Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Friday, December 4, 2020

Surat Wasiat Raja Haji Abdullah - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-9

Surat Wasiat Raja Haji Abdullah - Yang Dipertuan Muda Riau Ke-9 Bagi Sekelian Anak Anaknya......

(Surat wasiat ini ditulis tangan dengan huruf Melayu/ Jawi atas kertas lebar dengan khat indah sebagai yang berikut):-

Tarikh as-Sanah 1276 dan kepada 26 hari bulan Zulhijjah, hari Sabtu, bahawasanya kita Raja Haji Abdullah Yang Di Pertuan Muda membuat suatu surat wasiat ini bagi anak-anaknya. Dan pada ketika tarikh ini juga yang aku telah memberikan kepada anakku Maimunah, dan Puteri, dan Muhammad bin Abdullah dan Muhammad Thahir, daripada segala harta bendaku, yang tiada ia mempunyai sesuatu jua, tetapi selagi aku hidup ini seperti hukum orang meminjam jua kepada anakku yang empat orang itu. Dan tiadalah boleh seorang saudaranya mendakwa akan dia adanya. Fasal Yang Pertama: Adapun rumah dengan sampah sarapnya hak bagi Maimunah dengan si Puteri. Adapun segala senjata besar-kecil hak bagi Muhammad Tahir. Syahdan daripada kebun-kebun seperti Pulau Basing dan Pulau Soreh hak kepada Muhammad bin Abdullah. Adapun kantor dengan segala barang yang ada didalamnya hak Muhammad bin Abdullah. Dan perahu, sampan, jongkong mana-mana yang ada itu pulang kepada Muhammad bin Abdullah juga. Sebermula jika aku pulang ke rahmatullah Ta'ala, Muhammad bin Abdullah itulah jadi kuasa, dan memerintah, dan memeliharakan segala saudaranya tiada boleh anak-anakku yang lainnya, melainkan dia yang terlebih kuasa daripadanya. Fasal Yang Kedua: Apabila sudah sampai ajalku, segala hutang aku Muhammad bin Abdullah membayarnya serta mufakat ia dengan ibunya Raja Hawi. Maka jika sudah sampai akil baligh Muhammad Thahir, jika tiada ibunya hendaklah ia mufakat dengan dia pada menyelesaikan hutang-hutang aku itu. Jikalau tiada terikhtiarkan yang demikian itu pada engkau kepada siapa yang menggantikan aku adanya. Fasal Yang Ketiga: Mana hutangku yang terkena pada jalan pekerjaan kerajaan, maka iaitu Raja Mudalah yang membayarnya, seperti hutang kerana perang atau kerana sesuatu yang lain yang hendak membaiki negeri dan belanja, mashalihul muslimin. Jika dengan sebab itu lazimlah Raja Muda itu membayarnya. Demikianlah adat selama-lamanya pusaka kita Upu Bugis. Fasal Yang Keempat: Jangan aku ditanam seperti adat raja-raja, tanamlah aku seperti menanam seorang fakir. Dan jangan aku dimandikan ramai-ramai. Taruh aku di dalam satu sathar dengan dua tiga orang yang saleh. Hawilah memandikan aku, dan janganlah aku diriba. Letakkan sahaja aku di atas suatu tempat yang suci atau di atas sarir yang terus airnya. Mandikanlah aku seperti barang yang telah disebutkan kaifiatnya di dalam kitab fikah. Dan lagi jangan engkau semua yang hidup sepeninggalan aku bersusah-susah belanja tajhiz aku. Jikalau hendak juga engkau semua mentahlilkan aku suruhlah tahlilkan dengan segala khalifah syeikh kita. Dan boleh engkau beri sedekah ala kadar kifayahnya. Dan jangan sekali-kali menyakit diri yang di luar syariat Rasulullah s.a.w. Hendak engkau semua turut akan jalan yang sebenarnya. Dan haji dan umrah ku sudah selesai tiada lagi menyusahkan adanya. Fasal Yang Kelima: Barang siapa yang menggantikan aku hendaklah engkau semua turut perintahnya. Dan jangan engkau dengki hasad kepadanya, tiada selamat. Dan engkau semua kerjakanlah dia dengan cuci putih hati kepadanya, inilah jalan orang yang baik-baik. Apa yang ada sampah sarap yang aku tinggalkan kepada kamu, jikalau Raja Muda itu berkehendak jangan sekali-kali ditahan. Fasal Yang Keenam: Engkau semua adik beradik jangan sekali menaruh hasad dan dengki sesama sendiri. Dan jangan bercerai engkau semua dari jalan mufakat dengan saudara-saudaramu yang lain iaitu anak Marhum Abdur Rahman, dan anak marhum Raja Ali kerana adalah Marhum kedua itu saudara syaqiqah, yakni saudaraku seibu sebapa. Fasal Yang Ketujuh: Jangan engkau semua tiada mendengar nasihat ajaran ulama dan shulaha' jika engkau tiada kuasa menuntut kepadanya. Maka jika engkau kuasa menuntut, maka inilah yang sangat gemar dan tuntutanku. Kerana tersebut di dalam hadis Nabi s.a.w. Ertinya: ``Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap Islam laki-laki dan Islam perempuan''. Tiada aku panjangkan pada fadilat menuntut ilmu itu melainkan jikalau Allah bukakan hatimu pada menuntut ilmu ini ialah yang sebaik-baik jalan dan nikmat yang tiada dapat dibagaikan fid dun-ya wal akhirah. Fasal Yang Kelapan: Sekalian engkau merendahkan diri kepada pangkat saudara tua atau pangkat bapa kepadamu. Dan jika engkau berkata-kata dengan pangkat bapa jikalau serupa kera sekalipun umpamanya. Hendaklah engkau berbaik baik padanya. Engkau dengar juga akan nasihatnya ajarannya yang patut pada syarak dan adat. Fasal Yang Kesembilan: Pesanku kepada kamu sekalian, hendaklah kamu memuliakan anak cucu Nabi s.a.w. apa lagi yang sudah jadi kaum kerabat kita, jangan sekali-kali engkau menaruh hasad dengki akan dia, apalagi abang Embong dan abang Syeikh Engku hendaklah engkau jadikan dia seperti saudaramu yang betul adanya. Fasal yang kesepuluh: Jangan membangsat dan menyerah ripi pinta pinta kepada segala rakyat raja, inilah pesan datuk nenek moyangku, pantang yang tiada boleh dilalui. Maka jikalau juga tiadalah selamat fit dunia dan akhirat kerana banyak daripada beberapa kebinasaan mendatangkan murka Allah Taala Yang Maha Besar. Ini wasiat aku yang aku tahshishkan kepada Muhammad Abdullah al-Khalidi. Bermula hendaklah kiranya engkau ingatkan baik-baik akan pesan pesan ku yang telah tersebut daripada beberapa pasal. Kiranya jangan sekali dilalui mugah mudahan selamat engkau dunia akhirat.

