ali dan Hasmah.

Fasal Kelima: Kebun yang diTanjung Rangkah dan yang dekat rumah itu aku berikan kepada Fatimah dan Khalid Bin Hassan.

Fasal Keenam: Ada pun kebun yang diRiau serta rumah tangga itu aku pulangkan kepada ahli aku dan saudara ku iaitu Raja Zubaidah Binti Almahrum Raja Ali.

Sahdan yang engkau semua jangan sekali memperbuat gaduh di belakangnya dengan sebab dunia yang sedikit atau barang sebagainya. Hendaklah engkau bermufakat antara engkau adik beradik didahulukan siapa yang ganti aku. Maka hendaklah mengambil ikhtiar kepada munasab aku yaitu saudara aku Raja Muhammad Tahir. Dan lagi ada hutang hutang aku sedikit sedikit dalam Lingga ini atau dimana mana atau dimana tempat hendaklah engkau muafakat dengan saudara aku Raja Muhammad Tahir.

Dan lagi jikalau aku ada tersalah cakap dengan orang dalam pekerjaan mumlikah, engkau khabarkan dengan dia minta istihlal dengan dia. Dan lagi engkau jangan meninggalkan KeBawah Duli Yang Maha Mulia dan ayah aku Tengku Besar serta ibu ibu aku selagi ada hayat ia hendaklah engkau tunggu. Jikalau engkau hendak kesitu sini hendaklah mohon redha daripadanya. Jika tidak ada dengan redha ianya jangan engkau semua kerjakan. Dan surat pekerjaan wilayah, engkau kumpulkan dan engkau maklumkan kepada Tengku Besar dan Duli Baginda Yang Maha Mulia atau orang orang yang menggantikan pekerjaannya. Dan lagi engkau jangan berhenti daripada menuntut ilmu yang membawa kepada akhirat dan jangan engkau gila dengan permainan, dan lagi tutur kata dengan orang tua tua hendaklah dengan manis yang membawa dengan redha hatinya. Dan Abdullah Bin Hassan engkau jadikan dengan saudara engkau yaitu Antiah Binti Almarhum Raja Mansur yaitu sebagaimana wasiat saudara aku itu.

Dan lagi jikalau ada sakit pening saudara saudara engkau dan ibu tiri engkau, hendaklah engkau lihat akan dia sebagaimana penglihatan aku. Hendaklah carikan ianya obat. Sahdan jikalau aku mati dimana mana, engkau bacakan aku Tilawatil Quran, engkau doakan akan daku. Dan jikalau aku mati disini, tiap Jumaat engkau ziarah kuburku, engkau doakan mintakan ampun pada Allah subahanahu Wataala.

Adapun surat ini aku perbuatkan empat, satu aku berikan kepada saudaraku Raja Muhammad Tahir dan satu pada Mahmud dan satu Abdullah Bin Raja Haji Muhammad dan satu kepada Abdul Rahman Bin Raja Mansur. Daripada sah dengan nyatanya, maka adalah tanda tangan aku serta mohor aku dibawah satar ini adanya, antahiya.

AlFakir AlHaqir Ilallahu Taala Al Haj Muhammad Ibni Almarhum Abdullah AlKhalidi.

Friday, December 4, 2020

Surat Wasiat Raja Haji Abdullah - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-9

Surat Wasiat Raja Haji Abdullah - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-9 Bagi Sekelian Anak Anaknya......

(Surat wasiat ini ditulis tangan dengan huruf Melayu/ Jawi atas kertas lebar dengan khat indah sebagai yang berikut):-

