Pilih bahasa yang di inginkan:- BAHASA MELAYU

Sunday, February 28, 2016

24. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh empat...



24. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh empat...

Raja Haji Menuntut Baki Hutang Daripada Kerajaan Kedah

Pada awal tahun 1770an Raja Haji Engku Kelana telah pergi ke Kedah untuk menuntut baki hutang Kerajaan Kedah kepada Raja Raja Bugis di Riau, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Maka berangkatlah Raja Haji Engku Kelana ke Selangor berjumpa dengan paduka kekanda Yang DiPertuan Selangor. Maka musyawarahlah keduanya pada pekerjaan setia-setia Raja Kedah zaman orang tua-tua, hanyalah bunyinya yang tersebut didalam sejarah Selangor. “Patut menerima dan menuntut perjanjian menjadi perang itu, sebab negeri Kedah sudah makmur kerana perjanjian Opu Opu dahulu. Apabila makmur negeri Kedah, adalah belanja-belanja Opu-Opu melanggar Kedah dahulu patutlah hendak diganti. Serta ada pula perjanjian lain daripada itu, iaitu lima belas bahara (timbangan berat) wang. Maka sudah dibayar tiga bahara, tinggal lagi dua belas bahara, sudah berpuluh-puluh tahun tiada juga Raja Kedah menyempurnakan perjanjiannya itu, dan surat-suratnya pun ada baik kita tunjukkan kepada Raja Kedah itu”. Maka jawab Yang DiPertuan Selangor, “Jikalau begitu, baik kita pergi sendiri”. Maka jawab Raja Haji Engku Kelana, “Baiklah”.

Syahadan apabila selesailah muafakat itu maka Raja Haji berserta dengan Yang DiPertuan Selangor serta paduka adinda Raja Sa’ad dan Suliwatang pun belayarlah ke Kedah. Maka singgahlah Raja Haji Engku Kelana di Perak hendak berjumpa dengan Sultan Perak. Maka dipermuliakanlah oleh Sultan Perak serta diperjamunya makan minum.

(Pada masa inilah Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) menabalkan Raja Lumu, Raja Selangor itu menjadi Yang DiPertuan Besar Selangor dengan penuh adat istiadat penabalan serta bergelar Sultan Salehuddin Shah, Sultan Selangor yang pertama).

Maka tiada berapa hari diPerak, maka bermohonlah Raja Haji Engku Kelana kepada Sultan  Perak dan kepada paduka kekanda Sultan Salehuddin Selangor. Adapun Sultan Salehuddin Selangor tinggallah di Perak dahulu kerana belum tentu paduka adinda berperang.

Syahadan adapun Raja Haji berserta paduka adinda Raja Sa’ad dan Suliwatang, maka belayarlah ke Kedah. Maka apabila sampai ke Pangkor maka Raja Haji pun mendapat anak seorang laiki-laki dinamakannya Raja Jaafar, timang-timangannya Raja Laut. Syahadan kelengkapan Raja Haji berangkat ke Kedah itu dengan kapal dan keci dan enam puluh buah penjajab.

Syahadan adapun Yang DiPertuan Kedah tatkala ia mendengar khabar Raja Haji datang maka ia pun membuat kubu di Batangau serta diaturnya meriam serta diisinya, orang beribu ribu serta beberapa hulubalang panglimanya. Syahadan tiada berapa antaranya maka kelengkapan Raja Haji pun tibalah di Batangau serta dilihatnya di Batangau telah siap dengan kubunya. Maka Raja Haji pun tersenyum sambil berkata, “Hendak bergaduh rupa-rupa orang Kedah ini”.

Maka Raja Haji pun menyuruh Suliwatang mendapatkan Raja Kedah, menyatakan surat-surat perjanjian orang tua-tua dahulu, dipakaikah atau tidak? Maka Suliwatang pun berjumpalah Raja Kedah tengah dihadap oleh menteri-menterinya dan hulubalangnya, dan berserta dengan baris senapangnya, dan baris pedangnya serta lembingnya, kebanyakan pula pertikamannya orang-orang Keling dan Benggal. Maka Suliwatang pun memberikan surat-surat itu. Maka dibaca Yang DiPertuan Kedah.

Setelah habis dibacanya maka titahnya kepada Suliwatang, “Ini surat perjanjian orang tua-tua dahulu dan yang menerima janji tiada lagi. Dan yang saya menjadi Raja ini bukannya Bugis mengangkat saya, Bendahara, Temenggung saya sendiri mengangkat saya menjadi Raja. Saya kirim salam saja kepada Raja Haji, janganlah dipanjangkan lagi perkara ini”.

Maka Suliwatang pun memaklumkan kepada Raja Haji. Maka apabila Raja Haji mendengar perkataan Raja Kedah itu, merahlah mukanya seraya bersabda kepada Suliwatang, “Berperanglah kita, hari esok melanggar kubu di Batangau di hulu”. Maka sembah Suliwatang, “Tiadakah menanti paduka kekanda itu dahulu?”.  Maka jawab Raja Haji, “Apa yang dinantikan abang itu lagi?”. Kita menyuruh sahajalah memberitahu ke Perak kepada abang mengatakan yang kita sudah berperang”. Maka  sembah Suliwatang, “Baiklah”. Maka Suliwatang pun berkerahlah akan segala Indera Gurunya dan juak-juaknya, dan segala Bugis-Bugis yang banyak disuruhnya bersiap dan memakai pakaian perang serta menyiapkan meriam dan lela rentakanya dan terakul pemburasnya dan lembing kerisnya. Kemudian maka mengaruk lah ia segala Bugis-Bugis itu serta dengan kilung musungnya (menyanyi lagu perang). Syahadan setelah orang kubu Batangau melihat hal yang demikian itu, maka orang Kedah itupun bersiaplah dan mengisi segala meriamnya.

Syahadan apabila sampai keesokkan harinya, maka memulai perang Raja Haji dengan kubu Batangau itu berbedil-bedilan dengan meriam dan lela, gegak-gempitalah sebelah menyebelah serta sorak tempiknya. Maka tiada berketewasan jua kedua pihak. Maka apabila malam, berhenti. Maka apabila siang perperang pula. Ada kira-kira empat hari tiada juga berketewasan kerana negeri Kedah masa itu tengah makmur, cukup ubat pelurunya, beberapa kapal dan keci yang didalam sungai itu serta ramai orangnya.

Setelah Raja Haji melihat Yang DiPertuan Kedah telah kuat maka ia pun menyuruh Suliwatang serta Indera Gurunya dan panglima-panglimanya, “Jikalau demikian sebulan lagi tiada bertentuan alah menangnya. Jikalau begitu baik mengamuk semuanya ke darat”.

Maka berkemas sekeliannya. Maka apabila telah siap naiklah Suliwatang serta panglima-panglima Bugis lalu dilanggarnya kubu Batangau itu, diamuknya. Maka dikeluari oleh orang-orang Kedah dengan baris senapangnya. Maka lalulah berperang beramuk-amukan maka Bugis-Bugis pun merapat juga dengan terakulnya dan pemburasnya serta lembingnya. Maka lalu bertikam berkejar-kejaran berhambat-hambatan kesana kemari. Maka Nakhoda La Wolok pun menaiki kubu itu maka segala pertikaman Bugis pun naiklah bersama sama Nakhoda itu serta membedilkan pemburasnya.

Maka tatkala itu banyaklah mati orang-orang Kedah dan Temengung dan Laksamananya pun larilah membawa lukanya lalu ke Alor Setar namanya. Maka dikejar-kejar oleh Bugis. Maka beramuklah sepanjang jalan itu, maka titah Raja Haji, “Ikut masuk kedalam negeri sekali”. Maka Suliwatang pun berkerah menyuruh mara. Maka maralah segala Bugis-Bugis itu sambil membedilkan pemburasnya. Maka Suliwatang pun berkata, ”Pikul lela-lela itu! Bedil dengan lela-lela itu biar jauh sedikit makannya”.  Maka dipikul oranglah lela-lela itu dinaikkan diatas bahunya dua tiga, lalu dibedilnya kepada orang lari-lari itu. Sekali bedil dua tiga yang rebah. Maka kata Suliwatang, “Ini lela bagus benar patutlah dinamakan ‘Si Harung Darah’”.

Syahadan Bugis mengejar-mengejar itupun sampai ke Alor Setar. Maka lalu menyeberang ke pangkalan kapal. Kemudian lalu ke Kampung Tengku Bunga anak Engku Kelana Encik Unuk. Kemudian baharulah ilir ke kuala, maka lalu beramuk-amukan pula disitu berbunuh-bunuhan. Maka bunyi senapang pemburas seperti bunyi bertih didalam perang itu. Maka didalam tengah beramuk-amuk itu orang-orang Bugis pun sambil merebut-rebut membuka rantai yang merentang sungai itu, maka lalu terbuka. Maka segala penjajab-penjajab pun masuklah, ada setengah tinggal dikuala.