Fasal yang pertama: Sepeninggalan aku mati hendaklah pelihara akan saudara saudara mu yang perempuan dan pelihara daripada sikap dan murah hati kepadanya. Tegur ajar sentiasa tiap tiap hari engkau bertemu dengan dia kerana menyukakan hatinya dan melapangkan dadanya.

Fasal yang kedua: Jangan sekali kali engkau derhaka akan ibumu Raja Hawa kerana sesungguh pun ia ibu tiri tetapi hukumnya ibu benar jua. Dan peliharakan dia carikan ubat jika ada ia sakit pening dan jangan disakati hatinya, diumpat kesana kemari kerana orang yang makan daging ibu bapanya itu ialah orang yang celaka kafir na'uzubillah minzalik Jikalau ada saudara saudara mu itu membuat perangai yang keji yang demikian jangan sekali engkau masiki. Fasal yang ketiga: Hendaklah engkau lazimkan akan tawakallah pada tiap tiap masa. Jangan lupa engkau akan Allah Ta'ala. Mintakan doa sekali ahli mu dan ibu bapamu. mana mana yang disuruh sheikh kita dengan bersungguh sungguh engkau kerjakan. Fasal yang keempat: Daripada hal kawan kawan jangan engkau zalimkan tiada beri makannya. Lepaskanlah ia pergi mencari barang kemananya seperti hamba hamba tua atau hamba hamba pusaka datuk nenek mu. Jika ada sesuatu hajatnya jangan dihampakan. Jangan dihinakan fakir miskin dan jangan bersifat dengan sifat yang kecelaan dan hendaklah lazimkan pada mutalaah atau mengaji kitab tasauf, ilmu memberi menafaat supaya dapat engkau membezakan antara baik dan jahat dan benar dan salah dan antara sah dan batil. Sebab inilah maka dengan bersungguh sungguh aku menyuruh engkau semuanya pada menuntut ilmu supaya engkau ketahui akan kadar ilmu yang mulia adanya. Pasal yang kelima: Jangan engkau membuang buangkan harta dengan tiada berfaedah. Jangan dijual harta dengan jalan yang tiada patut. Dan jangan memakai akan pakaian berlebih lebihan dan membanyakkan gundik. Dan berlazat lazat yang amat sangat. Jadi semuanya itu membuang akan harta. Barang suatu yang hendak dibuat hendaklah dengan lemah lembut. Kira kira akan belanja yang patut, jangan jadi membazir kerana firman Allah Ta'ala, (maksudnya: sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan). Ingat ingat Muhammad Yusuf Ibni Almarhum Raja Ali. Hai ingatlah jangan engkau terpedaya oleh hawa nafsu dan syaitan kerana itulah merosakkan manusia dan seteru anak adam adanya.

Saturday, October 17, 2020

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 6)

UNDANG UNDANG LIMA PASAL RIAU... Sambungan dari Bahagian 5....


Mohor Yang DiPertuan Muda Riau


Pasal lima.

Pada menyatakan bahasa wakil mutlak lagi mufawati.

Bermula adalah bahasa ini meneguhkan yang serahnya seorang pada seorang pada seorang. Ada pun pada antara Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda atau Bendahara maka adalah keluar bahasa ini bukannya keluar daripada bahasa ini bukannya keluar daripada bahasa kanun ada yang dahulu dahulu tetapi adalah keluarnya bahasa ini pada tarikh seribu dua ratus empat puloh enam tahun 1246 dan jika kepada tarikh tahun Masehi yaitu kepada seribu delapan ratus dua puloh empat tahun 1824.

Adalah sebabnya maka keluar bahasa ini tatkala Gubermen Holanda hendak membuat perjanjian dengan Sultan Abdul Rahman itu di Lingga tetapi adalah kuasanya itu pada Marhum Jaafar. Maka maksud Marhum Jaafar itu bersama sama berbuat konterak ini maka dia tiada berangkat maka diwakilkannya kepada puteranya Tengku Besar dan kepada ayahandanya Mahrum Jaafar yakni menggantikan ia yang bersama sama reda atas perbuatan itu perbuatlah konterak itu bersama sama ia reda apa apa yang dibuat oleh Raja yang dua itu. Menjadi wakil itu kerana sebab membuat konterak bukannya wakil itu mewakilkan negeri Riau dengan segala daerah takluknya apa pula yang diwakilkan lagi kerana sebelumnya berbuat konterak antara Gubermen Holanda dengan Sultan Abdul Rahman maka Yang DiPertuan Muda Riau sudah memang ia menduduki pesakanya yaitu menjadi Yang DiPertuan Muda Riau. Sebab itulah tiada tersebut wakil kepada capnya. Adalah tersebut didalam capnya demikian bunyinya Al Wathik Birabbil ‘Arsy Yang DiPertuan Muda anu atau Raja anu.