Tarikh as-Sanah 1276 dan kepada 26 hari bulan Zulhijjah, hari Sabtu, bahawasanya kita Raja Haji Abdullah Yang Di Pertuan Muda membuat suatu surat wasiat ini bagi anak-anaknya. Dan pada ketika tarikh ini juga yang aku telah memberikan kepada anakku Maimunah, dan Puteri, dan Muhammad bin Abdullah dan Muhammad Thahir, daripada segala harta bendaku, yang tiada ia mempunyai sesuatu jua, tetapi selagi aku hidup ini seperti hukum orang meminjam jua kepada anakku yang empat orang itu. Dan tiadalah boleh seorang saudaranya mendakwa akan dia adanya. Fasal Yang Pertama: Adapun rumah dengan sampah sarapnya hak bagi Maimunah dengan si Puteri. Adapun segala senjata besar-kecil hak bagi Muhammad Tahir. Syahdan daripada kebun-kebun seperti Pulau Basing dan Pulau Soreh hak kepada Muhammad bin Abdullah. Adapun kantor dengan segala barang yang ada didalamnya hak Muhammad bin Abdullah. Dan perahu, sampan, jongkong mana-mana yang ada itu pulang kepada Muhammad bin Abdullah juga. Sebermula jika aku pulang ke rahmatullah Ta'ala, Muhammad bin Abdullah itulah jadi kuasa, dan memerintah, dan memeliharakan segala saudaranya tiada boleh anak-anakku yang lainnya, melainkan dia yang terlebih kuasa daripadanya. Fasal Yang Kedua: Apabila sudah sampai ajalku, segala hutang aku Muhammad bin Abdullah membayarnya serta mufakat ia dengan ibunya Raja Hawi. Maka jika sudah sampai akil baligh Muhammad Thahir, jika tiada ibunya hendaklah ia mufakat dengan dia pada menyelesaikan hutang-hutang aku itu. Jikalau tiada terikhtiarkan yang demikian itu pada engkau kepada siapa yang menggantikan aku adanya. Fasal Yang Ketiga: Mana hutangku yang terkena pada jalan pekerjaan kerajaan, maka iaitu Raja Mudalah yang membayarnya, seperti hutang kerana perang atau kerana sesuatu yang lain yang hendak membaiki negeri dan belanja, mashalihul muslimin. Jika dengan sebab itu lazimlah Raja Muda itu membayarnya. Demikianlah adat selama-lamanya pusaka kita Upu Bugis. Fasal Yang Keempat: Jangan aku ditanam seperti adat raja-raja, tanamlah aku seperti menanam seorang fakir. Dan jangan aku dimandikan ramai-ramai. Taruh aku di dalam satu sathar dengan dua tiga orang yang saleh. Hawilah memandikan aku, dan janganlah aku diriba. Letakkan sahaja aku di atas suatu tempat yang suci atau di atas sarir yang terus airnya. Mandikanlah aku seperti barang yang telah disebutkan kaifiatnya di dalam kitab fikah. Dan lagi jangan engkau semua yang hidup sepeninggalan aku bersusah-susah belanja tajhiz aku. Jikalau hendak juga engkau semua mentahlilkan aku suruhlah tahlilkan dengan segala khalifah syeikh kita. Dan boleh engkau beri sedekah ala kadar kifayahnya. Dan jangan sekali-kali menyakit diri yang di luar syariat Rasulullah s.a.w. Hendak engkau semua turut akan jalan yang sebenarnya. Dan haji dan umrah ku sudah selesai tiada lagi menyusahkan adanya. Fasal Yang Kelima: Barang siapa yang menggantikan aku hendaklah engkau semua turut perintahnya. Dan jangan engkau dengki hasad kepadanya, tiada selamat. Dan engkau semua kerjakanlah dia dengan cuci putih hati kepadanya, inilah jalan orang yang baik-baik. Apa yang ada sampah sarap yang aku tinggalkan kepada kamu, jikalau Raja Muda itu berkehendak jangan sekali-kali ditahan. Fasal Yang Keenam: Engkau semua adik beradik jangan sekali menaruh hasad dan dengki sesama sendiri. Dan jangan bercerai engkau semua dari jalan mufakat dengan saudara-saudaramu yang lain iaitu anak Marhum Abdur Rahman, dan anak marhum Raja Ali kerana adalah Marhum kedua itu saudara syaqiqah, yakni saudaraku seibu sebapa. Fasal Yang Ketujuh: Jangan engkau semua tiada mendengar nasihat ajaran ulama dan shulaha' jika engkau tiada kuasa menuntut kepadanya. Maka jika engkau kuasa menuntut, maka inilah yang sangat gemar dan tuntutanku. Kerana tersebut di dalam hadis Nabi s.a.w. Ertinya: ``Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap Islam laki-laki dan Islam perempuan''. Tiada aku panjangkan pada fadilat menuntut ilmu itu melainkan jikalau Allah bukakan hatimu pada menuntut ilmu ini ialah yang sebaik-baik jalan dan nikmat yang tiada dapat dibagaikan fid dun-ya wal akhirah. Fasal Yang Kelapan: Sekalian engkau merendahkan diri kepada pangkat saudara tua atau pangkat bapa kepadamu. Dan jika engkau berkata-kata dengan pangkat bapa jikalau serupa kera sekalipun umpamanya. Hendaklah engkau berbaik baik padanya. Engkau dengar juga akan nasihatnya ajarannya yang patut pada syarak dan adat. Fasal Yang Kesembilan: Pesanku kepada kamu sekalian, hendaklah kamu memuliakan anak cucu Nabi s.a.w. apa lagi yang sudah jadi kaum kerabat kita, jangan sekali-kali engkau menaruh hasad dengki akan dia, apalagi abang Embong dan abang Syeikh Engku hendaklah engkau jadikan dia seperti saudaramu yang betul adanya. Fasal yang kesepuluh: Jangan membangsat dan menyerah ripi pinta pinta kepada segala rakyat raja, inilah pesan datuk nenek moyangku, pantang yang tiada boleh dilalui. Maka jikalau juga tiadalah selamat fit dunia dan akhirat kerana banyak daripada beberapa kebinasaan mendatangkan murka Allah Taala Yang Maha Besar. Ini wasiat aku yang aku tahshishkan kepada Muhammad Abdullah al-Khalidi. Bermula hendaklah kiranya engkau ingatkan baik-baik akan pesan pesan ku yang telah tersebut daripada beberapa pasal. Kiranya jangan sekali dilalui mugah mudahan selamat engkau dunia akhirat.