Syahadan adapun Yang DiPertuan Kedah apabila Raja Haji itu sudah masuk ke dalam negeri Kedah maka undurlah ia ke hulu Kedah, tetapi banyak juga anak Raja-Rajanya tinggal disitu, maka tiada diberi oleh Raja Haji cabulkan. Syahadan pada masa itu kapal Keling ada sebelas buah didalam pelabuhan Kedah maka dapatlah semuanya. Maka negeri Kedah pun alahlah.

Syahadan adapun orang yang memberitahu ke Perak kepada Sultan Salehuddin Selangor itu, maka apabila tiba dipersembahkannya lah surat itu. Maka Sultan Salehuddin Selangor pun segeralah berangkat ke Kedah. Maka serta tiba ke Kedah maka Kedah pun sudah alah. Maka Sultan Salehuddin Selangor pun berjumpalah dengan paduka adinda-adinda itu maka musyawarah dengan adinda-adinda sekelian serta anak Raja Raja Kedah, serta orang tuanya menyuruh menyilakan Yang DiPertuan Kedah itu balik ke negerinya, kerana pekerjaan sudah habis, tinggal lagi pula pekerjaan muafakat sahaja sama-sama Islam. Maka baliklah Yang DiPertuan Kedah itu ke dalam Kedah semula. Maka diserahkan oleh Raja Haji negeri Kedah itu semula kepada Yang DiPertuan Kedah serta dibuat perjanjian sebagaimana jalan orang bersaudara sahaja. Kemudian duduklah Raja Haji di dalam negeri Kedah makan minum bersuka-sukaan. Syahadan tiada berapa lamanya maka Raja Haji pun keluar dari Kedah bersama paduka kekanda serta Suliwatang, maka singgahlah ke Merbuk, serta paduka kekanda Sultan Salehuddin Selangor. Maka tiada berapa hari belayar pula balik ke Selangor sekeliannya. Maka tetaplah Raja Haji itu didalam negeri Selangor”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh lima...)


23. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 hahagian ke dua puluh tiga...

23. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh tiga...

Peristiwa- peristiwa di Kedah dan Trengganu

Peristiwa- peristiwa di Kedah dan Trengganu yang berlaku sekitar awal tahun 1770an seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Kedah ada menaruh putera seorang laki-laki yang bernama Raja Abdullah. Maka ia pun meminang akan puteri Yang DiPertuan Selangor yang bernama Tengku Besar. Maka diterimalah oleh Yang DiPertuan Selangor.

Syahadan Yang DiPertuan Kedah pun datanglah membawa puteranya Raja Abdullah serta orang besar-besarnya. Maka nikahlah Raja Abdullah itu, betapa adat Raja Raja nikah kahwin. Kemudian berdamailah ia. Syahadan apabila telah selesai lah pekerjaan itu, maka Yang DiPertuan Kedah pun belayarlah balik ke Kedah serta orang besar-besarnya.

Syahadan ada kira kira tiga bulan Raja Abdullah itu pun bermohonlah kepada Yang DiPertuan Selangor hendak balik ke Kedah. Maka dilepaskanlah oleh Yang DiPertuan Selangor. Maka Raja Abdullah pun baliklah ke Kedah duduklah ia beberapa lama di Kedah, Kemudian balik pula ia ke Selangor.

Syahadan tiada berapa lamanya Raja Abdullah itu didalam Selangor, maka ia pun bermohonlah pula hendak balik ke Kedah. Maka titah Yang DiPertuan Selangor, “Baiklah, akan tetapi hendak berjanji berapa lamanya datang”. Maka sembah Raja Abdullah, “Tiga bulan patik datang mengadap”. Maka jawab Yang DiPertuan Selangor, “Jika tiada datang apa bicara?”. Maka sembah Raja Abdullah, “Mana-mana titahlah”. Kemudian maka Raja Abdullah pun belayarlah ke Kedah. Syahadan sampailah tiga bulan tiada ia datang ke Selangor. Maka lalu dipisahkan oleh Yang DiPertuan Selangor akan Raja Abdullah itu.

Alkisah maka tersebut perkataan Raja Ismail didalam negeri Pelembang. Maka tida berapa lamanya ia di Pelembang maka ia pun bermohonlah kepada Sultan Pelembang hendak keluar. Maka dibekalkan oleh Sultan Pelembang dengan wang dan harta ala kadarnya. Maka belayarlah Raja Ismail itu ke Tambelan, singgahlah ia mengambil anak isterinya dan saudara saudaranya yang perempuan di Tambelan. Kemudian belayar pula ke Siantan.

Syahadan adalah pada masa itu menjadi orang besar di Siantan, iaitu orang Kaya Dewa Perkasa. Maka tatkala didengarnya Raja Ismail itu akan datang ke Siantan, maka ia pun bersiap-siaplah membuat kubu. Adalah fikirnya itu, apabila Raja Ismail datang membuat haru-biru, hendak dilawannya berperang. Syahadan khabar itupun sampailah kepada Raja Ismail. Maka marahlah ia. Kemudian disuruhnya panggil titahnya, khabarkan kepada Dewa Perkasa dia hendak berjumpa sebentar, hendak berpesan kerana ia hendak lekas ke Trengganu hari itu juga.


Setelah Dewa Perkasa mendengar kata suruhan itu maka ia pun percayalah, maka segeralah ia datang mengadap. Maka apabila sampai ke haluan kenaikannya itu, maka Dewa Perkasa pun diperamai-ramaikan oleh panglima-panglima Raja Ismail. Apabila telah mati, maka disuruh Raja Ismail hantarkan mayat itu ke rumah anak bininya.

Syahadan adapun anak bininya dan kaum kerabat Dewa Perkasa apabila ia semua melihatkan mayat Dewa Perkasa itu, maka terkejutlah semuanya sambil meratap riuh-rendah. Maka gemparlah didalam Siantan mengatakan Dewa Perkasa sudah mati dibunuh oleh Raja Ismail. Maka huru-haralah Siantan, ada setengah hendak melawan, ada setengah hendak lari takut dibedil oleh Raja Ismail. Maka Raja Ismail pun menyuruh khabarkan kepada orang orang Siantan, “Janganlah khuatir-khuatir, yang salahlah diperbuat dan yang tidak salah tiadalah diperbuat”. Maka orang orang Siantan pun diamlah serta takutnya. Kemudian lalu dihukumnya sekelian orang orang Siantan itu dengan harta benda dan wang.

Syahadan apabila Raja Ismail itu sudah banyak dapat harta di Siantan maka ia pun belayar ke Trengganu. Maka apabila sampai ke Trengganu diberilah oleh Yang DiPertuan Trengganu sebuah kampong tempat Raja Ismail. Syahadan apabila sudah tetaplah Raja Ismail itu didalam Trengganu maka meminanglah Raja Ismail itu akan puteri Yang DiPertuan Trengganu itu. Maka apabila sampai waktunya maka Yang DiPertuan Trengganu pun menikahkan Raja Ismail itu dengan puterinya betapa adat istiadat Raja besar-besar nikah kahwin. Kemudian berdamailah keduanya betapa adat orang laki isteri.

Kemudian kata sahibul hikayat, kemudian daripada itu maka jatuhlah perselisihan negeri Trengganu dengan negeri Kelantan. Maka menyuruhlah Yang DiPertuan Trengganu seratus buah kelengkapan melanggar Kelantan. Maka berperanglah orang Trengganu dengan orang Kelantan. Maka hendak tewaslah orang Trengganu itu, maka memberi suratlah hulubalang Trengganu itu kepada Yang DiPertuan Trengganu minta bantu. Maka apabila ia mendengar bunyi surat dari Kelantan itu, maka susahlah hatinya. Maka ia pun memanggil Raja Ismail Siak minta bantu. Maka sembah Raja Ismail, “Baiklah, Tuanku”. Syahadan maka Yang DiPertuan Trengganu pun berangkatlah bergajah dan Raja Ismail pun bersama-samalah pergi. Adalah rakyat yang mengiring itu ada kira kira tiga ribu. Maka tiada berapa hari sampailah ke Kelantan.

Maka apabila dekat dengan kubunya maka orang-orang Kelantan pun menyongsong dengan lembingnya. Maka lalulah berperang, bertikamkan kerisnya. Maka orang Trengganu pun undur. Maka marahlah Raja Ismail itu, maka disuruhnya marakan gajahnya. Maka Raja Ismail pun menyuruh orang orang Trengganu berhenti dan menyuruh pula orang orang Siak mara dengan pemburasnya. Maka maralah orang orang Siak itu sambil membedilkan pemburasnya, seketika lagi orang-orang Kelantan pun undurlah.