Demikianlah tiap tiap cap Yang DiPertuan Muda itu tiada menyebutkan wakil didalamnya di mana mana juga sangka seorang yang dongok dan bodoh itu mengatakan mewakilkan perkara Kerajaan Riau dengan segala daerah takluknya seperti diumpamakan satu saudagar mewakilkan satu kapal kepada nakhodanya manakala ketika tiada ia suka dibatalkannya wakil itu diambilnya kapal diberikannya niscaya orang itulah tiada mengerti segala adat istiadat Melayu dan aturan Melayu jika terdengar kepada orang baik baik dan orang mulia mulia dan orang yang pandai yang bijaksana apalagi dibawa ke tengah kepada orang yang memegang Kerajaan niscaya tertawalah ia serta hairan akan kebodohannya itu. Inilah halnya antara Yang DiPertuan Muda Riau dengan Yang DiPertuan Besar Lingga. Adapun hal Bendahara dengan Yang DiPertuan Lingga yaitu aturan kuasanya tiada juga boleh Yang DiPertuan Besar campuri.

Adapun capnya diperbuat oleh Sultan Mahmud yang tua menyebutkan wakil didalamnya. Adalah bunyinya Al Wakil Al Sultan Mahmud Syah Datuk Bendahara Siwa Raja Ibni Bendahara Paduka Raja. Adalah tarikh berbuat ini tahun 1221 hingga sampailah ia menjadi Raja Bendahara di Pahang sampai waktu ini maka boleh ia tinggalkan daripadanya kuasanya atau tidak maka yaitu sekali kali tiada boleh kerana Bendahara itu atas negerinya seperti kuasa Yang DiPertuan Muda juga maka palhasil maka tiap tiap berangsiapa hendak mengubahkan adat istiadat zaman berzaman maka orang itu tanda tiada sekali mengetahui akan asal usulnya serta pula tiada ia besar didalam pengajian daripada perkara adat istiadat undang undang Raja Melayu adanya.

Intiha wa billahi al taufiq.

Tamat al kalam.

Amin.

Sunday, October 4, 2020

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 5)

UNDANG-UNDANG LIMA PASAL RIAU..... Sambungan dari Bahagian 4....


Pasal empat. 
   
Pada menyatakan bahasa tatkala berkata kata yang dibahasakan dan menyatakan segala nobat yang patut dipernobatkan kerana nobat itu satu perkara kebesaran Raja dibawah angin ini dan menyatakan jawatan.

Bermula maka adapun bahasa yang diperbahasakan kepada Yang DiPertuan Besar itu maka bahasa itu juga diperbahasakan kepada Yang DiPertuan Muda yaitu seperti perkataan Titah dan Tuanku yakni berTuanku kepadanya dan kepada Bendahara dan Temenggung dikatakan Sabda.

Adapun bahasa yang diperbahasakan antara Yang DiPertuan Besar dengan Yang DiPertuan Muda itu maka adalah seperti perbahasaan antara tua dengan muda seperti Ayahanda dan Anakanda dan Kekanda dan Adinda. Maka Temenggung dan Bendahara dia membahasakan dirinya sendiri tatkala ia menghormatkan Raja maka dikatakannya Patik Hamba Sedia. Ada pun Yang DiPertuan Muda ia membahasakan dirinya sendiri Patik Hamba Setia. Maka bahasa inilah jikalau orang bodoh menerimanya dipikirkannya lah Raja yang bertiga itu seperti hamba betul kepada Yang DiPertuan Besar maka disangkakannyalah oleh si bodoh itu Yang DiPertuan Besar boleh membuat apa suka atas Raja yang bertiga itu yang menyalahi adat istiadat maka yaitu pekerjaan batal sekali adanya.

Bermula maka adalah asalnya nobat itu keluar daripada Raja Melaka dan Raja Minangkabau yang bernama Pagar Ruyung dan Raja di Goa yaitu Raja Bugis yang asal sekali maka kemudian Raja Melaka itu memberi kuasa kepada Raja di Perak dan Raja di Kedah dan Raja di Inderagiri tetapi nobat yang di Inderagiri itu tiada bernafiri adanya, kemudian tatkala masa sudah bersetia dengan Raja Muda Yang DiPertuan Riau maka jadi dualah nobat dalam Riau kepada ketika itu yaitu kepada Yang DiPertuan Besar nobat Melayu dan kepada Yang DiPertuan Muda nobat cara Bugis.

Bermula maka jawatan semberap sama juga Yang DiPertuan Muda dengan Yang DiPertuan Besar melainkan payong dan bedil dan kain dukung iaitu bersalahan kerana Yang DiPertuan Besar itu bedil dan kain dukungnya serba enam belas tetapi Yang DiPertuan Muda bedilnya sebelas dan kain dukungnya delapan. Adapun Bendahara bedilnya Sembilan dan Temenggung tujuh yang di adatkan dan jika dimufakatkan serta dikurniakan terkadang lebih jua adanya.
  

Saturday, October 3, 2020

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 4)


Meriam lama di Pulau Penyengat
UNDANG-UNDANG LIMA PASAL RIAU..... Sambungan dari Bahagian 3....