Fasal yang pertama: Sepeninggalan aku mati hendaklah pelihara akan saudara saudara mu yang perempuan dan pelihara daripada sikap dan murah hati kepadanya. Tegur ajar sentiasa tiap tiap hari engkau bertemu dengan dia kerana menyukakan hatinya dan melapangkan dadanya.

Fasal yang kedua: Jangan sekali kali engkau derhaka akan ibumu Raja Hawa kerana sesungguh pun ia ibu tiri tetapi hukumnya ibu benar jua. Dan peliharakan dia carikan ubat jika ada ia sakit pening dan jangan disakati hatinya, diumpat kesana kemari kerana orang yang makan daging ibu bapanya itu ialah orang yang celaka kafir na'uzubillah minzalik Jikalau ada saudara saudara mu itu membuat perangai yang keji yang demikian jangan sekali engkau masiki. Fasal yang ketiga: Hendaklah engkau lazimkan akan tawakallah pada tiap tiap masa. Jangan lupa engkau akan Allah Ta'ala. Mintakan doa sekali ahli mu dan ibu bapamu. mana mana yang disuruh sheikh kita dengan bersungguh sungguh engkau kerjakan. Fasal yang keempat: Daripada hal kawan kawan jangan engkau zalimkan tiada beri makannya. Lepaskanlah ia pergi mencari barang kemananya seperti hamba hamba tua atau hamba hamba pusaka datuk nenek mu. Jika ada sesuatu hajatnya jangan dihampakan. Jangan dihinakan fakir miskin dan jangan bersifat dengan sifat yang kecelaan dan hendaklah lazimkan pada mutalaah atau mengaji kitab tasauf, ilmu memberi menafaat supaya dapat engkau membezakan antara baik dan jahat dan benar dan salah dan antara sah dan batil. Sebab inilah maka dengan bersungguh sungguh aku menyuruh engkau semuanya pada menuntut ilmu supaya engkau ketahui akan kadar ilmu yang mulia adanya. Pasal yang kelima: Jangan engkau membuang buangkan harta dengan tiada berfaedah. Jangan dijual harta dengan jalan yang tiada patut. Dan jangan memakai akan pakaian berlebih lebihan dan membanyakkan gundik. Dan berlazat lazat yang amat sangat. Jadi semuanya itu membuang akan harta. Barang suatu yang hendak dibuat hendaklah dengan lemah lembut. Kira kira akan belanja yang patut, jangan jadi membazir kerana firman Allah Ta'ala, (maksudnya: sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan). Ingat ingat Muhammad Yusuf Ibni Almarhum Raja Ali. Hai ingatlah jangan engkau terpedaya oleh hawa nafsu dan syaitan kerana itulah merosakkan manusia dan seteru anak adam adanya.