Syahadan maka apabila keesokkan harinya, maka orang-orang Trengganu pun melanggarlah kubu-kubu orang-orang Kelantan. Adalah banyak kubunya itu tengah tiga puluh (25) yang besarnya satu. Adalah orang melanggarnya lima ribu. Syahadan apabila orang Kelantan melihat orang-orang Trengganu itu, maka dilembingnyalah. Maka maralah orang orang Trengganu itu maka dibedil oleh orang orang Kelantan dengan rentakanya. Maka tiadalah terdekat oleh orang Trengganu maka dikeluarkan pula oleh orang Kelantan. Maka undurlah orang Trengganu itu.

Syahadan setelah Raja Ismail melihat hal yang demikian itu, maka ia menyuruh saudaranya Raja Musa membawa petikaman Siak tengah dua ratus (150) orang ada yang membawa pemburas dan ada yang membawa pedang dan perisai. Maka berlarilah orang Siak menempuh, maka dibedil oleh orang Kelantan dengan rentakanya dan senapangnya, tiada juga dipedulikan oleh orang orang Siak. Maka Raja Musa berkata, “Rapat! Rapat!”. Syahadan apabila sampai ke kaki kubunya maka baharulah orang-orang Siak itu mengempur dan melompat kedalam kubunya, baharulah membedilkan pemburasnya dan memecahkan silat pencaknya. Maka banyaklah orang-orang Kelantan itu mati. Maka mana-mana yang hidup larilah berterjunan dan berhamburan dari dalam kubunya. Maka dapatlah segala kubu-kubu orang-orang Kelantan itu oleh orang-orang Siak dan negeri Kelantan pun alahlah. Maka Raja Ismail pun memaklumkan kepada Yang DiPertuan Trengganu mengatakan, “Kelantan sudah alah”. Maka Yang DiPertuan Trengganu pun terlalu sukanya serta memuji-muji Raja Ismail itu.

Kemudian tiada berapa lama, maka Yang DiPertuan Trengganu pun menanggil Raja Kelantan. Apabila datang maka dipulangkan Kerajaannya serta dengan sumpah setianya. Syahadan duduklah Raja Ismail itu didalam Trengganu dengan kemuliaannya.

Syahadan kata sahibul hikayat tiada berapa lamanya Raja Ismail itu didalam Trengganu maka berkehendaklah ia melanggar negeri Siak. Maka bermohanlah ia kepada Yang DiPertuan Trengganu hendak ke Siak. Maka dilepaskan oleh Yang DiPertuan Trengganu. Maka ia pun belayarlah ke Tanah Putih, bersiaplah ia disitu dan menyuruhlah ia ke Kedah dan Selangor minta bantuan. Kemudian pergi pula ke Pelembang, kemudian balik semula ia ke Tanah Putih adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh empat...)

Saturday, February 13, 2016

Perbincangan Mengenai Penubuhkan Persatuan Melayu Bugis Singapura Pada 12 Februari 2016,

"Assalamualaikum wr wb...

Dengan Hormat dimaklumkan bahawa kami di Singapura sedang dalam proses untuk menubuhkan Persatuan Melayu Bugis Singapura, yang antara lain aktiviti nya ialah untuk memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara ini.

Perbincangan pertama telah diadakan pada 12 Februari 2016 di bilek Mesyuarat Taman Warisan Melayu (Istana Kampong Gelam Singapura) yang turut di hadiri oleh Pengurus Programmes Taman Warisan Melayu Singapura, Saudara Jamal Mohamad yang akan membantu didalam penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura ini serta untuk memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara ini nanti yang dirancangkan untuk diadakan di Taman Warisan Melayu Singapura pada pertengahan tahun depan.
Dengan ini kami ingin mengundang kepada orang orang Bugis-Melayu atau sesiapa yang berminat untuk menyertai kami didalam memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara ini boleh lah bersama sama kami, didalam acara pertunjukan serta persembahan pada pertengahan tahun depan di Singapura. Ianya dibuka kepada perkumpulan atau persaorangan sama ada yang berada di Singapura, Malaysia atau Indonesia.

Bagi warganegara Singapura yang berminat untuk menjadi Ahli Persatuan Melayu Bugis Singapura ini juga sangat di alu alukan.

Anggota Jawatankuasa sementara yang hadir pada perbincangan pertama bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura ialah:-
1. Raja Muhammad Khalid
2. Tengku Shawal
3. Raja Hamzah
4. Haslinna Jaaman
5. Nur Tauhid
6. Iszman

Semoga dengan sokongan, penyertaan dan doa daripada semua dapatlah kita melaksanakan dan mencapai matlamat bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura serta untuk memperkenalkan Adat, Budaya serta Warisan Bugis-Melayu di Nusantara dengan sebaik baik nya... Aamiin...
Taman Warisan Melayu (Istana Kampong Gelam Singapura) di no. 85 Sultan Gate, Singapura.

Taman Warisan Melayu (Istana Kampong Gelam Singapura) di no. 85 Sultan Gate, Singapura.

Anggota Jawatankuasa sementara yang hadir pada perbincangan pertama bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura ialah:-
(Dari Kiri Ke Kanan)
1. Raja Muhammad Khalid
2. Tengku Shawal Tengku Aziz
3. Haslinna Jaaman
4. Jamal Mohamad - Pengurus Programmes Taman Warisan Melayu Singapura,
5. Tauhid Muhd
6. Raja Hamzah- Prince Hamzah Bugiz
7. Iszman

Anggota Jawatankuasa sementara sedang membincangan usaha usaha bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura.

Anggota Jawatankuasa sementara sedang membincangan usaha usaha bagi penubuhan Persatuan Melayu Bugis Singapura.

22. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh dua...

22. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh dua...

Senarai Peperangan Bugis-Minangkabau Dan Pertabalan Sultan Selangor Yang Pertama


Apabila telah selesai peperangan diantara angkatan perang Raja Ismail putera Almarhum Sultan Mahmud serta adindanya Raja Abdullah dari Siak dengan angkatan perang Riau pimpinan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Singapura pada tahun 1764 itu, maka tiada lagi berlaku peperangan diantara Siak dengan Riau seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis tulisan Raja Ali Haji seperti berikut:-

“Apabila selesai daripada perang Singapura itu maka tiadalah lagi datang pihak Siak membuat pergaduhan lagi, hingga masa membuat siarah ini. Syahadan aku aturkan banyaknya kali berperang Raja Kecik Siak dengan Opu Opu Raja Bugis yang menjadi Yang DiPertuan Muda didalam Riau hingga sampai kepada anak cucunya. Inilah bilangannya yang tersebut dibawah ini.

Perang yang pertama:
Tatkala masa Opu-Opu yang lima beradik mengambil Riau daripada tangan Raja Kecik, diserahkannya Riau dengan segala takluk daerahnya kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada Hijrat sanat 1134 (tahun 1722).

Perang yang kedua:
Tatkala Raja Kecik alah perang di Riau lalu ia lari ke Lingga, maka lalu diikuti oleh Bugis-Bugis sampai ke Lingga lalu berperang. Maka Raja Kecik pun alah lalulah ia balik ke Riau semula, Opu Opu telah ke Selangor.

Perang yang ketiga:
Perang Linggi tatkala Raja Kecik membantu Penghulu Linggi berperang dengan Opu Opu Raja Bugis itu. Maka Raja Kecik pun alah pula ia selalu ia pergi ke Siak membuat negeri di Buantan, serta berkukuh disitu.

Perang yang keempat:
Perang Opu Opu itu pergi melanggar negeri Siak, sebab (alat alat kebesaran) Kerajaan Sultan Sulaiman diambil Raja Kecik . Maka didalam perang itupun alah jua Raja Kecik. Maka pulanglah (alat alat kebesaran) Kerajaan Johor itu kepada Sultan Sulaiman, kerana sebab pertolongan Opu-Opu yang lima beradik itu dapat semula (alat alat kebesaran) Kerajaan Raja Johor itu. Syahadan jadilah setahun itu empat kali perang Opu-Opu itu, serta lalu Opu-Opu itu merajakan Raja Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman, dan Opu Kelana Jaya Putera (Opu Daeng Merewah) pun menjadi Yang DiPertuan Muda masa itu.

Perang yang kelima:
Perang didalam negeri Kedah dengan Raja Kecik, bukannya perang yang pertama, iaitu membantu Raja Kedah lalu melantik Raja Kedah yang tuanya, maka iaitu bukannya perang dengan Raja Kecik. Adapun perang dengan Raja Kecik yang kedua kalinya di dalam negeri Kedah tatkala itulah mangkat Opu Daeng Parani. Maka Raja Kecik pun alah juga lalu balik ke Siak, pada Hijrat seribu seratus tiga puluh enam, sanat 1136 (tahun 1724).

Perang yang keenam:
Perang Raja Kecik melanggar negeri Riau pada Sembilan lekur bulan Syabaan, hingga sampai kepada dua puluh hari bulan Zulhijjah. Maka lalu berdamai. Kemudian Raja Kecik datang mengambil isterinya lalu bersumpah di masjid.