Pasal tiga.
Pada menyatakan tokong pulau dan teluk rantau di dalam jajahan Riau dan Lingga dan asalnya siapa yang memiliki dan siapa yang punya.

Bermula adalah Johor dan Pahang Riau dan Lingga adalah masa dahulunya tiada seorang Raja dan tiada seorang Menteri yang memiliki tetapi adalah orang yang diam pada pihak Riau dan Bintan dan Lingga adalah segala jajahannya masing masing ada dengan kepalanya. Adalah isinya daripada pihak rakyat rakyat. Dan daripada pihak sebelah daratan seperti Pahang dan Melaka dan segala isinya orang hutan bangsanya Pangan. Dan adalah Bintan pada masa itu kepalanya seorang perempuan namanya Tun Seri Binai maka ialah yang mengambil Raja yang datang dari Bukit Siguntang nama nya Seri Teri Buana, maka ialah yang menjadi Raja di Bintan maka turun temurun dari Seri Teri Buana inilah asal Raja Melayu melarat sampai ke Singapura dan sampai ke Melaka, maka anak cucu dialah yang dialahkan oleh Aceh dan Jawa sampai ikan todak pun melanggar juga pada ceritanya. Demikianlah kisahnya hingga sampai pada zaman Sultan Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang dialahkan oleh Raja Kecik yang tersebut pada pasal yang pertama. Pada masa inilah dialahkan oleh Raja Bugis pula lalu menjadi Raja Muda didalam Riau seperti yang tersebut pada pasal yang pertama dahulu itu. Maka jikalau hendak tahu perjalanan Raja Melayu dengan Raja Bugis hendaklah engkau lihat pada Tawarikh Al Kubra dan Tawarikh Al Wusta akan tetapi adalah kami hendak menyatakan barang yang mustahik bagi tanah tanah bagi siapa yang mustahik ini maka tiadalah kami panjangkan maka tiliklah pada kitab yang dua itu.

Syahdan maka Raja yang ketiga itu lain daripada Yang DiPertuan Besar maka masing masing dengan kuasanya serta pemerintahannya. Dan adalah Raja yang ketiga itu barang di mana mana ia duduk pada tempat itulah yang punya kuasa sendirinya dan punya perintah serta dengan takluk daerahnya tiadalah boleh Yang DiPertuan Besar ambil kuasanya itu diganti dengan orang lain adalah muhhal al syahidnya seperti umpamanya Bendahara Pahang maka ialah yang mentadbirkan Pahang dan dialah sendiri berbuat nazam peraturan negerinya membuat segala pegawai dan orang besar besarnya. Dan demikianlah Temenggung dimana mana tempat yang dihidupkannya adalah kuasanya itu kepadanya mentadbirkan daripada perintah dan hasilnya.

Demikianlah Yang DiPertuan Muda Riau maka adalah ia kuasa memerintahkan daripada segala pekerjaan Yang DiPertuan Besar dengan segala daerah takluknya. Adalah tahta Kerajaan Negeri Riau dengan segala daerah takluknya adalah sebab demikian itu yaitu menduduki pesaka yang telah dahulu dahulu.
Maka adalah ia menerima pesaka itu beberapa kali. Sekali ia menerima daripada Marhum Sulaiman, kedua kalinya ia menerima daripada Marhum Sulaiman juga demikian juga yang ketiga kali nya pula ia menerima daripada Marhum Sulaiman jua, yaitu Marhum Kelana Jaya Putera dan Marhum Mangkat DiKota dan Marhum Janggut dan keempat kalinya ia menerima dengan kemufakatan isi negeri serta Bendahara Pahang yaitu Marhum Teluk Ketapang yang menerima dan kelima kalinya menerima pesaka daripada Marhum Mahmud yaitu Yang DiPertuan Muda Raja Ali yang dinamai Marhum Pulau Bayan dan keenam kalinya Yang DiPertuan Muda itu menerima pesakanya itu daripada Marhum Mahmud tatkala lepas daripada diserahkan Holanda dan Inggris akan Riau kepada Sultan Mahmud maka Sultan Mahmud pun menyuruh mengambil Yang DiPertuan Muda Raja Jaafar di Kelang serta sampai maka dipulangkanlah pesakanya dan ketujuh kalinya, menerima pesakanya daripada Sultan Muhammad yaitu lah Yang DiPertuan Muda Raja Abdul Rahman. Adalah ia menerima pesakanya dengan Sultan Muhammad itu dengan sumpah setianya seperti adat istiadat lama jua dan yang kedelapan kalinya Yang diPertuan Muda Riau menerima pesakanya itu daripada Sultan Mahmud serta Gubernur Jenderal Betawi serta dengan segala anak Raja Raja kaum kerabatnya menaruh tanda tangan sekaliannya yaitu Yang DiPertuan Muda Raja Ali adanya.
Inilah segala Raja Raja yang tersebut itu memiliki negeri maka hal keadaannya bersekutu dengan Raja Melayu pada nama Kerajaan.

Sebermula adapun akan teluk rantau tokong pulau itu maka yaitu kami mula ceritanya itu daripada sebelah Pulau Perca yaitu seperti Reteh dan Batin Enam Suku. Adalah asalnya yang punya tempat itu Raja Minangkabau yaitu Raja Hijau kemudian diambilnya dengan perang daripada Siantan Inderagiri. Adalah Raja Hijau itu empat Raja Raja sertanya, pertama Raja Hijau, kedua Raja Metiak, ketiga Raja Lais dan keempat Raja Bayang. Kemudian dipukul dan diperangi oleh Yang DiPertuan Muda Raja Haji dan dialahkannya sekali. Jadi dimilikinya lah hingga sampailah kepada anak cucunya sekarang ini. Adapun Dani ada seorang kepalanya yang menggelarkan dirinya Datuk Malaikat bangsa Minangkabau. Maka adalah takluknya daerahnya hingga sampai Karimun dan Buru dan Kundur dan Ungar. Maka dipukul juga oleh Raja Haji itu alah pula tempat itu jadi miliklah hingga sampai anak cucunya. Kemudian lagi daripada itu tatkala sudah Inggeris membataskan pulau pulau yang disebelah Johor dan disebelah Riau maka dipukul pulak oleh Yang DiPertuan Muda Raja Jaafar putera Marhum Raja Haji bersama sama Gubermen Holanda membantunya alah pulak Karimun itu maka setelah asal daripada alah itu maka diganti belanja pulak oleh Marhum Raja Jaafar dengan segala Menteri Menterinya maka adalah yang masuk daerahnya itu Karimun Ungaran dan Buru dan Pulau Terung hingga Taman. Inilah adanya.

Adapun tentang pulau pulau yang tujuh itu adalah asalnya yang punya itu Raja Jawa. Pada masa dahulu kalanya maka diberikan kepada Raja Melaka. Kemudian hingga turun temurunlah sampai kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah, maka dipukul pulak oleh Raja Alam anak Raja Kecik maka dapatlah ketangan nya, maka dipukul pula oleh Marhum Sultan Sulaiman tetapi tiada dapat dikalahkannya, maka baliklah ia ke Riau mintak dipukulkan sekali lagi kepada Yang DiPertuan Muda Marhum Janggut serta segala pertikaman yang diambil di Selangor orang baik baik banyaknya lima ratus orang lalulah alah maka dipesakailah kepada Yang Dipertuan Muda perintah itu hingga sampai sekarang ini.

(Bersambung ke Bahagian 5)...

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 3)

UNDANG-UNDANG LIMA PASAL RIAU..... Sambungan dari Bahagian 2....

Pasal dua.
Pada menyatakan adat istiadat Raja Raja Melayu yang menyalahi setengah daripada adat Raja Raja yang di atas angin.

Bermula adalah adat istiadat Raja di negeri Melayu yang menyalahi Raja Raja diatas angin itu yaitu pada empat tempat. Pertama tama pada sumpah setianya, kedua pada aturan Menteri nya, ketiga pada bahasa yang dibahasakan kepada Yang DiPertuan Besar, keempat pada menzahirkan gelarnya.

Bermula surah yang pertama yakni pada pekerjaan sumpah setianya. Maka yaitu adalah pada tiap tiap Raja Melayu itu memperbuat perjanjian sumpah setia atas Kerajaan atau Undang Undang yang diperpegang maka yaitu turun temurun hingga sampai kepada anak cucunya, barangsiapa yang mungkar anak cucu cicitnya tiadalah selamat duania akhirat, masing menaruh cap tanda tangan. Maka tatkala lagi mengantikan naik Kerajaan daripada anak cucunya maka diperbaharui lah sumpah setia itu. Demikianlah istilahnya adanya.
Bermula surah yang kedua yakni pada aturan Menteri nya, maka yaitu bersalahan dengan setengah daripada Raja Raja yang atas angin yaitu adalah ia tiap tiap menggantikan Menterinya tiada dengan naik derajat sedikit sedikit bertangga tangga seperti kebanyakan aturan Menteri Raja Raja yang diatas angin itu daripada pangkat di bawah naik bertangga tangga sedikit sedikit kemudian baharu jadi besar sekali. Maka adat Raja Melayu tidak begitu. Maka adalah aturan Raja Melayu: Temenggung dan Bendahara apalagi Raja Muda maka yaitu apabila ada asalnya maka dijadikanlah atas yang patut pada isi negeri maka digelar orang yang tiga ini kain kafan buruk tiada berganti lagi artinya tiada boleh di pecat pecat dan dimakzulkan sekali kali melainkan jikalau gila atau keluar daripada agama Islam yaitu boleh diganti dengan muafakat segala isi negeri dan jikalau ia zalim maka yaitu atas segala bicara isi negeri pada menolakkan zalimnya itu dan dimakzulkan tiada juga boleh.

Bermula surah yang ketiga, hendak menjadikan pangkatnya itu hendaklah dengan asalnya dan tiada boleh yang bukan asalnya daripada Menteri Menteri yang kecil kecil hendak menjadi orang bertiga itu jikalau sebagaimana sekali besar jasanya tiadalah ia boleh menjadi yang berempat itu yaitu Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dan Bendahara dan Temenggung. Dan tiada pula boleh bernikah kahwin yang lain daripada keturunan Raja yang berempat itu, maka adalah keempat Raja itu boleh berkahwin setengah atas setengahnya kerabat atau anak cucunya maka tiadalah boleh seperti anak anak Menteri yang lain yang dibawah Raja yang berempat itu mengahwani anak Raja yang berempat itu inilah adat istiadatnya.

Bermula surah yang keempat yakni pada pekerjaan menzahirkan gelarnya dan lantiknya. Bermula adalah menzahirkan gelaran maka yaitu tiada tentu daripada Yang DiPertuan Besar semata mata, akan tetapi boleh daripada setengah daripada Raja Raja yang berempat itu menzahirkan gelarannya dan lantiknya setengah akan setengahnya adalah muhas al syahidnya.