Perang yang ketujuh:
Perang Raja Kecik melanggar Riau berkubu di Pulau Bayan. Maka Raja Kecik pun alah juga lari ia pada malam harinya. Adalah lama perangnya itu, iaitu dua hari pada Hijrat tahun Jim sanat 1139 (tahun 1726).
Syahadan segala perang yang tersebut itu, iaitu masa lagi hidup Opu Kelana Jaya Putera Yang DiPertuan Muda yang pertama didalam Riau, lepas daripada itu, perang masa Yang DiPertuan Muda Opu Daeng Cellak pula.

Perang yang kedelapan:
Perang Raja Kecik melanggar Riau berlabuh di Penyengat tiada boleh masuk, berperang pada tujuh belas haribulan Safar. Maka pada malam Khamis, Raja Kecik alah maka lalu lari diikuti sampai ke Ungaran, pada tahun 1150 (tahun 1737).

Perang yang kesembilan:
Perang Raja Kecik menyuruh anaknya Raja Alam dan Daeng Matekkuh dan Raja Emas melanggar negeri Riau membuat wangkang kota berjalan, berperang pada lima belas haribulan Rabiul Awal. Maka apabila kepada delapan haribulan Rabiul Akhir maka Raja Alam pun alah lah, lalu lari ke Siak, sanat 1161 (tahun 1748).

Perang yang kesepuluh:
Perang cucu Raja Kecik , iaitu Raja Ismail, dengan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Singapura (pada tahun 1764). Maka alah Raja Ismail. Maka perang ini tiada dapat tarikhnya, melainkan siapa-siapa yang dibelakang akulah pula memperbuatnya.

Syahadan adapun Daeng Kemboja Yang DiPertuan Muda Riau, apabila selesailah daripada perang selat, amanlah Riau duduklah dengan kesentosaan dengan beberapa masa.

Syahadan kata sahibul hikayat pada satu masa Raja Haji Engku Kelana pun pergilah ke Selangor. Maka bicaralah dengan paduka kekanda Raja Selangor mendudukkan paduka anakanda Raja Ali, putera kekanda Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja, dengan anak paduka kekanda baginda yang bernama Raja Penuh. Maka dinikahkanlah betapa adat istiadat anak Raja Raja nikah kahwin. Kemudian berdamailah keduanya.
Syahadan tiada berapa lamanya didalam Selangor maka Raja Haji pun berangkatlah ke Riau bersama paduka kekanda Raja Selangor serta paduka anakanda Raja Ibrahim putera kekanda Raja Selangor. Maka apabila sampai ke Riau, maka Raja Haji pun muafakatlah dengan Yang DiPertuan Muda pada pekerjaan hendak menikahkan Raja Ibrahim itu dengan Raja Andak puteri Yang DiPertuan Muda. Maka apabila sampai waktu yang baik, nikahlah Raja Ibrahim itu, betapa adat Raja Raja nikah kahwin. Maka berdamailah keduanya. Kemudian Raja Selangor pun belayarlah balik ke Selangor”.

Pada tahun 1770, Raja Haji telah pergi ke Selangor dan kemudiannya bersamasama dengan kekandanya Raja Lumu, Raja Selangor telah berangkat bermain main ke Pangkor. Apabila Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) mendengar khabar itu, lalu disuruhnya lah segala orang besar besarnya mempersilakan Raja Lumu, Raja Selangor dan Raja Haji masuk ke Perak kerana baginda mahu mengangkat Raja Lumu, Raja Selangor itu menjadi Yang DiPertuan Besar di Selangor. Apabila telah semua bersetuju akan muafakatnya, lalu Raja Lumu pun ditabalkan dengan penuh adat istiadat penabalan oleh Sultan Perak, Sultan Mahmud Shah Yang DiPertuan Besar Selangor bergelar Sultan Salehuddin Shah.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh tiga...)

21. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh satu ...

21. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh satu ...

Ancaman Siak – Terengganu Terhadap Riau

Rancangan Raja Ismail putera Almarhum Sultan Mahmud Siak dengan Yang DiPertuan Terengganu yang hendak menyerang Riau itu akhirnya sampai ke pengetahuan Yang DiPertuan Muda Daeng Kemboja di Riau. Lalu Yang DiPertuan Muda pun membuat penyelidikan didalam Riau untuk mengetahui sama ada pihak Raja Raja Melayu akan menyebelahi nya atau tidak, seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Didalam beberapa hari maka didapatinya lah jikalau datang Raja Ismail adalah suku suku Melayu belot sebelah Raja Ismail. Serta didapatinya rahsia rahsia Raja Raja Melayu itu member surat kepada Raja Kecik Terengganu serta didapatinya pula rahsia Raja Tua pihak Bugis akan belot juga dan ialah yang akan membakar gedung ubat bedil Yang DiPertuan Muda itu. Serta dapatlah sah akan orang yang hendak diupahnya itu.

Maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah kepada adinda adinda dan anakanda anakanda sekelian. “Tiadalah lain lagi isi perutnya suku suku Melayu hingga dengki dan khianat akan kita semua anak anak Bugis dan tiada berguna sumpah setianya. Beberapa kali kita semua sudah beralah serta beberapa kali kita semua maafkan serta kita sabarkan. Masih juga ia memperbuat laku yang demikian itu jua atas kita semua anak Bugis. Jikalau begitu, yang sebenarnya dia semua hendak menolak kita semualah dari tanah Johor ini, dan masa Marhum Batangan dahulu sudah juga kita keluar dari Riau ini tinggallah dia semua dengan Marhum batangan, tiada juga ia semua puas masih lagi diperbuatnya fitnah di atas kita, sampai kita semua huru-hara hampir-hampir pergi dengan nyawa kita. Kemudian Marhum Batangan pula memanggil kita semua anak Bugis dipulangkan setia lama dengan muafakat dengan dia semua juga dan pekerjaan yang telah lalu memperbuat diatas kita semua. Maka tiada kita jadikan panjang kita sabarkan juga yang dia masih juga lagi hendak mencari kebinasaan kita juga, dengan berbagai bagai fitnah lepas satu perkara satu perkara pula. Jika demikian tiadalah aku boleh tahan lagi, hendak kita tinggalkan balik ke Bugis, bagaimanalah halnya anak cucu Marhum Batangan sudah menjadi anak cucu kita. Sementelahnya Sultan Mahmud ini lagi kecil sangat, jika dipicit picitnya sedikit sedikit seorang pun mati, dengan sebab inilah menjadi aku bertahan hendak tinggalkan Yang DiPertuan Besar. Didalam hal begitu susahku, tiada pada lagi kepada dia semua masih lagi hendak dihumbatnya nyawa (dibunuhnya) kita. Jikalau begitu sekali ini aku perbuatlah mana mana yang jadi kebajikan kepada aku, tiada aku hiraukan lagi dan tiada lagi aku pedulikan jika benci marahnya, aku perbuat juga seperti kehendakku”.

Syahadan apabila selesai Yang DiPertuan Muda bertitah, maka lalu ia menyuruh sebuah kakap ke Selangor memberitahu paduka adinda Raja Selangor, dan sebuah kakap pula pergi ke Inderagiri memberitahu Raja Haji Engku Kelana. Maka suruhan kedua itupun belayarlah. Syahadan apabila suruhan itu lepas belayar, maka Yang DiPertuan Muda pun memanggil Raja Tua. Maka apabila sampai Raja Tua kehadapan Yang DiPertuan Muda, maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah, “Cih! Raja Tua, sampai hatinya hendak memperbuat saya hapus dengan nyawa sekali. Pada perasaan hati saya, Raja Tua dengan saya sehabis habis kita berkelahi dan berbantah, sehingga antara kita berdua sajalah sama-sama anak Bugis ini, sekarang anak Bugis sudah jadi anak Melayu. Maka sekarang ini, dan pada hari ini, sudah putuslah harap saya kepada Raja Tua dan hilanglah percaya saya kepada Raja Tua. Tiadalah saya menaruh percaya sekali sekali waktu ini kepada Raja Tua”.

Syahadan apabila Raja Tua mendengar titah Yang DiPertuan Muda itu, maka berubahlah mukanya serta malunya. Maka ia pun terdiam sejurus. Kemudia jawabnya, “Jikalau sudah Yang DiPertuan Muda tiada percaya akan patik, biarlah patik keluar dari negeri ini”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Mana suka Raja Tua, saya menyuruh keluar tidak dan menahan pun tidak, akan tetapi pada waktu ini sekali sekali tiada saya menaruh percaya kepada Raja Tua”. Setelah Raja Tua mendengar titah itu mangkin bertambah tambahlah kecil hatinya, lalu bermohon balik. Apabila ia sampai kerumahnya, maka bersiaplah ia akan perahunya. Maka apabila sudah siap, maka ia pun turunlah ke perahunya membawa bondanya dan anak isterinya, lalu belayar ke Pelembang.