Apabila salah seorang daripada Raja yang berempat itu yang patut menerima pesakanya maka diangkatnyalah setengah daripada setengahnya. Adapun seperti Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah itulah pertama tama Raja Melayu mula mula diangkat oleh Yang DiPertuan Muda asalnya Raja Bugis. Demikian lagi Sultan Mahmud diangkat digelar oleh Yang DiPertuan Muda Marhum Janggut di Riau. Dan lagi Marhum Sultan Abdul Rahman digelar diangkat dijadikan Raja oleh Yang DiPertuan Muda Raja Jaafar maka dilantik sekali lagi di Riau oleh Yang DiPertuan Muda Raja Jaafar serta dengan seorang wakil dari Gubernur Jenderal Betawi yang bernama Schoutbijnacht yaitu Raja Laut. Demikian lagi puteranya Sultan Muhammad dinaikkan Raja oleh segala orang orang serta anak Raja Raja sekelian adanya. Demikian lagi Yang DiPertuan Besar Sultan Mahmud Muzaffar Syah ini dilantik oleh ayahandanya serta dengan Yang DiPertuan Muda Raja Abdul Rahman serta dengan Bendahara Tun Ali. Inilah hal Yang DiPertuan Besar.

Adapun Yang DiPertuan Muda pertama tama Yang DiPertuan Muda Daeng Merewah yaitu Kelana Jaya Putera maka dilantik oleh Marhum Sulaiman didalam Riau. Demikian lagi Marhum Mangkat Di Kota dilantik diRiau juga. Adapun Marhum Janggut dilantik digelar di Selangor. Dan Marhum Yang DiPertuan Muda Raja Haji yaitu yang mangkat di Teluk Ketapang yang bergelar Pengeran Suta Wijaya maka dilantik dan dizahirkan namanya di negeri Pahang tatkala ia balik dari perang mengalahkan negeri Sanggau dan Mempawah. Dan Marhum Yang DiPertuan Muda Raja Ali dilantik digelar dengan mufakat segala anak Raja Raja dan orang banyak. Dan Yang DiPertuan Muda Raja Jaafar disuruh ambil oleh Sultan Mahmud dari Selangor ke Lingga dipulangkan pesakanya yaitu diserahkan Riau dan Lingga dengan segala daerah takluknya menjadi Yang DiPertuan Muda seperti adat istiadatnya yang telah lalu. Kemudian Marhum Yang DiPertuan Muda Raja Abdul Rahman dijadikan Yang DiPertuan Muda digelar di Lingga maka pada masa Marhum inilah menetapkan sumpah setia yang lama dengan Sultan Mahmud Muzaffar Syah didalam negeri Lingga bersumpah setia dengan Al Quran Al Azim. Adalah sumpah setia dan perjanjian itu didalam Tawarikh Al Wusta yang ada didalam tangan Yang DiPertuan Muda Raja Ali yaitu saudara Marhum Abdul Rahman.
Maka Yang DiPertuan Muda Raja Ali diangkat dilantik di Lingga dijadikan Raja didalam Riau serta dengan daerah takluknya dengan pemilihan Gubernur Jenderal serta Sultan Mahmud Muzaffar Syah serta dengan ba’it segala anak Raja masing masing tiap tiap seorang menaruh tandatangan yang menyukakan Raja Ali jadi Yang DiPertuan Muda Riau. Maka dipulangkan pesakanya memerintahkan Lingga dan Riau serta daerah takluknya sekalian.

Maka inilah hah ehwal aturan antara Yang DiPertuan Besar dengan Yang DiPertuan Muda adanya.

(Bersambung ke Bahagian 4)...

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 2)


Makam Raja Ali Haji di Pulau Penyengat
UNDANG-UNDANG LIMA PASAL RIAU (adalah bahagian Dari Undang Undang Tubuh atau Perlembagaan Kerajaan Riau Lingga yang ditulis oleh Raja Ali Haji, Penasihat Kerajaan pada tahun Hijrah 1221 bersama tahun Masihi 1806). Sambungan dari Bahagian 1....

Bermula adapun Marhum Jaafar maka beranakkan Yang DiPertuan Muda Raja Abdul Rahman dan Yang DiPertuan Muda Raja Ali yang lainnya daripada itu beberapa puteranya laki laki dan perempuan maka tiadalah kami sebutkan disini kerana hendak mengambil sempena.

Bermula adalah Raja Maimunah puteri Arung Parani dengan Tengku Tengah maka bersuamikan Temenggung Johor dan adalah Daeng Kecik beranakkan Temenggung Abdul Rahman dan Temenggung Abdul Rahman beranakkan Temenggung Selat yang sekarang di Teluk Belanga.

Bahawa inilah segala Raja Raja Melayu yang sudah bercampur baur dengan Raja Bugis. Adapun salasilah Raja Melayu daripada sebelah bapanya sahaja yang diambil daripada masa alah Riau, tatkala sudah dibantu Raja Bugis yaitu Marhum Abdul Jalil beranakkan Marhum Sulaiman dan Marhum Sulaiman beranakkan Marhum Abdul Jalil suami Tengku Putih anak Marhum Arung Pali digelar orang sekarang ini Marhum Mangkat di Kota. Maka Marhum Abdul Jalil ini tiada sempat menjadi Raja ialah beranakkan Marhum Sultan Mahmud dan Marhum Sultan Mahmud beranakkan Sultan Abdul Rahman dan Sultan Abdul Rahman beranakkan Sultan Muhammad dan Sultan Muhammad beranakkan Sultan Mahmud yang maujud pada tarikh surat ini.

Bermula adalah Bendahara Johor daripada masa alah Riau oleh Siak itu hingga pada masa tarikh surat ini yaitu pertama tama, Tun Abas kedua Tun Abdul Majid ketiga Tun Koris keempat Tun Ali kelima Tun Muhammad Tahir yang maujud pada tarikh surat ini. Adalah suku suku Bendahara ini tiada berkerabat dengan Raja Bugis akan tetapi ada ia satu asal dengan Raja Johor yaitu saudara yang tua kepada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang adanya.

Syahdan kembali pula kami menyatakan peraturan pada Raja Raja yang menjadi Yang DiPertuan Muda Riau. Adalah yang mula mula awal menjadi Yang DiPertuan Muda Riau yaitu Kelana Jaya Putera. Maka setelah selesainya pada menjadi Yang DiPertuan Muda maka membuatlah Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah dengan Sultan Alauddin Ibni Opu akan suatu perjanjian sumpah setia sampai turun temurun kepada anak cucu cicitnya seperti yang tersebut surat surat sumpah setia yaitu memulangkan perintah negeri Johor dan Pahang dengan segala daerah takluknya Riau dan Lingga dengan segala daerah takluknya teluk rantau, tokong pulau, rakyat sekalian kepada Yang DiPertuan Muda dengan sumpah setia menaruh cap tandatangan sebelah menyebelah maka diperpegang setia ini.

Syahadan apabila mangkat Sultan Alauddin Syah Ibni Opu maka digantikan oleh saudaranya yang muda bernama Arung Pali maka bergelar Yang DiPertuan Muda Sultan Alauddin juga maka telah dibaru barui pulak sumpah setia lama itu. Kemudian maka mangkat pula Yang DiPertuan Arung Pali itu yang disebut juga Marhum yang Mangkat Dikota. Maka digantikan pula akan dia oleh anak saudaranya yaitu Daeng Kemboja yang nama gelarnya Marhum Janggut itu.

Maka setelah mangkat pula Marhum Janggut itu maka telah digantikan pula dengan sepupunya yang bernama Raja Haji yaitu putera Marhum Mangkat di Kota. Maka Yang DiPertuan Muda inilah yang mengalahkan negeri Kedah dan Perak dan Inderagiri dan Retih dan Dani yaitu batin enam suku yang syahid berperang dengan Holanda di Melaka.

Setelah mangkat Marhum itu maka digantikan pula oleh anak saudara sepupunya yang bernama Raja Ali maka bergelar Sultan Alauddin Syah juga. Maka apabila mangkat Yang DiPertuan Muda Raja Ali maka digantikan pula oleh saudara dua pupunya yang bernama Raja Jaafar maka Marhum Raja Jaafar inilah serta Tengku Besar yang membuat perjanjian kontrak dengan Gubermen Holanda yaitu pada masa Jendral Betawi yang bernama Baron Van Der Capellen.

Maka apabila mangkat Marhum ini maka digantikan pula oleh puteranya yang bernama Raja Abdul Rahman. Maka telah mangkat Marhum Abdul Rahman maka digantikan pula oleh saudaranya yang bernama Raja Ali dengan kesukaan Yang DiPertuan Lingga serta Gubermen Holanda serta ba’at oleh segala isi negeri daripada segala anak Raja Raja orang baik baik sekalian adanya.

Maka adalah tarikh awalnya segala Raja Raja yang tersebut ini adalah pada suatu kitab bernama Tawarikh Al Wusta yang ada maujud pada masa ini didalam tangan Yang DiPertuan Muda Riau.

Adalah Yang DiPertuan Besar itu lima orang pertama tama Almarhum Sulaiman kedua Almarhum Mahmud yaitu Putera Raja Abdul Jalil ketiga Marhum Sultan Abdul Rahman keempat Marhum Muhammad kelima Yang Dipertuan Lingga Sultan Mahmud Muzaffar Syah.

Adapun Bendahara nya bernama Tun Abas Sri Maharaja dan kedua Tun Abdul Majid ketiga Tun Koris keempat Tun Ali kelima Tun Muhammad Tahir.

Adapun Temenggungnya Seri Maharaja yaitu suami Raja Maimunah saudara Almarhum Janggut yaitu Daeng Perani anak Opu kedua Temenggung Abdul Rahman anak Daeng Kecik anak Raja Maimunah ketiga Temenggung Ibrahim anak Temenggung Abdul Rahman

Yang tersebut itu adalah segala ehwalnya segala Raja Raja itu adalah sejarah yang tersebut tadi adanya.

(Bersambung ke Bahagian 3)...

Undang Undang Lima Pasal Riau (Bahagian 1)

Masjid Raya Sultan Riau Pulau Penyengat

UNDANG-UNDANG LIMA PASAL RIAU
1. Asal Usul Raja Melayu Riau-Lingga-Johor dan Pahang.
2. Adat Istiadat Raja Raja Riau-Lingga-Johor dan Pahang.
3. Jajahan dan daerah takluk nya.
4. Bahasa Istana.
5. Wakil Mutlak.

Tahun Hijrah 1221. (Tahun 1806 M).

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Bahawa sesungguhnya inilah suatu yang diperpegang pada masa ini oleh Raja Raja yang dikeluarkan daripada Sejarah Melayu yang bernama Tawarikh Al Wusta yang diperbuat antara Raja Melayu dengan Raja Bugis yakni Yang DiPertuan Besar dengan Yang Dipertuan Muda yang dimukhtasarkan di sini kerana hendak mengambil sempena yang telah di mufawidkan yang amat teguh. Maka didalam nya beberapa pasal.

Pasal yang pertama pada menyatakan asal Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dengan Bendahara dan Temenggung.

Pasal yang kedua pada menyatakan adat istiadat Raja Melayu dan istilahnya yang menyalahi adat Raja di atas angin adanya.