Syahadan apabila sudah Raja Tua itu belayar, maka Yang DiPertuan Muda pun berjumpalah dengan Datuk Bendahara, maka berkatalah Yang DiPertuan Muda kepada Datuk Bendahara, “Adapun saya berjumpa dengan Orang Kaya ini, saya hendak berkhabar dengan sebenar benarnya, jangan Orang Kaya kecil-kecil hati. Adapun saya dapat khabar Raja Ismail anak Raja Buang hendak melanggar Riau ini. Apalah ikhtiar kita?”. Setelah Datuk Bendahara mendengar perkataan itu, maka ia pun terdiam sejurus. Kemudian jawabnya, “Pekerjaan itu pulanglah kepada Raja Muda mana mana yang baiknya, yang saya ini mengikut saja”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu kata Orang Kaya, baiklah. Akan tetapi saya minta dua perkara, pertama kita kumpulkan anak isteri kita kedalam semuanya selama lama saya berperang dengan Raja Ismail itu, dan Orang Kaya tinggal menunggu negeri, seorang pun jangan diberi suku suku Melayu membantu saya. Biarlah saya dengan suku suku Bugis saja. Kedua, mana mana senjata-senjata yang besar-besar didalam Riau ini, saya hendak ambil semuanya hendak ditaruh satu tempat, iaitu di Pulau Bayan. Jangan Orang Kaya kecil-kecil hati, jikalau ada senjata-senjata yang didalam tangan sanak saudara Orang Kaya sekalipun saya ambil juga ini hari, jika dengan jalan jadi perselisihan sekalipun, saya lakukan juga pekerjaan saya ini, Insya Allah taala”.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun baliklah. Apabila tiba ke istananya, ia pun menyuruhkan putera puteranya mengambil segala senjata yang besar-besar kepada pihak suku suku Melayu dengan kerasnya. Maka dikumpulkannya di Pulau Bayan. Kemudian disuruhnya jaga kepada orang orang Bugis, serta dipesankannya sepeninggalan ia keluar berperang apabila siapa-siapa hendak mengambil senjata-senjata itu jangan diberi, dan jikalau dikerasi lawanlah beramuk amuk. Kemudian Yang DiPertuan Muda pun menyuruh bersiap segala kelengkapannya, ada kira kira lima puluh buah penjajab yang menanggung meriam serta sedia ubat pelurunya serta orang orangnya. Maka segala penjajab-penjajab itu semuanya beraturlah di laut Pulau Bayan itu sekadar menantikan musuh melawannya sahaja.

Syahadan adapun Raja Raja suku-suku Melayu yang perempuannya berkumpullah didalam istana Marhum Batangan itu, maka berkirim suratlah ia kepada Raja Ismail di Singapura didalam surat katanya:
‘Janganlah paduka anakanda datang dahulu melanggar Riau waktu ini. Carilah saja bicara tipu supaya boleh masuk ke dalam Riau dahulu, kerana waktu ini bonda-bonda semua dikumpulkan oleh Raja Muda kepada satu rumah. Maka apabila satu-satu hal tentulah bonda-bonda semua dibakarnya dan dibunuhnya’.
Syahadan kata sahibul hikayat apabila Raja Ismail mendengar surat itu, maka susahlah hatinya, serta susah pula akan Yang DiPertuan Terengganu dan Yang DiPertuan Siak belum juga datang. Maka Raja Ismail pun hairanlah serta dengan susahnya.

Sebermula adapun suruhan Yang DiPertuan Muda ke Selangor itupun sampailah. Maka dipersembahkannyalah kepada Raja Selangor hal ehwal di dalam Riau. Maka Raja Selangor pun menyuruh akan Punggawa Opu Nasti itu ke Riau. Maka belayarlah Punggawa itu ke Riau. Maka apabila tiba ke Singapura bertemulah ia dengan kelengkapan Raja Ismail. Maka Raja Ismail pun menyuruh memanggil Punggawa itu. Maka Punggawa pun datanglah ke kenaikan Raja Ismai itu. Maka kata Raja Ismail, “Punggawa maklumkanlah kepada ayah saya Yang DiPertuan Muda Riau itu, saya ini hendak masuk ke Riau kerana hendak ziarah kepada makam Marhum Batangan. Janganlah ayah saya itu sangka-sangka hendak khianat, tiada saya hendak membuat khianat kepada ayah saya itu. Dan lagi dahulu sekali saya hendak datang ke Riau, titah ayah saya tiada boleh masuk, sebab ayah saya itu sudah berjanji dengan Gebernur Melaka, musuh Kompeni Holanda musuh ayah saya, tiadalah jadi saya masuk ini, sekali pula saya minta kepada ayah saya itu, jikalau ayah saya tiada juga memberi, tanda ayah saya itu tiada hendak beranak-buahkan saya dan hendak beranak-buahkan Holanda lah”.

Syahadan setelah Punggawa mendengar titah Raja Ismail itu maka sembahnya, “Baiklah, tuanku”. Maka titah Raja Ismail, “Baiklah Punggawa mudik ke Riau itu bersampan sahajalah, perahu besar tinggalkan disini. Jikalau Punggawa mudik dengan perahu besar, tentulah lambat tiba ke Riau itu”. Maka Punggawa itupun belayarlah ke Riau dengan bersampan.

Apabila tiba dipersembahkannyalah maksud Raja Ismail itu kepada Yang DiPertuan Muda. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Kami tiada percaya Punggawa perkataan Raja Siak itu, kerana kerap mungkir lagi penipu, selangkan datuknya Raja Kecik beberapa kali sudah bersumpah di dalam masjid lagikan mungkir juga. Ini pula cucunya. Didalam pada itu baik Punggawa pergi semula bersama sama Daeng Madik dan Bandar Amin ke Singapura minta sumpahnya dahulu”.

Maka belayarlah Punggawa itu bersama sama Daeng Madik dan Bandar Amin. Apabila tiba ke Singapura, dipermaklumkannyalah seperti maksud Yang DiPertuan Muda itu. Maka titah Raja Ismail, “Baik Punggawa sekali lagi sembahkanlah kepada ayah saya itu bersumpah berAllah pun biarlah saya dihadapan ayah saya disana”. Setelah Punggawa mendengar titah Raja Ismail itu terdiam sejurus. Kemudian sembahnya, “Baiklah, tuanku”. Maka titah Raja Ismail, “Bersampan jugalah mudik ke Riau itu dan siapa siapa kepercayaan wakilkanlah menunggu perahu besar itu. Janganlah Punggawa khauatir- khauatir tiada saya hendak membuat pekerjaan yang tiada patut”. Maka sembah Punggawa, “Bandar Amin lah yang tinggal”. Maka Punggawa pun belayarlah bersama sama Daeng Madik ke Riau.

Syahadan apabila sudah ke Riau lah Punggawa itu maka Raja Ismail pun musyawarahlah dengan saudaranya Raja Abdullah. Maka Raja Abdullah pun berdatang sembah, “Baiklah kita serbu saja malam-malam ke dalam Riau itu, kita amuk saja kerana Bugis itu tentu tiada menyangka kerana kita lagi di dalam bicara”. Maka titah Raja Ismail, “Apabila kita belayar dari sini, tentu Bandar Amin itu mengikut”. Maka jawab Raja Abdullah, “Jikalau begitu baiklah Bandar Amin itu kita selesaikan dahulu”.

Maka Raja Abdullah pun menyuruh panggil Bandar Amin itu ke kenaikannya. Maka Bandar Amin pun datang, serta duduk baharu hendak menyembah. Maka Raja Abdullah pun menagkap. Maka apabila Bandar Amin merasa dirinya tertangkap maka ia pun berteriakkan budak sampannya, katanya, ”Pergilah engkau kepada Raja Negara minta sampaikan ke Riau hal aku ini”, serta dilemparkannya cincinnya kepada budak itu. Maka budak itupun berkayuhlah ke Riau. Adapun Bandar Amin dibawa oleh Raja Abdullah ke haluan kanaikannya itu, lalu dikeratnya kepalanya digantungnya di juang-juang (diburitan kapal) kenaikkan itu.
Syahadan adapun perahu-perahu Punggawa apabila ia melihat hal itu, maka ia pun mengisi meriamnya. Maka lalulah berbedil-bedilan legum-legam. Maka dikerumuni oleh beberapa kelengkapan Siak, maka Bugis-Bugis pun mengamuklah dengan pemburasnya. Maka perahu-perahu Bugis pun dapatlah oleh kelengkapan Siak.
Syahadan budak Bandar Amin pun tiba di Riau lalu memaklumkannyalah hal itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun sangatlah marahnya, maka lalu disuruhnya puteranya Raja Abdul Samad dan Raja Andut dan lainnya melanggar Raja Ismail. Maka pergilah putera-putera Yang DiPertuan Muda itu dan Yang DiPertuan Muda mengikut dari belakang.