Pasal yang ketiga pada menyatakan segala tokong pulau pulau siapa yang punya milik, dengan jalan apa dimiliki oleh Raja itu dan pada masa mana dan bagaimana maka menjadi milik kepada Raja itu.

Pasal yang keempat pada menyatakan bahawa Raja Raja yang diperbahasakan dan adat nobat dan semberap jawatan adanya.

Pasal yang kelima pada menyatakan makna wakil yang tersebut didalam kontrak perjanjian dengan Holanda.
Maka inilah kami nyatakan dibawah ini adanya.

Pasal satu.
Pada menyatakan asal Raja Melayu yang mukhtasar yang diambil daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang pada Hijrah seribu seratus dua puloh Sembilan tahun 1129. Mangkatnya itu sebab terbunuh berperang dengan Raja Kecik Siak. Menjadi Raja Keciklah Kerajaan di Riau dengan daerah takluknya pada Hijrah seribu seratus tiga puloh tiga tahun 1133. Pada masa itulah Putera Putera Marhum Abdul Jalil dibawa oleh Laksemana Nakhoda Sekam ke Riau kepada Raja Kecik seorang bernama Raja Sulaiman dan seorang bernama Raja Abdul Rahman dan perempuan nya lima orang maka dibuat oleh Raja Kecik penjawat membawa tepaknya dan lain lain.

Di dalam hal itu maka datanglah Raja Bugis bernama Kelana Jaya Putera nama batang tubuhnya Daeng Merewah dan serta segala saudaranya yaitu segala anak anak Opu Tandri Daeng Rilaga dan adalah datangnya sebab dijemput oleh Raja Melayu minta bantu minta tolong pukulkan Raja Kecik itu. Maka dipukulnya dengan segala takluk daerahnya maka alahlah Riau itu maka Raja Kecik pun larilah ke Siak dan dapatlah negeri Riau dengan takluk daerahnya ke tangan Raja Bugis yang bernama Kelana Jaya Putera itu yaitu pada Hijrah seribu seratus tiga puloh empat tahun 1134. Kemudian diangkatlah oleh Kelana Jaya Putera itu akan Raja Sulaiman itu digelarnya Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Didalam pada itu minta pula Sultan Sulaiman kepada Kelana Jaya Putera itu hendak dijadikannya saudaranya dunia akhirat yang tiada boleh bercerai cerai selama lamanya. Maka dikabulkan oleh Kelana Jaya Putera permintaan Sultan Sulaiman itu di gelarnya pula Sultan Sulaiman akan Kelana Jaya Putera itu Yang DiPertuan Muda Sultan Alauddin Syah Ibni Opu.

Maka ada pula saudara Kelana itu bernama Opu Daeng Celak di sebelah Barat di panggil orang Arung Pali. Maka dikahwinkan pula dengan saudaranya yang bernama Tengku Mandak gelarnya Tengku Puan dan seorang lagi saudara Kelana Jaya Putera iaitu Opu Arung Parani dikahwinkan pula oleh Sultan Sulaiman dengan saudaranya bernama Tengku Tengah. Maka Tengku Tengah beranakkan Raja Maimunah. Adapun Tengku Mandak itu beranakkan Tengku Hitam dan Tengku Putih dan Tengku Putih itu beranakkan Marhum Mahmud dan Marhum Mahmud itu beranakkan Sultan Abdul Rahman Lingga dan Sultan Husin Selat dan Sultan Abdul Rahman itu beranakkan Sultan Muhammad dan Sultan Muhammad beranakkan Sultan Mahmud yang ada pada tarikh membuat surat ini. Dan ada lagi putera Arung Pali dua orang laki laki yang seorang nama nya Raja Haji yaitu Marhum Mangkat di Teluk Ketapang dan seorang lagi bernama Raja Salih yaitu yang menjadi Yang DiPertuan Selangor dan dua orang perempuan lagi Raja Halimah dan Raja Aminah.
Syahadan adalah Yang DiPertuan Raja Haji itu beranakkan Marhum Jaafar dan Raja Idris dan Raja Ahmad dan yang lain daripada itu perempuan semuanya yaitu Engku Puteri dan Engku Besar dan Raja Buntit dan Engku Selangor dan Raja Pasir dan Raja Aminah dan Engku Teluk.

(Bersambung ke Bahagian 2)...

UNDANG UNDANG LIMA PASAL RIAU

UNDANG UNDANG LIMA PASAL RIAU yang di pos kan ini adalah bahagian Dari Undang Undang Tubuh atau Perlembagaan Kerajaan Riau Lingga yang ditulis oleh Raja Ali Haji, Penasihat Kerajaan pada tahun Hijrah 1221 bersama tahun Masihi 1806.

Selain menulis UNDANG UNDANG LIMA PASAL RIAU yang merupakan sebahagian Dari Undang Undang Tubuh atau Perlembagaan Kerajaan Riau Lingga yang ditulis tahun Hijrah 1221 bersama tahun Masihi 1806 dan juga lain lain kitab, Raja Ali Haji juga telah menyambung tulisan kitab Tuhfat Al-Nafis (Hadiah yang istemewa) iaitu mengenai Sejarah Kerajaan Riau Lingga yang dimulakan oleh ayahanda nya, Raja Haji Ahmad Ibni Yang DiPertuan Muda Raja Haji. Kitab Tuhfat Al-Nafis yang asalnya ditulis didalam tulisan Jawi itu kemudian nya di cetak dalam tulisan Rumi setelah penerbit buku ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan editor buku ini iaitu Virginia Matherson membuat projek perubahan tulisan daripada Jawi ke Rumi pada sekitar tahun 1980an kerana permintaan buku buku tulisan Rumi telah menjadi keutamaan.