Adapun Raja Andut dan Raja Abdul Samad apabila tiba ke Singapura maka lalu berperang dengan Raja Ismail, sangatlah azamat bunyinya. Maka seketika berperang itu, maka kelengkapan Siak pun undurlah ke Tanah Merah. Maka Yang DiPertuan Muda pun tiba pula ke selat lalu dipintasnya ke Tanah Merah. Maka apabila berjumpa kedua pihak itu, lalulah berperang besar pula. Maka Bugis pun turun ke sampannya membawa pemburas dan terakulnya. Maka dirapatnya dibedilnya sebelah peminggang kelengkapan Siak seperti bunyi bertih, bunyi senapang dan pemburas itu. Maka banyaklah kelengkapan Siak binasa dan tenggelam. Maka lalu ia undur berpecah-belah kesana ke mari dan kenaikan Yang DiPertuan Raja Ismail pun patah tiangnya, lalulah undur, hendak diikut oleh panglima-panglimanya orang Bugis-Bugis itu, maka dilarang oleh Yang DiPertuan Muda.

Adapun perahu Raja Abdullah pun terkepung, lalu dibedil Bugis dengan meriam dan dua orang panglima Raja Abdullah yang berani didalam perahu itu, seorang bernama Kadim, dan seorang bernama Tala. Maka Bugis pun merapatkan perahunya dengan perahu Raja Abdullah itu, sambil dibedilnya dengan meriam dan senapang pemburasnya. Maka Panglima Kadim pun kena peluru penabur meriam, patah sebelah pahanya. Syahadan seketika itu kakap penyuruhan Raja Ismail mengambil Raja Abdullah. Maka hendak dibedil oleh Bugis, dilarang pula oleh Yang DiPertuan Muda, titahnya, “Biarlah Raja Abdullah lepas kerana segala Raja Raja itu sedaulat. Apa boleh buat jika kena didalam peperangan?”. Adapun Raja Abdullah tiada mau undur, maka lalu ditangkap dipeluk oleh Raja Negara dengan Raja Helang dibawanya turun ke kakap panjang itu lalu berdayung mendapatkan kenaikan Raja Ismail. Syahadan pada ketika ia di bawa turun kakap itu, maka dibukakan pending emas daripada pinggangnya lalu dicampakkannya, katanya tanda perahu Raja.

Syahadan apabila Raja Abdullah itu lepas, maka panglima Bugis pun naiklah ke perahu Raja Abdullah itu serta tiba lalulah bertikam dengan Panglima Tala dan Panglima Kadim. Maka tertangkaplah keduanya itu oleh Bugis. Maka titah Yang DiPertuan Muda menyuruh tendas kedua panglima itu, suruh gantung dibawah juang-juang sebagaimana Raja Abdullah memperbuat Bandar Amin, begitu juga diperbuat.

Syahadan alah Raja Ismail, maka larilah ia balik ke Siak. Maka tiada pula diterima oleh Yang DiPertuan Muhammad Ali akan Raja Ismail itu masuk ke Siak kerana ia telah berjanji dengan Kompeni Holanda tiada boleh menerima musuhnya masuk ke Siak.

Syahadan Raja Ismail pun merayaulah ke sana ke mari hendak mencari kekuatan, niatnya hendak mengambil negeri Siak dari tangan saudaranya Raja Muhammad Ali itu.

Kemudian Raja Ismail pun belayarlah ke Pelembang, maka tetaplah ia di Pelembang di pelihara oleh Sultan Pelembang serta ditolongnya belanja-belanja mana-mana kadarnya adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh dua...)


Projek "Malay Nations Culture Park And Business Space" di Trikora Beach, Bintan Island - Indonesia (2016)

Para pelabur asing dan tempatan di jemput untuk mengambil bahagian didalam pembangunan projek "Malay Nations Culture Park And Business Space" di Trikora Beach, Bintan Island - Indonesia (2016). Bagi yang berminat, sila hubungi saya.

Foreign and local investors are invited to get involved in the development of the Malay Nations Culture Park And Business Space project at Trikora Beach, Bintan Island - Indonesia (2016). Interested parties, please contact me.


























20. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke dua puluh ...

20. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke dua puluh ...

Kegiatan Kegiatan Raja Alam Dari Siak

Pada tahun 1760, Sultan Mahmud yang menjadi Sultan Siak setelah menggalahkan kekandanya Raja Alam didalam peperangan pada tahun 1755 dahulu, telah mulai gering seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Alkisah maka tersebut perkataan Sultan Mahmud di dalam negeri Siak. Maka adalah kira kira enam tahun ia didalam kerajaan yang tetap, maka ia pun geringlah. Maka beberapa diubatkan oleh orang orang besarnya tiada juga sembuh. Maka ia pun tahulah akan habis umurnya, maka ia pun memanggil segala orang besar besarnya serta paduka anakanda baginda Raja Ismail seraya ia berpesan kepada segala menteri menterinya, anakandanya Raja Ismail itulah gantinya.

Syahadan apabila sudah ia berpesan itu maka Sultan Mahmud itupun mangkatlah. Maka dimakamkan oleh segala menteri menterinya betapa adat Raja Raja besar mangkat didalam Mampura. Maka anaknya yang bernama Raja Ismail itu menggantikan Kerajaannya.

Syahadan kata sahibul hikayat, ada kira kira tiga tahun lepas menjadi Raja, maka datanglah ayah saudaranya Raja Alam yang diam di Batu Bahara. Sebermula apabila Raja Alam mendengar khabar saudaranya Raja Mahmud itu sudah mangkat, dan menggantikan Kerajaannya anak saudaranya Raja Ismail, dan anaknya Raja Muhammad Ali menjadi Raja Muda, maka ia pun bersiaplah akan kelengkapan perangnya ada lima belas buah.

Setelah itu maka pergilah ia ke Melaka berjumpa Gebernur Melaka. Maka berkhabarlah Gebernur Melaka itu kepada Raja Alam, “Sekarang kita dapat perintah dari Betawi itu negeri Siak patut dipukul dan barangsiapa hendak menjadi Raja di Siak ini ketika boleh kita tolong akan tetapi mau janji dengan Gebernur dahulu, jangan lagi perkerjaan rompak itu”.

Syahadan maka Raja Alam pun sungguhlah memegang perjanjian itu. Maka Holanda pun menyuruhkan satu kapal perang dan tiga buah keci perang. Adapun Raja Alam lima belas buah penjajabnya. Maka pergilah kedua angkatan itu melanggar Siak.

Apabila tiba maka orang orang Siak pun sudah siaplah memang. Maka dikeluari oleh Yang DiPertuan Besar Raja Ismail serta Yang DiPertuan Mudanya, iaitu anak Raja Alam itu jua, Yang bernama Raja Muhammad Ali. Maka apabila bertemulah penjajab dengan kapal perang itu, maka berperanglah kedua pihak berbedil bedilan. Hatta sekira kira enam belas hari, maka banyaklah kelengkapan Siak itu rosak hingga kenaikkan Raja Ismail pun tenggelam dan segala batangan dan jojol pun habis dicabut oleh Holanda. Maka larilah Yang DiPertuan Raja Ismail itu kedarat kedalam kubunya. Maka dilanggar pula oleh Holanda kubu itu dinaikkanya dengan baris serdadu. Maka Yang DiPertuan Raja Ismail pun larilah serta saudara saudaranya menuju ke sebelah Riau. Adapun Yang DiPertuan Muda Raja Muhammad Ali, tiadalah lari kerana ayahandanya Raja Alam bersama sama Holanda.

Syahadan alahlah negeri Siak itu. Maka Raja Alam lah pula menjadi Raja Yang DiPertuan Besar Siak. Adapun anaknya Raja Muhammad Ali itu menjadi Yang DiPertuan Muda juga ia.

Sebermula adapun Raja Ismail itu belayarlah ia ke Siantan. Maka lalu diberinya orang orang Siantan dengan keluar wang dan harta jadi persembahan kepadanya. Kemudian muafakatlah ia dengan orang orang Siantan itu hendak melanggar Pantai Emas namanya, dekat Kembuja, sebab ada orang Minangkabau kira kira lima ratus orang diam di tempat itu sudah memberi surat kepadanya, “Jikalau Yang DiPertuan Raja Ismail melanggar Pantai Emas ia semua belot”. Maka Yang DiPertuan Raja Ismail pun bersiaplah ada kira kira seratus penjajab didalam Pulau Tujuh itu.

Adapun saudaranya Tengku Busu disuruhnya ke Terengganu meminang anak Raja Terengganu. Maka diterimalah oleh Yang DiPertuan Raja Kecik Terengganu dan Tengku Busu itupun baliklah ke Siantan. Maka duduklah Raja Ismail itu, menantikan lepas angin besar saja hendak melanggar Pantai Emas itu juga kehendaknya adanya.

Alkisah maka tersebut perkataan Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja di dalam negeri Riau. Maka tiadalah lain pekerjaanya melainkan membesarkan perniagaan. Maka datanglah beberapa perahu dagang dari jauh jauh, dari Benggal dan dari China, datang pula wakang wakang kepala hijau dan kepala merah berpuluh puluh buah, dan dari Siam, apa lagi perahu perahu Bugis dan Jawa berasak asaklah didalam Sungai Riau dari kuala sampai ke Kampung Cina. Maka berpalulah (bertukar tukar barang) dagangan Cina dengan dagangan Jawa, demikian lagi berpalu dagangan Jawa dengan dagangan Riau, seperti gambir dan saudagar saudagar Cina dan Bugis pun banyaklah kaya kaya didalam negeri. Adapun Yang DiPertuan Muda Daeng Kembuja selalulah ia menyuruh pulang pergi ke Melaka kerana waktu itu sudah berdamai dan bersahabat antara Yang DiPertuan Muda dengan Holanda, dan di dalam Riau pun beraturlah orang besar besarnya dari Syahbandar dan mata mata melayani segala dagang dagang itu serta memeliharakan orang orang dagang, dan penjajab beratus ratus buah yang sedia dan ubat bedil pun membuat sendiri berkoyan koyan demikian juga dengan pelurunya.

Sebermula adapun Raja Haji Engku Kelana tiadalah ia tetap amat didalam negeri Riau. Adalah selalu belayar memeriksa segala negeri negeri dan teluk rantau.

Syahadan tetaplah Riau itu didalam aman. Maka suku suku pihak Melayu berbuat pula honar yang memberi kegeruhan atas negeri Riau, kepada pihak Yang DiPertuan Muda serta anak anak Bugis. Iaitu Temenggung serta Bendahara serta suku suku Melayu membuat pula satu surat ke Terengganu kepada Raja Terengganu, demikian bunyinya di didapatkan didalam siarah Siak:

Telah selesai daripada puji pujian, “amma baaduhu, kemudian daripada itu maka adalah paduka nenda serta paduka bonda bonda maklumkan kepada cunda, adalah bonda bonda semua di dalam negri Riau hendak dibinasakan oleh Bugis Bugis hendak dibunuhnya dan hendak dipupusnya sekali mana mana suku suku kita semua kaum Melayu. Adapun paduka adinda Sultan Mahmud sangatlah kecilnya, siapalah paduka bonda bonda semua tempat mengadukan hal? Syahadan jikalau paduka anakanda lagi mengaku kaum kerabat segeralah datang ke Riau”.

Syahadan kata sahibul hikayat adalah surat yang serupa bunyinya itu tiga pucuk, ke Terengganu satu, dan ke Pahang satu dan ke Tembelan ke Yang DiPertuan Raja Ismail satu. Syahadan apabila Yang DiPertuan Terengganu mendengar surat dari Riau itu, maka Raja Kecik Terengganu pun memberi surat ke Pahang dan ke Tembelan. Setelah Raja Ismail mendengar surat dari Terengganu itu, maka ia pun tiadalah jadi pergi ke Pantai Emas. Maka ia pun membalaslah surat Yang DiPertuan Terengganu mengatakan yang ia bersertalah suratnya, yang ke Pahang pun demikian juga. Kemudian Raja Ismail pun menyuruhlah ke Pulau Tujuh minta keluarkan perahu perahu dengan alat senjatanya, tiap tiap satu pulau itu dengan segeranya. Kemudian berkirim surat pula ia ke Terengganu kepada Yang DiPertuan Raja Kecik mengatakan, “Silakanlah paduka ayahanda segera berangkat. Adalah paduka anakanda menanti di Singapura”. Maka Raja Ismail pun belayarlah ke Singapura. Maka rakyat Singapura pun diperintahnyalah dengan kerasnya dengan dipaksanya sebelah dia, serta disuruhnya menyiapkan perahu perahu dan sampan sampan. Kemudian berkirim surat pula ia kepada paduka ayahandanya Raja Alam di Siak dan kepada paduka kekanda Yang DiPertuan Muda Raja Muhammad Ali. Adapun madzum yang terkandung didalam surat mengatakan, “Paduka adinda minta bantu melanggar Riau dan jikalau hilang paduka ayahanda, paduka kekandalah menjadi Raja. Adapun adinda biarlah menjadi Raja didalam laut saja”.

Syahadan apabila surat itu sampai, maka dengan takdir Allah taala, maka Raja Alam pun mangkatlah. Maka dikuburkan betapa adat Raja Raja mangkat. Maka Yang DiPertuan Raja Muhammad Ali pun membalas surat kepada paduka adinda baginda itu katanya, “Kekanda bantulah dengan perahu dua puluh buah perahu, dan apa apa yang kurang adalah kekanda bantu”. Demikianlah adanya. Syahadan apabila Yang DiPertuan Raja Ismail mendengar khabar itu maka percayalah ia.

Kemudian belayarlah ia ke Terengganu pula, muafakat mengajak Yang DiPertuan Terengganu segera melanggar Riau. Maka jawab Yang DiPertuan Terengganu, “Silalah anakanda pergi dahulu, ayahanda adalah dibelakang”. Maka Raja Ismail pun belayarlah ke Singapura kira kira enam puluh buah kelengkapannya. Maka duduklah ia beberapa lama menantikan Raja Terengganu”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh satu...)




Sunday, January 24, 2016

19. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 bahagian ke sembilan belas...

19. Sejarah ringkas Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga serta Sultan2 Yang DiPertuan Besar dan Yang DiPertuan Muda dari tahun 1722 hingga ke tahun 1911... Bahagian ke sembilan belas...

Belanda Menuntut Gantirugi Perang

Pada tahun 1761, apabila Gebernur Belanda di Melaka mendengar negeri Riau sudah makmur maka dia pun menghantar satu kapal perangnya ke Riau untuk menuntut wang pembayaran gantirugi perang yang telah dipersetujui oleh almarhum Sultan Sulaiman dahulu. Kapal perang Belanda itu pun belayarlah ke Riau seperti yang di sebut didalam kitab Tuhfat Al Nafis seperti berikut:-

“Maka apabila tiba di Riau ditunggunya (dituntutnya hutang) kepada Sultan Ahmad yang lagi belum remaja putera itu. Maka kesusahanlah Bendahara semua. Maka lalu Bendahara serta suku Melayu semuanya mendapatkan Yang DiPertuan Muda Daeng Komboja.

Maka Kapitan kapal pergi pula mendapatkan Datuk Bendahara semua di tengah istana Yang DiPertuan Muda. Maka ditunggulah pula di situ pada hadapan orang orang ramai itu. Maka titah Yang DiPertuan Muda kepada Kapitan Kapal itu, “Jikalau sudah terbit wang Kompeni melanggar kita itu, wang belanja belanja kita melawan Kompeni di Linggi, dan belanja kita melanggar Kompeni di Melaka, siapa pula kita tunggu (tuntut)”. Maka Kapitan itupun tersenyum, seraya katanya, “Betul Tuan Raja Muda punya perkataan”. Syahadan maka Datuk Bendahara pun tertunduklah. Kemudian bertitah Yang DiPertuan Muda kepada Datuk Bendahara serta suku Melayu, “Apalah bicara kita sekelian?”. Maka jawab Datuk Bendahara, “Apalah yang saya semua hendak bayarkan, maka segala pekerjaan itu pulanglah kepada Raja Muda”. Maka titah Yang DiPertuan Muda, “Sungguh sungguh Bendahara tiada terdaya lagi dan tiada terhelahkan lagi?”. Maka jawab Bendahara, “Sungguhlah Raja Muda”. Maka Kapitan kapal itu pun tertawa seraja katanya, “Jikalau sudah Tuan Bendahara dan lainnya, tiada dapat lagi membayarnya, baiklah anak Raja dua orang itu serahkan kepada kita”.

Syahadan apabila Datuk Bendahara mendengar kata Kapitan kapal itu, kesesakanlah ia, sebab tiada dapat tempat hendak musyawarah lagi dan Raja Kecik Terengganu pun sudah balik ke Terengganu, kerana ia punya honar sampai jadi demikian itu. Maka berkata pula Bendahara kepada Yang DiPertuan Muda, “Allah! Allah! Janganlah abang kenangkan saya semua ini, melainkan abang pandang sajalah kepada intan gemala kita, yang piatu itu daripada waris amanah pertaruhan Marhum kepada abang serta saya semua ini. Adapun Johor dan Riau serta segala takluk daerahnya dipulangkan kepada abang dan abanglah memerintahnya serta kaum abang selama lamanya dengan muafakat serta tulis ikhlas, relalah saya semuanya kepada abang adik beradik, anak beranak”.

Syahadan apabila Yang DiPertuan Muda mendengar kata Datuk Bendahara dan sekelian Raja Raja Melayu itu, maka titah Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu kata Orang Kaya semua, Insya Allah Taala, sayalah yang membayarnya hutang Marhum itu. Jalan saya tergadai kain di pinggang sekalipun, relalah saya adik beradik, anak beranak terjual kepala dengan sebab mengenangkan intan gemala yang dua butir itu”. Kemudian bertitah pula Yang DiPertuan Muda kepada Kapitan kapal itu, “Adapun dari hutang hutang Marhum itu kitalah membayarnya dan kita minta tempoh tiga bulan ke empat. Maka apabila sampai tiga bulan keempatnya, maka datanglah terima ke Riau ini”. Maka Kapitan kapal pun lalu memberi selamat kepada Yang DiPertuan Muda, maka lalulah ia turun ke kapalnya selalu (langsung) ke Melaka.

Syahadan adapun Yang DiPertuan Muda bertangguh itu adalah kata riwayat orang tua tua. Ada konon satu orang putih Kapitan kapal, sahabat Yang DiPertuan Muda itu, memang pada masa di Linggi Yang DiPertuan Muda berniaga niaga timah timah dengan dia, jadi bersahabatlah tolong menolong dengan Yang DiPertuan Muda itu pada pekerjaan berniaga niaga itu. Maka apabila Yang DiPertuan Muda sudah pulang ke Riau semula, maka datanglah ia mendapatkan Yang DiPertuan Muda itu ke Riau padahal kapalnya itu ada membawa opium beribu ribu peti. Maka tatkala ia belayar ke China, maka ditinggalkannya setengah kepada Yang DiPertuan Muda minta dijualkan didalam Riau. Nanti apabila ia balik dari negeri China, jika habis laku, diterimanya wangnya dan adalah pula keuntungan Yang DiPertuan Muda didalam itu. Syahadan maka opium itulah diserahkan oleh Yang DiPertuan Muda kepada segala perahu perahu Bugis dan perahu perahu dagang yang mana mana orang yang sahabat handai Yang DiPertuan Muda itu. Maka habislah opium itu konon, maka cukuplah akan membayar hutang Marhum itu.

Syahadan apabila sampai tempoh tiga bulan ke empatnya, maka datanglah Kapitan kapal itu. Maka Yang DiPertuan Muda pun mendapatkan Sultan Ahmad, kerana baginda itu diam di Kampung Bulang serta mengumpulkan Bendahara dan Temenggung serta Raja Raja suku sebelah Melayu. Maka berkumpulkan lah sekeliannya dihadapan Sultan Ahmad. Maka pada ketika itu berbayarlah Yang DiPertuan Muda akan hutang Marhum itu dihadapan Raja Raja dan orang besar besar. Maka adalah banyaknya tujuh laksa tujuh ribu, tujuh ratus tujuh puluh (77,770) ringgit.

Syahadan apabila sudah berbayarlah hutang hutang itu maka Yang DiPertuan Muda pun bertitah dengan air matanya, “Cih! Orang Kaya apa boleh buat? Sudah jadi daging darah busuk hanyir pun apalah yang hendak dikata lagi? Jikalau sekira kiranya tidak inilah ketikanya, saya menghalai- balaikan negeri Riau ini. Cih! Sampai hatinya memperbuat saya semua anak anak Bugis sekelian sampai sudah begini pula jadinya, seperti pantun orang tua tua:

“Tinggi bukit Sukadana,
Tempat bertanam halia padi,
Sakitnya muda kena bencana,
Sebarang kerja tidak menjadi”.

Setelah Datuk Bendahara mendengar pantun Yang DiPertuan Muda itu, maka ia pun tertunduklah, dan segala Raja Raja suku suku Melayu terdiamlah semuanya.

Syahadan apabila selesai daripada membayar hutang itu maka dengan takdir Allah Taala, maka Sultan Ahmad pun geringlah. Maka tiada beberapa hari geringnya itu maka mangkat lah ia. Maka Yang DiPertuan Muda serta Datuk Bendahara pun mengerjakanlah jenazah Sultan Ahmad itu. Maka apabila selesai dimandikan dan dikapankan dan disembahyangkan, maka dimakamkanlah betapa adat Raja yang besar besar mangkat.


Maka apabila selesai daripada mengkuburkan Sultan Ahmad itu, maka musyawarahlah Yang DiPertuan Muda serta Datuk Bendahara serta suku suku sebelah Melayu dan suku Bugis akan ganti Marhum Sultan Ahmad itu. Syahadan adapun sebelah suku suku Melayu dipilihnya saudara saudara Marhum DiBaruh, seperti Tengku Abdul Kadir dan Tengku Othman dan Tengku Buang. Adapun suku suku pihak Bugis adalah yang dipilihnya anak yang gaharalah, Raja Mahmud, putera Marhum DiBaruh dengan Tengku Putih. Maka hal itu didalam bersalah salahanlah maksud antara kedua pihak. Maka Datuk Bendahara pun mengajak Yang DiPertuan Muda sama sama memilih, sama sama menunjuk dihadapan kedua dua pihak. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Baiklah esok hari berkumpullah kita”.

Syahadan Datuk Bendahara pun mengumpulkanlah segala Raja Raja dan orang besar besar suku Melayu, disuruhnya memakai kain lepas semuanya dan berpendawa dengan alat senjata, seperti rupa rupa orang hendak bertikam atau berperang. Syahadan segala khabar khabar dan perintah Bendahara itupun sampailah kepada Yang DiPertuan Muda. Maka Yang DiPertuan Muda pun panaslah hatinya seraya bertitah kepada Raja Haji, “Engku Kelana daripada perbuatan Datuk Bendahara itu, baharu semalam umpamanya ia berkata negeri Riau ini putih hitamnya terserahlah kepada kita. Pada ketika Kapitan kapal menunggu hutang hari itu, ini sudah lain pula tingkahlakunya seperti rupa rupa hendak mencari jalan perkelahian, bukan jalan muafakat dan musyawarah memilih Raja, hanyalah seolah olah jalan hendak menunjukkan laki lakinya jua”.

Maka sembah Raja Haji, “Jikalau sudah fikiran Orang Kaya Bendahara itu, kita pun hendak juga menunjukkan laki laki kita jua kepadanya”. Maka titah Yang DiPertuan Muda, “Fikiran abang demikian jua. Baiklah beritahu Bendahara, baiklah sediakan singgahsana memang dibalairung. Nanti apabila sudah tentu pemilihan kita kedua pihak, kita naikkan sekalilah ke singgahsana, selalulah kita menjunjung duli sekali”. Syahadan maka Raja haji pun menyuruhlah kepada Datuk Bendahara, maka jawabnya, “Baiklah”.

Syahadan maka Yang DiPertuan Muda pun memberilah perintah kepada Bugis Bugis itu alat pertikaman. Maka segala Raja Raja Bugis dan Bugis Bugis jati pun bersiaplah semua seperti siap menghadapi musuh. Syahadan apabila keesokkan harinya maka berkumpullah segala Raja Raja suku Melayu serta berkain lepas dan berpendawa (berkeris) semuanya dan Bugis Bugis dengan segala anak Rajanya pun datang berkumpul, dengan memakai seluar sampak bertondera batung semuanya, berpendawa juga dengan kelewangannya dan halamangnya. Maka duduklah berhadap hadapan.

Seketika lagi maka Yang DiPertuan Muda berangkatlah naik ke istana lalu didukungnya Raja Mahmud, dibawanya turun kebalai lalu diribanya diatas singgahsana. Setelah anak Raja Raja Bugis melihat hal Yang DiPertuan Muda itu, maka sekeliannya pun memegang hulu kerisnya. Maka Yang DiPertuan Muda pun bertirah, ‘Barang tahu kiranya suku suku Melayu dan suku suku Bugis, bahawa sesungguhnya inilah Raja Johor, dengan segala takluk daerahnya yang diangkat oleh Bugis. Maka barangsiapa tiada membetuli aturan ini, maka pada hari inilah kita berhabis habis”. Maka lalu ia menghunus halamangnya.

Syahadan setelah Datuk Bendahara melihat hal yang demikian itu, maka terbaliklah mukanya. Maka Datuk Bendahara pun berfikir, “Jikalau tidak dibetulkan (dipersetujui) tentu rosak negeri ini tiada faedahnya”. Maka ia pun bersabda katanya, “Jikalau sudah patut pada abang semua Raja Mahmud ini menjadi Raja Johor, maka saya semua pun sertalah”. Maka jawab Yang DiPertuan Muda, “Jikalau sudah begitu, Alhamdulillah semua sama betul muafakat”. Maka lalu diajaknya antara kedua pihak sama sama menjunjung duli. Maka menjunjung dulilah kedua pihak. Kemudia baharu bersetia pula adanya”.

(bersambung ke bahagian ke dua puluh...)